Pendarahan Semasa Hamil dan Air Ketuban

Tanggal 30 Ogos 1999, saya bertolak pulang dari Sg Koyan menuju Kota Bharu.  Suami mahu saya melahirkan anak di Kelantan.  Jangkaan bersalin ialah 4 September 1999.  Pada masa itu saya telah mula merasa sakit perut sedikit tanda akan bersalin.  Namun lazimnya, anak sulung lambat juga akan keluar.   Kedudukan kepala bayi yang masih tinggi dan sakit yang jarang-jarang memberi lesen untuk kami pulang walaupun dilation sudah ada.  Kalau tidak silap baru 1 cm waktu itu.  Ia memakan masa untuk berganjak ke 2 cm dan 3 cm.

Di pertengahan jalan, kami singgah di Cuchuh Puteri, Kuala Krai kerana ada program bersama masyarakat di situ.  Suami saya turut serta memberi khidmat percuma kepada penduduk tempatan.  Sakit masih berulang jarang-jarang sedangkan saya bersama orang kampung. 

Seusai program, kami singgah di rumah seorang sahabat di kuarters Hospital Kuala Krai.   Sebelum bertolak pulang, suami memeriksa lagi, tiba-tiba pendarahan berlaku.  Saya solat seperti biasa kerana ia dikira darah fasad (rosak) atau istihadah.  Darah itu cair dan berwarna merah terang.  Ia bukan keluar berterusan.  Bagi sesiapa yang mengalami perkara yang sama ketika hamil, hendaklah solat walaupun sudah ada tanda-tanda akan bersalin. 

Bagaimana pula dengan wanita yang mengalami pendarahan di tengah-tengah kehamilan?  Apakah hukum darah tersebut? Jom lihat serba sedikit huraian mengenai hal ehwal wanita bersalin.

Jenis Pendarahan Semasa Hamil

 Darah yang keluar semasa hamil dikira sebagai istihadah.  Darah bercampur lendir ketika proses hendak bersalin juga dikira istihadah atau darah fasad (rosak). 

 Nifas ialah darah yang keluar dari rahim selepas melahirkan anak.  Bagi mazhab Syafie,   dikira darah nifas jika bersalin anak yang hidup, mati atau keguguran sama ada bersalin cara biasa atau pembedahan.

 

Nifas dari Sudut Saintifik

Ibu-ibu sudah tentu pernah mengalami rasa sakit seperti hendak bersalin sedangkan bayi sudah pun keluar.  Apakah sebenarnya yang berlaku di dalam rahim kita?

Pada peringkat akhir proses kelahiran bayi, otot-otot rahim mengecut untuk menolak keluar keseluruhan badan bayi.  Akhirnya kelahiran sempurna berlaku.  Pengecutan seterusnya berlaku menyebabkan tertanggalnya uri dari dinding rahim.  Sejurus berlakunya kelahiran bayi, pengecutan otot-otot rahim menyebabkan kontraksi berlaku pada otot-otot salur darah arteri lalu menekan salur-salur darah di uri yang akhirnya menyebabkan uri terpisah dari dinding rahim (desidua).   Aliran darah pula berlaku hasil dari hakisan pada bekas tempat lekatan uri di dinding rahim (desidua) yang dikenali sebagai nifas.  Ciri darah dan tempoh pendarahan adalah bergantung kepada saiz uri tersebut.

Dari sudut saintifik, nifas berbeza dengan darah haid yang berasal dari lapisan endometrium.  Secara jelas, darah nifas terhasil dari darah yang mengalir keluar disebabkan oleh bercerainya uri dari rahim selepas melahirkan anak.  Ia selaras dengan pandangan fuqaha’ mengenai definisi nifas.

 diagram81

Hukum Pendarahan Semasa Hamil dan Air Ketuban

Pendarahan Semasa Hamil (tiada tanda hendak bersalin)

Perdarahan yang berlaku semasa hamil tanpa sebarang tanda untuk bersalin dalam Mazhab Syafii dihukumkan sebagai haid jika mematuhi kriteria tempoh haid.  Jika bersalahan dengan kriteria tersebut maka darah itu dihukumkan sebagai istihadah.

Sebahagian ulama pula menetapkan darah yang keluar ketika hamil bukanlah haid dan dihukumkan sebagai istihadah kerana haid tidak berlaku ketika hamil.  Pendapat ini bertepatan dengan kajian saintifik iaitu proses haid tidak akan berlaku kerana telah berlakunya persenyawaan dan kehamilan.  Pendarahan yang berlaku ketika hamil biasanya disebabkan oleh kemungkinan wanita itu menghadapi masalah keguguran pada peringkat awal kandungan.   Selain itu, wanita hamil mungkin mengalami masalah uri seperti uri pecah atau uri berada di bawah pada pertengahan dan akhir mengandung.

Darah Bercampur Lendir

Biasa juga para ibu mengalami darah bercampur lendir keluar dari rahim sebelum melahirkan.  Ia merupakan salah satu tanda awal seseorang ibu akan bersalin.  Darah ini keluar disebabkan terbukanya saluran ‘cerviks’ atau pangkal rahim dan juga pemisahan kantung tembuni bayi dari dinding rahim bahagian bawah.

Darah ini akan bercampur dengan lendir yang juga dihasilkan oleh kelenjar di bahagian pangkal rahim. Darah inilah yang dikatakan sebagai darah fasad (rosak) dari aspek fikah.  Oleh kerana ia bukan lagi darah nifas, maka wanita yang mengalaminya wajib menunaikan solat seperti biasa.  Dengan perkataan lain, kewajipan solat belum terangkat dari wanita tersebut.

Air Ketuban

Keluarnya air ketuban juga merupakan tanda awal proses kelahiran bayi.  Air ini keluar dari sarung tembuni bayi yang pecah ketika proses kontraksi rahim.  Pada asalnya, air ketuban bertindak sebagai kusyen yang melindungi bayi.  Subhanallah.  Maha suci Allah yang memelihara janin dalam kandungan. 

 

فَجَعَلْنَاهُ فِي قَرَارٍ مَّكِينٍ

 

Lalu Kami jadikan air (air mani/zigot) itu pada tempat menetap yang kukuh (yakni rahim).

Surah al-Mursalat 77:21

 

Demikian hebat kurniaan Allah.  Masihkah kita sanggup mendustakan nikmatNya dan membalasnya dengan maksiat?

 

فَبِأَيِّ آلَاء رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka nikmat Tuhanmu yang manakah hendak kamu dustakan?

Ayat 13 Surah al-Rahman.

Apabila ia mengalir keluar, air ketuban membantu melicinkan proses kelahiran.  Allahuakbar!  Maha agung Engkau ya Allah yang tidak menjadikan sesuatu itu dengan sia-sia.

 Hukum air ketuban adalah najis.  Maka wanita itu perlu bersuci terlebih dahulu untuk menghilangkan najis tersebut dan berwuduk seperti biasa sebelum solat jika air ketubannya sudah kering.

Cara Menunaikan Solat Dalam Keadaan Darah dan Air Ketuban Masih Keluar

Cara bersuci ialah bersihkan terlebih dahulu darah atau air ketuban dari faraj. Kemudian pakai tuala wanita, mengambil wuduk dan terus solat.   Jika darah keluar dengan banyak diiringi rasa sakit berterusan, diharuskan solat jamak.

Sambung travelog…

 Tiba di Machang, suami sudah letih untuk membawa kereta.  Saya mengambil alih memandu.  Tiba-tiba saya perlahankan kereta dan berhenti di sisi jalan.  Suami berkata, ”Kenapa berhenti?”

”Perut rasa sakit sedikit”.  Hilang rasa sakit, saya sambung perjalanan hingga ke Kota Bharu.  Alhamdulillah. 

Tanggal 31 Ogos 1999, Ma memasak pulut durian kegemaran saya.  Saya rasa sakit makin kuat.  Suami memeriksa lagi.  Bukaan 4cm.  Tiba masanya pergi ke hospital.  Oleh kerana menjadi pantang larang orang tua-tua tidak boleh makan pulut sepanjang tempoh berpantang.  Saya jamah juga pulut durian.  Sambil makan, saya menahan sakit.  Ma menggalakkan saya makan sampai puas.  Alhamdulillah, ’sporting’ betul.   Ma berkata, ”Itu sakit main-main je… Belum sakit betul-betul”.  Saya kurang faham maksud ’sakit betul-betul’ yang Ma sebut.  Maklumlah ini kali pertama saya akan bersalin.

Kira-kira jam 12 tengahari, saya tiba di Hospital Kota Bharu dan terus di bawa ke bilik bersalin.  Betullah, sebaik saya berada di atas katil, sakit yang lebih kuat mula terasa.  Ya Allah… beginikah sakitnya melahirkan seorang anak.  Melalui jam seterusnya, baru saya mengerti apa yang Ma maksudkan ’sakit betul-betul’.  Tidak terperi rasanya dan rasa takut yang amat sangat.  

Mengenangkan rasa sakit bersalin, hati lebih menghayati hikmah disuruh taat pada kedua ibubapa.  Rasa sedih pula menyelinap mengenangkan anak-anak yang menyia-nyiakan hidup mereka dengan pelbagai perkara yang merosakkan diri sendiri.  Tidakkah mereka mahu bersyukur kepada Allah yang mengeluarkan mereka dari rahim ibu? 

Mata membilang detik jam di dinding.  Bilakah saat ini akan berakhir?  Tiada yang mampu memberi kekuatan selain Allah.  Saya takut… di saat menulis ini pun, saya merasa takut mengenangkan sakit bersalin.  Azan Zohor melewati waktu, saya mengingatkan suami untuk solat Zohor dahulu.  Namun dia mahu menunggu sehingga saya selamat melahirkan.  Suami mengagak dia akan sempat solat Zohor nanti.

Kira-kira jam 3.08 petang, saya selamat melahirkan cahaya mata pertama kami berdua.  Alhamdulillah.  Rasa takut dan sakit sekelip mata bertukar gembira melihat bayi di sisi.  Masya Allah!  Sakit di dunia masih ada penawarnya.  Sakit dan azab di akhirat, tiada lagi yang dapat menyelamatkan. 

فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا

Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.

Ayat 5 Surah al-Syarh.

Wajar sekali dikatakan wanita yang bersalin ibarat bayi yang baru dilahirkan.  Dosa-dosa berguguran seiring lahirnya bayi dalam kandungan.  Bukankah kesakitan itu penghapus dosa? 

Solat Zohor yang saya terluput itu telah saya qada selepas habis nifas.  Inilah kaedah penyelesaian bagi wanita yang pernah meninggalkan solat semasa sakit hendak bersalin.  Namun, setelah mengetahui hukum dan kaedahnya seperti yang saya tulis dalam entry sebelum ini, wajib menunaikan solat dalam waktunya menurut kemampuan.  Jika mampu solat duduk, maka hendaklah solat duduk.  Jika tidak mampu, solat berbaring.    

Sebaik selesai mengazankan anak sulung kami, suami bergegas menunaikan solat.

Ada peristiwa lucu pada hari tersebut yang mana Ibrahim Ali pernah menyebut untuk Solat Hajat selepas Solat Asar petang 31 Ogos itu.  Hajat apa yang mahu diminta tidak pula saya ingat.   Sebenarnya tiada solat sunat selepas Solat Asar.  Inilah penyakit orang jahil, mahu berjuang namun ilmu asas tentang Islam sendiri pun tidak diketahui.

Nota:  Sebahagian isi mengenai Darah Semasa Hamil, Nifas dan Air Ketuban adalah dari buku Fikah Perubatan yang disediakan oleh Dr Rosediani Muhamad, Pakar Perubatan Keluarga, USMKK.

Ummu Abbas

9.20pm

21 Zul Qi’dah 1430H

Solat Wanita Sakit Hendak Bersalin

Assalamu’alaikum semua,

Lazimnya apabila saya fokus menulis buku, masa saya begitu suntuk untuk meng-update blog.  Saya sedang mengedit buku Fikah Perubatan setebal 264 halaman.  Buku ini ditulis oleh 4 penulis.  2 pakar perubatan dan 2 pakar Fiqh dan Usul Fiqh.  Saya diminta menyiapkan suntingan buku akhir November 2009.  Bukan mudah mengedit tulisan orang lain yang berbagai ragam.  Di bawah ini, merupakan sebahagian tulisan saya dari buku tersebut.  Mungkin akan ada perubahan lagi dalam edisi cetakan.  Insya Allah, saya akan mewar-warkan buku ini setelah siap sepenuhnya.  Tolong doakan agar Allah memudahkan urusan saya.  Jazakumullah.

Ummu Abbas

11.50am

18 Zul Qi’dah 1430H

 

Kaedah Solat Wanita yang Sakit Hendak Bersalin.

Saya membuat rumusan berkenaan solat wanita yang sakit hendak bersalin ini berdasarkan pengalaman sendiri.  Sebagai muslim yang sedar akan tanggungjawab menunaikan solat, sudah tentu saya dan anda mahu menunaikan solat yang terbaik dan mengikut waktunya.  Namun di sana, terdapat situasi yang kita belum pernah alami dalam menunaikan solat.  Melalui pengalaman, ilmu digali dan penyelesaian dicari.  Hasilnya inilah yang dapat saya kongsi bersama kaum wanita khususnya.  Kaum lelaki juga perlu perihatin terhadap solat wanita yang hampir dengan mereka seperti isteri.  Beri bantuan dan sokongan kepada mereka untuk menunaikan kewajipan yang satu dan asas ini.

Memang terdapat wanita yang menemui ajal di saat melahirkan anak, maka menunaikan solat dalam waktunya hendaklah dititik beratkan  meskipun sakit tidak terperi.  Selagi akal waras dan lidah masih mampu membaca al-Quran, maka wajarlah kita bersyukur dengan fokus pada menunaikan ibadah fardu setakat terdaya.

Insya Allah, kehidupan kita akan senantiasa ceria dan bahagia di sisi Allah.

Saya nukilkan dalam bentuk cerita agar lebih praktikal dan mudah difahami.  Jika terdapat sebarang kesilapan dalam memberi pendapat ini, sebarang teguran amat dialu-alukan. Jazakumullah.

***************

Pada pukul 12 tengahari, Aminah merasa sakit tanda hendak bersalin. Dilation (bukaan serviks) Aminah pada waktu itu 5cm. Aminah berkejar ke hospital dan segera dimasukkan ke bilik bersalin. Sakit Aminah semakin kerap menandakan bukaan serviks semakin luas. Bayi dalam perjalanan keluar dari alam rahim. Darah juga mula membasahi kain dan katil.

Dalam menahan sakit itu, azan Zohor berkumandang. Aminah teringin menunaikan solat namun doktor tidak mengizinkan Aminah bangun kerana bimbangkan keselamatan Aminah dan bayi.

Dalam keadaan begini, bagaimana Aminah mahu berwuduk? Sekitar tempat Aminah berbaring dikotori darah dan air kencing. Selain tempat yang kotor, Aminah juga perlu membersihkan diri dan pakaiannya terlebih dahulu. Namun Aminah sudah tidak mampu untuk bangun melakukan semua itu sendiri. Tiada pula orang yang akan membantu Aminah. Sakit bersalin hanya Allah yang tahu. Tiada kata yang dapat menggambarkan kesakitan itu. Seluruh tenaga dikerah dan seluruh urat saraf ditarik-tarik bagi sebuah nyawa yang amat berharga.

Allah maha pengasih, apa yang dialami Aminah dikira situasi darurah yang mengharuskan perkara yang dilarang. Aminah harus solat secara baring tanpa membersihkan diri, tempat dan berwuduk. Aminah juga tidak harus menangguhkan waktu solat kerana Aminah memang akan bersalin bila-bila masa. Darah yang mengiringi anak nanti dikira darah wiladah atau nifas. Nifas atau wiladah merupakan hadas besar bagi wanita. Justeru Aminah haram menunaikan solat sepanjang tempoh nifas.

Allah tidak membebani hamba-hambaNya kecuali apa yang termampu dilakukan. Ayat 286 dari surah al-Baqarah menjadi hujjah keharusan tersebut,

لَا يُكَلِّفُ اللّٰهُ نَفْسًا اِلَّا وُسْعَهَا‌ؕ لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ‌ؕ

Maksudnya: Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.

Walaubagaimanapun, Aminah harus berusaha terlebih dahulu memenuhi tuntutan syarak yang asal untuk menunaikan solat.  Sebagai contoh: Sekiranya Aminah mampu mengelap darah dengan tisu atau kain bersih daripada badannya di tempat dia berbaring, maka Aminah perlu lakukan itu.  Jika Aminah mampu membuang alas yang kotor itu, maka Aminah juga perlu lakukannya walaupun tidak dapat mencari alas yang bersih sebagai ganti. Lebih baik Aminah solat di atas katil tanpa alas dan kotor sedikit dibandingkan bersolat di atas alas yang sememangnya digunakan untuk menadah kotoran secara langsung.

Solat Baring

Contoh solat secara berbaring. Jika boleh baring mengiring, baring mengiring di atas rusuk kanan.

Kemudian, Aminah harus menggunakan air untuk berwuduk.  Mintalah segelas atau sebotol air kecil dan basuh atau ratakan air pada anggota wuduk yang wajib yakni muka, tangan hingga ke siku, sebahagian kepala dan kaki. Basuhan atau sapuan itu dilakukan sekali sahaja yakni bilangan wajib. 

Bagi menutup auratnya, memadai Aminah berselimut yang menutupi seluruh badannya hingga ke kaki dan bertudung lengkap atau meletakkan kain yang dililit menutupi rambut.  Kemudian Aminah boleh bersolat dalam keadaan baring.

Wallahua’lam.

Penangguhan Perasmian SABA Kelantan

Semalam saya dihubungi oleh Brother Shah Kirit yang memaklumkan bahawa majlis perasmian SABA Islamic Media cawangan Kelantan ditangguhkan ke tarikh yang akan ditentukan kemudian. Ia dijangka dalam bulan Disember.

Penangguhan ini disebabkan YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz terpaksa menghadiri Seminar Politik pada Sabtu 7 November ini. Hal yang mendatang ini adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Kita merancang, Allah juga merancang dan perancangan ALlah jua yang akan direalisasikan serta terbaik untuk kita.

Pihak Menteri Besar baru sahaja mengesahkan keuzuran tersebut pada pihak SABA semalam. Walaubagaimana pun, insya Allah, kedai tersebut akan tetap dibuka pada 7 November 2009. Hanya majlis perasmian dan segala tentatif yang pernah dilampirkan sebelum ini yang ditangguhkan.

Moga khabar ini menggembirakan para peminat SABA yang tidak dapat hadir pada tarikh tersebut.

Ummu Abbas
10.100am
16 Zul Qi’dah 1430H

Menjadi Tetamu VIP di Pesona Gala CSWK

22cikwan7 Mengimbau kenangan lama

Semasa dijemput oleh seorang sahabat ke pertunjukan fesyen ini, teringat zaman kampus.  Pelajar perempuan yang belajar di University of Jordan dulu pernah buat pertunjukan fesyen di dewan universiti khusus untuk wanita sahaja.   

Pelajar-pelajar yang pakai jubah dan bertudung labuh di luar bergaya sakan dengan kebaya, kurung dan pakaian tradisional yang lain. Wajah di make-up dan siap belajar catwalk lagi.  Cuma mereka masih mengekalkan tudung kecil kerana terdapat di kalangan Arab yang non-muslim.

 

Tiket Gala

Tidak terbeli tiket se'anggun' ini. Terima kasih daun keladi, Na (penaja)

Pesona Gala Cik Siti Wan Kembang

Kembali ke Pesona Gala Cik Siti Wan Kembang (CSWK).  Kenapa Cik Siti Wan Kembang?  Cik Siti Wan Kembang merupakan tokoh pemerintah (raja) di Kelantan.  Kelantan amat sinonim dengan nama-nama wanita sebagai tokoh selain nama-nama tokoh ulama nusantara seperti Tok Kenali. 

 

Sejak zaman berzaman, Kelantan dikenali dengan Serambi Mekah.  Serambi Mekah yang berkait rapat dengan medan ilmu Islam dan pengamalan Islam di kalangan rakyatnya.  Islam sering dituduh mendiskriminasi kaum wanita.  Realitinya, Kelantan dengan imej Islam sejak dulu begitu mesra dengan nama-nama kaum wanita.  Terbaru adalah Pasar Buluh Kubu yang ditukar kepada Pasar Besar Siti Khadijah (PBSK).  PBSK dinamakan sedemikian demi menghargai jasa kaum wanita Kelantan yang mendominasi sebahagian besar perniagaan di pasar tersebut.  Siti Khadijah sendiri merupakan isteri pertama Rasulullah s.a.w yang terkenal sebagai tokoh korporat di zamannya.

 

Saya bertanya kepada diri, apakah saya akan hadir Pesona Gala CSWK?  Kalau saya mahu hadir, untuk apa?  Apa faedah yang saya bakal perolehi?  Akhirnya saya memutuskan untuk hadir bagi memantau keadaan dan mengimbau kenangan lalu.  Juga mahu sedikit hiburan yang dibenarkan.  Saya bukanlah peminat fesyen walaupun mengikuti perkembangan fesyen.  Saya suka berpakaian ringkas dan selesa.  Setiap kali saya cuba memakai fesyen yang di luar kebiasaan, akhirnya baju itu hanya sekali dua sahaja saya mampu pakai.  Kemudian akan disedekahkan pada orang lain.  Tidak selesa.  Itulah rasionalnya. 

 

Gala yang meriah

Suasana gala bertemakan warna pink.  Mungkin sebagai tanda sokongan kepada kempen kesedaran kanser.  Bermula dari pintu masuk, pentas sehinggalah kepada ahli Cempaka yang bertugas, semua serba pink.  Warna ini dikatakan sinonim dengan wanita.  Benarkah?  Gala itu sendiri bermaksud pesta.  Sesuai dengan pesta, hiasan pentas dan suasana keseluruhan menepati istilah yang digunakan. 

 

Menjadi Tetamu VIP

 Masuk ke dewan, saya dan 2 lagi sahabat baik, Chik dan Ni’mah dipersilakan duduk di meja VIP sebelah kanan meja VVIP (Meja Datin isteri Menteri Besar Kelantan).  Rupa-rupanya tiket kami yang ditaja oleh isteri Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (COO PMBK) itu tiket VIP, alhamdulillah.  Kalau di akhirat esok, macam ini kan best… dipelawa malaikat duduk di samping para nabi dan rasul.  Terutama kalau dapat syurga di sebelah syurga Rasulullah s.a.w … hmmm jauh dari layak rasanya.  Diuji dengan kerenah anak-anak pun, jarang-jarang lulus.

 Tentatif Gala

Atas kerusi, sekuntum ros berwarna pink diletakkan untuk tetamu.  Wah… saya suka ros (alhamdulillah).  Ros itu sekarang saya letak dalam gelas menghiasi sudut ruang makan.  Dapat paperbag pun khusus untuk VIP.  Apa perbezaannya dengan paperbag untuk orang awam saya tidak tahu.  Apa yang penting, VIP di sisi manusia belum tentu VIP juga di sisi Allah.  Allah lihat hati… Allah lihat amalan dan taqwa kita.  VIP hari ini, belum tentu VIP di hari esok.  Dunia ibarat roda, ada masa kita di atas, ada masa kita di bawah.   Beringat-ingatlah.

Selepas ketibaan Penaung Cempaka, YABhg Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak dan beberapa tetamu VVIP, acara bermula.

 

Ucapan Maya dari Dua Lelaki

SANY0582

Ucapan maya Tok Guru Nik Aziz

Syarifah Nor dari TV9 menyerikan majlis sebagai pengacara tetap.  Selesai ucapan Presiden Cempaka, Puan Nik Aida, ucapan dari COO PMBK, YABrs Ir Abdul Ariffahmi Abdul Rahman dibuat secara maya.  Begitu juga ucapan perasmian dari Pengerusi PMBK, YAB Tuan Guru Dato’ Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat turut dibuat secara maya.

 

Ucapan dua lelaki ini dibuat secara maya memandangkan majlis ini adalah majlis tertutup untuk kaum wanita sahaja.  Inilah salah satu bentuk teknologi moden yang diislamkan.  Bukannya memodenkan Islam sebagaimana yang diusahakan oleh ramai pihak hari ini seperti Islam Liberal dan Islam Hadhari.  Islam itu sendiri sudah sempurna namanya kerana diberi oleh Allah, pencipta alam ini.

 

إِنَّ الدِّينَ عِندَ اللّهِ الإِسْلاَمُ

Sesungguhnya ugama (cara hidup yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam.

Ali Imran 3:19

 

Dalam program pelajar di Jordan dulu, Presiden Persatuan Pelajar Malaysia Jordan berucap dalam dewan diiringi beberapa pengiring lelaki.  Seusai berucap, mereka keluar dari dewan dan acara bermula untuk wanita sahaja.  

 

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Penaung Cempaka dengan gimik yang menarik.  Bunga api yang terpancar di tepi pentas menarik perhatian Aesya.  Saya tidak dapat mengambil foto kerana meriba Aqil yang tidur.  Kemudian bermulalah acara yang ditunggu-tunggu yakni pertunjukan Pesona Gala Cik Siti Wan Kembang.

Penaja utama ialah Al-Habshee. 

 

 

Ummu Abbas

5.53pm

14 Zul Qi’dah 1430H

Jemputan Ke Pembukaan SABA ISLAMIC MEDIA di Kelantan

Assalamu’alaikum wbh,

Setelah tempoh dua tahun berlalu, akhirnya cawangan SABA ISLAMIC MEDIA (selepas ini disebut SABA) secara francais akan dibuka di Kelantan. Tempoh dua tahun itu Puan Saba berikan peluang kepada kami menjadi franchisee namun saya dan suami belum diizinkan Allah untuk berbuat demikian. Selaku salah seorang pengedar SABA di Kelantan, kami dijemput menghadiri majlis perasmian SABA itu nanti.

Para pembaca yang berminat, dijemput hadir ke majlis berkenaan.

Saya membantu iklankan pembukaan cawangan SABA ini bagi memudahkan pembeli di Kelantan khususnya mendapatkan bahan-bahan yang diperlukan di sini.

Maklumat lanjut adalah seperti berikut;

SABA

Tentatif 1

tentatif 2

Gala Pesona Cik Siti Wan Kembang

Ruang lobi Dewan Konvensyen tempat mendaftar masuk.  Staf PMBK berbaju dan bertudung pink menyambut tetamu.

Petang semalam saya hadir majlis pertunjukan fesyen Gala Pesona Cik Siti Wan Kembang di Dewan Konvensyen, Pusat Dagangan Kota Bharu. Majlis ini diadakan secara tertutup untuk wanita sahaja. Seronok dan menenangkan bila segala apa yang dibuat menepati kehendak syariat.

Saya masukkan foto-foto dahulu. Ulasan lanjut akan menyusul kemudian.

Pengacara majlis ialah Syarifah Nur dari TV9. Peserta istimewa ialah Maizawati (bekas isteri Akhil Hayy), Farrah Adeeba (pengacara TV9), Heliza AF dan model dan pelakon Zahnita Wilson.

Tuan Guru Nik Aziz memberi ucapan perasmian secara maya.  Majlis ini tertutup untuk wanita sahaja.

Ummu Abbas
7.38am
11 Zul Qi’dah 1430H

Kota Bharu Trade Centre (KTC) Tempat berlangsung Gala Pesona Cik Siti Wan Kembang

Tip Elak diPukau

Pukau biasanya menggunakan jin.

Pendindingnya ialah membaca ayat Kursi dengan 9 kali wukuf (tempat berhenti bacaan).  Amalkan baca dua kali sehari yakni pagi dan malam terutama semasa mahu tidur. 

Bacalah dengan faham maksud ayat-ayat tersebut dan menghayati sepenuh hati serta yakin dengan Allah.  Insya Allah, ayat Kursi ini bukan sahaja menjadi penjaga dari dipukau, bahkan banyak lagi khasiatnya.

Berikut ialah tempat-tempat berhenti apabila membaca ayat Kursi untuk dijadikan penawar.  Baca setiap baris ayat dengan satu nafas. 

 

اللّهُ لاَ إِلَـهَ إِلاَّ هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ

Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya).

 لاَ تَأْخُذُهُ سِنَةٌ وَلاَ نَوْمٌ

Yang tidak mengantuk usahkan tidur.

لَّهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الأَرْضِ

Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi.

 مَن ذَا الَّذِي يَشْفَعُ عِنْدَهُ إِلاَّ بِإِذْنِهِ

Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya.

 يَعْلَمُ مَا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ

yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka,

وَلاَ يُحِيطُونَ بِشَيْءٍ مِّنْ عِلْمِهِ

sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah

 إِلاَّ بِمَا شَاء وَسِعَ كُرْسِيُّهُ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضَ

melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi;

 وَلاَ يَؤُودُهُ حِفْظُهُمَا

dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya.

 وَهُوَ الْعَلِيُّ الْعَظِيمُ

Dan Dia lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya)

Secebis Pengalaman

Pengalaman saya membaca ayat Kursi ini, saya niatkan untuk pelbagai perkara juga seperti menghindari pencuri dari memasuki rumah, semasa mahu bermusafir (untuk mengelakkan mana-mana jin mengikut tatkala melintasi kediaman mereka) dan lain-lain.

Pernah seorang penuntut Malaysia yang menuntut di Amerika membaca ayat Kursi bagi mengelakkan diri dirogol.  Alhamdulillah, Mat Saleh (Mat Toleh sebenarnya) yang mahu mengganggunya tidak jadi meneruskan niatnya.

Bagi menambah keberkesanan bacaan kita ialah sucikan hati dari mazmumah, taati perintah Allah dan meninggalkan laranganNya dalam perkara yang kita sudah tahu.  Insya Allah, selamat.

Percaya bahawa Allah yang kita seru melalui ayat-ayatNya inilah yang menjaga kita.  Bukannya bergantung kepada ayat itu sendiri.  Oleh sebab itu, kita dituntut memahami ayat yang dibaca agar lebih mudah dihayati.

Tip dan doa lain untuk mengelakkan dirogol boleh lihat di sini http://ntvirus.wordpress.com/doa-elak-di-rogol-cabul/

Wallahua’lam.

Ummu Abbas

12.13am

9 Zul Qi’dah 1430H

Mahu rawat resdung, dara yang hilang

Seorang ibu membawa anak gadisnya berjumpa bomoh resdung.  Bomoh  itu menggelarkan dirinya Bomoh Muda.  Kedua beranak itu membayar lebih RM300 untuk membuat rawatan resdung.  Bomoh itu segera menunaikan kewajipannya.

Bomoh1 

Keesokan harinya, Bomoh Muda menelefon si gadis, “Saya akan buat rawatan susulan secara percuma tapi tolong duduk jauh sikit dari ibu.  Saya lihat ibu adik seorang yang lemah dan rawatan ini mungkin memberi kesan kepadanya”.

 Gadis itu menurut nasihat bomoh.  Dia menjauhkan diri dari ibunya.

Bomoh itu kemudian berkata,”Rawatan susulan ini harus dibuat di luar rumah saya.  Rumah saya selalu sibuk dengan pengunjung, jadi agak sukar menumpukan perhatian pada rawatan.  Kita jumpa di Kota Bharu”.

Gadis itu seperti dipukau mengiyakan sahaja kata-kata Bomoh Muda.  Gadis itu lalu keluar bersama seorang sepupunya dan pergi ke sebuah hotel di tengah bandar Kota Bharu.  Sepupunya meninggalkan gadis itu di situ untuk menyelesaikan urusannya. 
 
Bomoh Muda itu datang dan meminta gadis itu ambil sebuah bilik di hotel tersebut.  Gadis itu berkata, “Saya tiada duit untuk sewa hotel”.

Bomoh Muda lalu memberikan si gadis RM70 dan meminta gadis itu tunggu di bilik hotel.  Kemudian dia keluar.

Gadis itu terus menurut arahan si bomoh.  Dia menunggu di bilik.  Bomoh Muda itu datang dan merogolnya.  Semasa bomoh membuka pakaiannya, si gadis mengaku dia nampak apa yang dilakukan tetapi tidak dapat berbuat apa-apa.  Dia hanya membiarkan sahaja bomoh itu merogolnya dua kali.  Kali terakhir, si bomoh menyapu sejenis minyak hitam di bahagian kemaluannya.  Belum sempat si bomoh meneruskan pekerjaannya, handphone berdering.  Si bomoh lalu mengangkat handphone kemudian memberitahu akan keluar sekejap.

Selepas bomoh itu keluar, si gadis tiba-tiba tersedar apa sebenarnya yang sudah berlaku.  Dia segera memakai pakaiannya dan keluar meninggalkan bilik itu.

Si gadis lalu mengadu kepada seorang kakaknya.  Kakaknya segera pulang dari sebuah negeri yang agak jauh dan memberitahu perkara tersebut kepada ibu.  Si ibu amat terperanjat dan mereka segera melaporkan kepada pihak polis.

Pihak polis membawa mangsa ke hospital yang mana doktor yang merawat mangsa adalah kawan saya.

Menurut doktor itu, ibu si gadis sangat menyesal dan merasa bertanggungjawab kerana membawa anak gadisnya berjumpa bomoh itu.  Semasa mereka membuat laporan, kejadian baru berlaku kira-kira dua atau tiga hari.  Ia kes baru dan wajah si gadis memang ketara kelihatan tertekan.  Apatah lagi gadis itu merupakan gadis yang baik dan bertudung pula.  Air muka dan keadaan mangsa rogol akan dijadikan bukti dalam prosedur kehakiman bahawa mangsa benar-benar dirogol, dan bukannya dilakukan secara sukarela.

Selepas diselidiki, rupa-rupanya Bomoh Muda memang tidak disukai oleh jiran dan orang kampung.  Hanya orang luar yang tidak tahu sahaja yang berubat dengan bomoh tersebut.  Pelanggannya datang dari pelbagai negeri.  Paling menyedihkan, seorang isteri pernah dirogol oleh bomoh berkenaan namun mangsa tidak menghebohkan pada orang ramai lantaran malu. 

Kawan saya menerima kes tersebut minggu lepas.  Kemungkinan bomoh itu sudah ditangkap atau masih dalam siasatan polis.  Justeru itu, saya tidak dapat mengiklankan siapakah bomoh tersebut.  Jika dia sudah ditangkap, maka orang ramai tidak lagi terdedah kepada kejahatannya.  Jika belum, saya tidak berhak menyiarkan namanya kerana ia perlu melalui prosedur penghakiman yang betul bagi membuktikan kesalahannya.

Kalau pelacur itu dibayar untuk mendapat habuan seks, kes di atas terjadi sebaliknya.  Bomoh itu masih untung setelah ditolak RM70 untuk sewa hotel.

(Bolehlah berbangga di dunia ini dengan keuntungan tersebut.  Tunggu apa yang ‘untung’ di akhirat kelak jika tidak bertaubat)

Kejadian bomoh yang mengambil kesempatan dari pesakit ini kerap juga disiarkan di media.  Kes terbaru di atas adalah sebahagian dari kes jenayah dalam masyarakat yang perlu diberi perhatian oleh semua pihak.  Bukan bomoh sahaja malah ada yang menyamar sebagai agamawan mengambil kesempatan dari kaum wanita yang jahil dan lemah.

Menurut pemerhatian saya, ada beberapa keadaan yang menyebabkan jenayah ini mudah dilakukan;

1.   Jahil.

Wanita yang menjadi mangsa biasanya tidak tahu hak-hak mereka apabila berhubungan dengan lelaki ajnabi.  Contoh:  Jika lelaki meminta wanita ditinggalkan bersendirian dengan alasan melakukan rawatan dan sebagainya, maka tuntutan begitu wajib ditinggalkan.  Ini kerana dalam apa jua keadaan, wanita ditegah bersendirian dengan lelaki ajnabi.

 2.  Terlalu percayakan bomoh/ orang asing yang tidak dikenali.

3.  Menuruti kaedah pergaulan yang bertentangan syarak.

4.  Tidak taat kepada wali.

5.  Tidak menyelidik adakah bomoh/ lain-lain itu mengamalkan kaedah yang dibenarkan Islam atau tidak.  Juga tidak menyelidik keperibadian bomoh tersebut adakah mereka boleh dipercayai atau tidak.

 

Tip mengelakkan kejadian ini menimpa kita ialah;

1.   Rasulullah s.a.w sudah berpesan sejak lebih 1400 tahun dahulu,

Apabila seorang lelaki berkhalwat dengan  seorang perempuan (menimbulkan fitnah)  maka syaitan  adalah yang ketiga.

Hadis direkodkan oleh Imam Ahmad.

 

Berdasarkan hadis di atas, maka dilarang berdua-dua antara lelaki dan wanita tanpa ditemani mahram wanita tersebut dalam apa jua keadaan.  Ini termasuk sesi kaunseling, rawatan antara doktor dan pesakit, dalam teksi dan lain-lain kecuali dalam keadaan darurah. 

Contoh keadaan darurah ialah peristiwa Aisyah r.a yang dibawa pulang oleh sahabat Nabi s.a.w  bernama Sofwan bin al-Mu’attal.  Kemudian Abdullah bin Ubay yang terlihat mereka berdua melemparkan fitnah yang memburukkan Aisyah dan Sofwan. 

Saya tidak mahu menumpukan kepada Peristiwa al-Ifk (fitnah) dalam kisah ini tetapi sekadar menunjukkan contoh darurah untuk berduaan antara lelaki dan wanita ajnabi yang dibenarkan.  Dalam peristiwa tersebut, Sofwan berjalan kaki dan Aisyah menaiki kenderaan.  Mereka tidak naik bersama-sama kenderaan tersebut sebagaimana yang banyak dilakukan oleh umat Islam hari ini.  Perempuan membonceng lelaki di atas motosikal adalah perkara biasa meskipun ia satu dosa.  

Jika pesanan ini dapat dijaga oleh semua kaum wanita, maka mereka akan selamat.

Oleh itu saya ingin tegaskan sekali lagi, jika terdapat permintaan agar ditinggalkan wanita bersendirian dengan lelaki ajnabi, hendaklah bangun dan tinggalkan sahaja bomoh tersebut.  Ia jelas bertentangan dengan kaedah Islam dan niat bomoh tersebut harus diragui walau apa alasan yang diberikan.  Tidak kiralah bomoh atau doktor , kaunselor, pensyarah, guru lelaki, ustaz dan lain-lain.  Semua itu hanya tipu daya iblis untuk menyesatkan manusia dari jalan Allah.

2.   Jika mahu mengadakan sebarang rawatan, selidik dahulu adakah bomoh itu mengamalkan kaedah Islam atau tidak.  Jika tidak, maka hendaklah mengelak diri dari berjumpa bomoh tersebut.  Dibimbangi, walaupun kita hanya mahu meminta nasihat sahaja terlebih dahulu, bomoh menggunakan ilmu pukau untuk melaksanakan niat jahatnya.  Kaedah menyelidik ini signifikan dengan tajuk entri sebelum ini (Spesis ISA dalam PAS). 

Risiko paling tinggi berbomoh dengan mereka yang tidak menurut syariat ialah berlaku perbuatan syirik.  Syirik merupakan satu-satunya maksiat yang tidak diampunkan oleh Allah.

3.   Kebanyakan wanita mudah menjadi mangsa kerana kelemahan emosi mereka yang mudah dipujuk .  Oleh sebab itulah, Islam meletakkan wali bagi wanita ialah kaum lelaki.  Turutan wali seperti bapa, suami, datuk, adik beradik lelaki, bapa saudara dan lain-lain adalah untuk memelihara maruah dan memberi perlindungan kepada mereka.

Wali bagi kaum wanita selama-lamanya adalah lelaki.  Ia tidak pernah dipindahkan kepada kaum wanita.  Sebagai contoh:  Dalam hal pernikahan, jika wali dari pihak keluarga perempuan tidak ada walau seorang, maka hak wali berpindah kepada wali hakim yang juga lelaki.  Ini menunjukkan betapa kaum lelaki diberi kelebihan akal dan tanggungjawab yang besar dalam melindungi kaum wanita.  Wali itu pula mesti memenuhi syarat tertentu seperti berakal, baligh dan adil.

 
Berdasarkan pemerhatian saya secara rambang, golongan yang suka berjumpa bomoh kebanyakan kaum wanita.  Mereka tetap mahu berbomoh meskipun pihak wali seperti suami atau bapa tidak membenarkan.  Risiko tidak menurut perintah wali ini amatlah besar yang mana wanita mudah ditipu dan dipujuk rayu.  Bila sudah kena, siapa yang malu dan rugi?

 ISLAM Itu ertinya SELAMAT

Asas kepada semua tip di atas ialah sentiasa menambah ilmu Islam dan mengamalkannya.  Islam yang diamalkan akan menyelamatkan penganutnya.  Jika sudah tahu kemudian kita enggan menuruti perintah Allah dan melakukan juga laranganNya, maka jika terjadi apa-apa musibah, salahkan diri sendiri.  Itu baru azab di dunia.  Jika tidak bertaubat, tunggulah azab Allah di akhirat yang lebih pedih.

 Allah berkata dalam surah al-Syura ayat 30,

Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.

 Iya, dalam keadaan kita menanggung akibat dari dosa-dosa kita, hakikatnya Allah telah memaafkan sebahagian besar kesalahan kita.  Jika Allah mahu mengambil kira kesemua kesalahan kita, tentulah azab yang lebih besar menimpa.

 Surah al-Nisa’ ayat 79 pula menyatakan,

Apa jua kebaikan (nikmat kesenangan) yang engkau dapati maka ia adalah dari Allah; dan apa jua bencana yang menimpamu maka ia adalah dari (kesalahan) dirimu sendiri. Dan Kami telah mengutus engkau (wahai Muhammad) kepada seluruh umat manusia sebagai seorang Rasul (yang membawa rahmat). Dan cukuplah Allah menjadi saksi (yang membuktikan kebenaran hakikat ini).

 

Ummu Abbas

2.26pm

6 Zul Qi’dah 1430H

Spesis ISA dalam PAS

Vacuum-cleaner-diagramAminah sedang memvakum karpet di rumahnya.  Segala debu  terbang menghuni di dalam beg kotoran.  Satu ketika, Aminah melihat kotoran masih tersisa di atas lantai.  Puas disedutnya namun hampa.  Aminah melihat alat penyedut.  Rupa-rupanya terdapat banyak rambut melekat yang menghalang kotoran lain disedut melaluinya.  Aminah membuang rambut-rambut itu dan meneruskan semula kerja membersih.

*******************************

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَأٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ 

Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.

al-Hujurat; 6

Tatkala menyalin surah al-Hujurat, ayat 6 ,  hati tergugah mengenang dugaan Allah pada diri.  Di zaman belajar dahulu, ayat ini sentiasa diulangi lewat usrah dan tamrin yang bertubi-tubi.  Menjadi sunnatullah, setiap perkataan pasti diuji, maka berhati-hatilah apabila mahu berkata-kata agar hati tidak mati.

I.S.A

Hati tersayat setiap kali melihat jentera PAS melaung-laung hapuskan ISA… mansuhkan ISA.  Pelbagai usaha dibuat dari doa hinggalah proses teknikal undang-undang.  Saya sendiri pernah diancam ISA.  Saya dengan suami stress semacam.  Kebetulan kami ada ‘family day’ jabatan di sebuah kawasan peranginan, dapatlah melegakan sedikit perasaan.  Masing-masing bungkam tidak dapat berkata apa-apa.  Satu insiden kecil berlaku, di bilik chalet, air panas tercurah di atas lengan semasa membuat susu si kecil (Aesya pada masa itu).  Perasaan tertekan tergugah kembali.  Alhamdulillah, gel gamat sentiasa dibawa bekal.  Selepas melumur gel gamat, kulit yang kepanasan segera dingin dan tiada kesan lagi.  Hanya merah-merah sekejap.  Peristiwa yang menyebabkan kami berdepan dengan ancaman ISA tidak perlu  diceritakan di sini buat masa ini.  Apa yang pasti, peguam sendiri yang menyatakan demikian.  Hal remeh -temeh yang kami lakukan berdepan risiko dikenakan ISA. 

Merasai kemungkinan dikenakan ISA sudah pun menganggu ketenteraman hidup, apatah lagi mereka yang benar-benar melaluinya.  Hati turut benci dan bersemangat setiap kali kempen-kempen mengenainya diutarakan di media.  Siapa yang suka dizalimi?  Siapa yang suka dianiaya?  Tanyalah pada binatang sekalipun, jawapannya, “Oh No!”  Pasti.  Iya sudah pasti.  Kerana itu, Islam mengharamkan kezaliman walaupun pada tumbuhan dan haiwan yang tidak berakal.  Apatah lagi bersifat zalim sesama manusia yang punya nilai kebebasan dalam hidup mereka.

Abi Zar r.a melaporkan bahawa Nabi S.A.W berkata, ”Allah Taala berkata,

 ’Wahai hamba-hamba-Ku, Aku telah haramkan ke atas diri-Ku sifat zalim dan Aku jadikan kezaliman itu juga haram ke atas kamu semua maka janganlah berlaku zalim sesama sendiri.

Direkodkan oleh Muslim

 

Zalim adalah HARAM MUTLAK selama-lamanya.  Namun itulah, ramai manusia menzalimi diri sendiri.  Setinggi mana tahap kezaliman pada diri sendiri, setinggi itu pulalah penzalim akan menganiaya orang lain.  Setiap individu tidak akan berlaku zalim pada orang lain selagi mana dia adil pada diri sendiri.  Zalim tahap pertama seseorang pada diri sendiri adalah melupakan Allah, maka Allah lupakan mereka.  Allah menyarankan di dalam surah al-Baqarah, ayat 152,

فَاذْكُرُونِي أَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُواْ لِي وَلاَ تَكْفُرُونِ

Maksudnya: 

Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi syariatKu), Aku akan ingat kamu (yakni Aku membalas kamu dengan kebaikan) serta bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu).

 

Apabila dengan Allah manusia tidak takut, tiada lagi kuasa lain yang dapat menghalangnya berbuat jahat.  Apabila Allah melupakan kita, maka tiada lagi kuasa yang dapat menahan kita dari berbuat maksiat kecuali kita hanya akan dibantu iblis semata-mata.  Apabila Allah lupakan kita, maka iblis bebas berkeliaran menguasai hati kita.  Tiada kuasa yang dapat menghalang tipu daya iblis KECUALI ALlah.  Hanya ALlah yang maha tahu dan melihat gerakgeri iblis. 

Tanyalah seluruh manusia di dunia, siapa yang pernah melihat iblis dengan rupanya yang sebenar?  Kalau rupanya sahaja kita tidak mampu melihat, bagaimana kita mampu melawan musuh yang tidak nampak?  Tidak dapat tidak kita ‘terpaksa’ baik dengan Allah dan memohon pertolongan zat yang dapat melihat musuh tersebut. 

Dalam membara semangat mahu ISA dihapuskan, hati disayat-sayat lagi.  Akal meneroka peristiwa demi peristiwa kezaliman ahli PAS sesama ahli.  Zalim yang tersembunyi namun cukup menjadi barah kepada perjuangan PAS. 

Berikut adalah contoh-contoh yang pernah berlaku;

Peristiwa 1

Si fulan suka menuduh si fulan tanpa usul periksa.  Hanya semata-mata sahabat menguzurkan diri dari menghadiri program, kata-kata berikut dilepaskan, “Si fulan sudah tercicir dari perjuangan”. 

Andai kata-kata itu tidak dilepaskan di lisan, tiada siapa yang akan mengetahui.  Si penuduh juga masih sempat beristighfar dan membersihkan hati.  Namun bila sudah terlancar kata, benarlah ungkapan,

Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya

Jika sedikit empati dan sangka baik ada dalam diri, si penuduh boleh sahaja  berfikir, “Kenapa si fulan tidak hadir ye?  Apa yang telah terjadi padanya?  Mungkin  dia sedang menghadapi masalah berat.  Aku akan bertanya sendiri padanya bila bersua”.

Cuba fikir, satu ketika yang lain, si penuduh berhadapan dengan masalah sehingga tidak dapat menghadiri program, apakah dia gembira rakan-rakannya membuat tuduhan yang sama dan menyebarkan pula pada orang lain?

 

Peristiwa 2

Di satu kawasan, si ibu memegang jawatan bahagian muslimat.  Si bapa juga memegang jawatan penting dalam parti.  Anak teruna pula memegang jawatan penting dalam Pemuda.  Menantu pula pegang jawatan dalam sayap kiri.   

Seorang yang pendek akal fikirannya (kerana lupa kepada mati) berkata, “Hai… si fulan ini melantik kroni dia sahaja pegang jawatan itu dan ini”.   Sebelum disebarkan kata-kata yang tiada hujjah itu, adalah baik menyelidik dahulu perkara yang menimbulkan keraguan tersebut.  Jika mereka benar-benar layak memikul amanah  tersebut, tidak timbul lagi soal kroni atau nepotisme.

Ungkapan ini bila sudah didengar merata-riti, ia menjadi fitnah kepada mangsa.   Ia akan menusuk dan menguasai hati pendengar.  Seterusnya menimbulkan kebencian dan perpecahan.  Anak buah yang termakan kata-kata itu akan kurang thiqah pada pemimpin itu lagi. 

Akibatnya sungguh buruk sekali.

Tuduhan itu merupakan satu bentuk hukuman sebelum mangsa dibicarakan.  Mangsa fitnah tidak ditanya terlebih dahulu tentang rasional dan justifikasi hal itu berlaku, kemudian tersebar khabar bahawa dia seorang kronisme dan nepotisme.

  Bagaimana jika penyebar fitnah itu rasa bila seseorang menyebarkan berita buruk mengenainya, sedangkan dia sendiri tidak pernah ditanya dan diberi peluang membuat penjelasan.  Tup..tup keluar kesimpulan menyatakan dia seorang yang berat sebelah dan berbagai fitnah lagi. 

Fitnah itu lebih berat dari membunuh.  C4 yang membunuh Altantuya kita nampak, fitnah yang membunuh sesama saudara kita pejamkan mata.

 

Peristiwa 3

Seorang ulama yang ikhlas didermakan (baca: dipinjamkan) kereta mewah oleh jutawan pemurah.  Hasad dengki yang merasuk  jiwa mula meluncurkan kata-kata, “Ulama itu terima rasuah”. 

Alangkah mudahnya lidah tidak bertulang menghukum seseorang.   

Adakah sama menerima derma (baca: dipinjamkan) dengan menerima rasuah?

 Sungguh jelik pemikiran orang yang menuduh dan membuat fitnah.  Hati diselaputi buruk sangka atau Phd (Pingat Hasad Dengki), maka dia menyangka ulama itu sanggup/tergamak melakukan dosa besar itu.  Kemungkinan besar yang ada, si pemfitnah itu sendiri yang tergila-gila kereta mewah tetapi tidak  dapat memperolehinya atau jika ada, dia mendapat dengan susah payah.

Menyangka seseorang yang alim dan takutkan Allah sanggup melakukan dosa besar adalah kesalahan besar.  Ulama bertaqwa tidak maksum namun mereka bukanlah golongan yang akan sengaja berbuat dosa.  Lazimnya perbuatan dosa berlaku dalam 3 keadaan yang diampunkan Allah;

  1.  Tidak tahu.
  2. Terlupa.
  3. Tidak sengaja.

 

Nabi s.a.w berkata;

Telah diangkat dosa dari ummatku bila mengerjakan sesuatu kerana tersalah, terlupa dan dipaksa.

Hadis direkodkan oleh Ibn Mâjah, aT-Thabarani dan al-kim

 

Allah berkata di dalam surah al-Ahzab ayat 5,

Dan tidak ada dosa atas kamu mengenai pekerjaan-pekerjaan yang kamu kerjakan kerana silap, yang salah ke atas kamu ialah perkara-perkara yang kamu kerjakan dengan sengaja.

 

Peristiwa 4

Seorang guru digantung jawatannya atas kesalahan yang dia sendiri tidak tahu mengenainya.  Guru itu tidak pernah dipanggil dan ditanya mengenai aduan tentang kelakuan yang dianggap menyalahi etika. 

Sekadar mendengar dakwaan dan aduan dari pihak yang tidak dapat dipastikan niatnya, guru tersebut menerima surat digantung kerja berbulan-bulan.  Dalam tempoh digantung, gajinya hanya separuh dari kadar biasa yang sememangnya tidak banyak.

Guru tersebut punya keluarga yang harus ditanggung.

Bukankah ini satu bentuk hukuman ala-ala ISA?  Dihukum tanpa dibicarakan.  Cuma tidak dipenjarakan.

 

Untuk direnung

Semua contoh peristiwa di atas menyalahi etika menyelidik sebagaimana yang diaktakan  ayat 6 surah al-Hujurat.  Maka bergelimpangan mangsa-mangsa ala-ala ISA yang menerima hukuman dari pimpinan mereka sendiri baik dalam situasi  rumahtangga (isteri menuduh suami, suami menuduh isteri),  kerjaya, suasana kerja dalam parti dan lain-lain.  Ia muncul dari sikap zalim pada diri sendiri; gopoh, pongah, hasad dengki, suka ‘laser-laser’, suka bawa cerita, tidak cermat menerima khabar, terburu-buru pula buat keputusan,  tidak suka bertanya perkara yang tidak faham sebaliknya terus menuduh yang bukan-bukan.  Cubalah buat kajian di kalangan ahli dan pendokong PAS, berapa ramai yang pernah diISA kan dalam PAS.  Selidik sahaja dari pucuk pimpinan tertinggi parti hingga ke akar umbi.  Selami hati mereka dan kembali kepada Islam bagaimana cara menyucikannya.

Sejak dahulu, kini dan ‘moga bukan selamanya’, insiden-insiden begini sering berlaku.  Mangsa aniaya sering sabar dan sabar dengan kerenah sahabat-sahabat sejemaah, namun aduan dan keluhan mereka yang teraniaya ini kepada Allah sedikit sebanyak memberi kesan kepada perjuangan umum.   Sudah tentu mereka tidak berdoa agar Allah memayahkan perjuangan PAS namun kezaliman adalah sesuatu yang diharamkan oleh Allah pada sesiapa pun jua.  Sebelum Allah membantu PAS menghapuskan ISA ciptaan UMNO, ragam dan kerenah ala-ala ISA yang wujud di dalam PAS lah yang WAJIB dihapuskan dahulu.   Barulah Allah akan memberi kunci pertolongan yang tidak disangka-sangka.  Pertolongan Allah itu memang dekat namun kitalah yang meletakkan tabir hijab yang tidak kelihatan itu sehingga yang dekat terasa jauh. 

Hanya vakum yang bersih dapat membersihkan kotoran di luarnya.  Kalau beg vakum sendiri sudah penuh kotorannya dan alat penyedut juga tersumbat, kotoran diluar tetap akan tinggal diluar.  Sebanyak  mana kotoran luar dapat disedut bergantung kepada sekadar mana ada ruang-ruang kosong di dalamnya. Mana mungkin disedut-sedut selagi kotoran di dalam beg dan yang melekat di alat penyedut tidak dibuang.

Laluan taqwa itu memang payah namun itulah titian ke syurga.

Ayat 2 dan 3 dari surah al-Talaq menyebut,

وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا  وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا

Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.

 

Islam itu mendamaikan sesama ummah.  Biarkan merpati itu bebas kerana mereka juga punya hak peribadi.  Foto Aziz dan merpati di taman berhampiran Opera House Sydney 2007

Islam itu mendamaikan sesama ummah. Biarkan camar itu bebas kerana mereka juga punya hak peribadi. Foto Aziz dan camar di taman berhampiran Opera House Sydney 2007

Abu Hurairah r.a melaporkan bahawa Rasulullah s.a.w berkata,

 لَا تَحَاسَدُوا وَلَا تَنَاجَشُوا وَلَا تَبَاغَضُوا وَلَا تَدَابَرُوا وَلَا يَبِعْ بَعْضُكُمْ عَلَى بَيْعِ بَعْضٍ وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ لَا يَظْلِمُهُ وَلَا يَخْذُلُهُ وَلَا يَحْقِرُهُ التَّقْوَى هَاهُنَا وَيُشِيرُ إِلَى صَدْرِهِ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ بِحَسْبِ امْرِئٍ مِنْ الشَّرِّ أَنْ يَحْقِرَ أَخَاهُ الْمُسْلِمَ كُلُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ حَرَامٌ دَمُهُ وَمَالُهُ وَعِرْضُهُ

Maksudnya: “Janganlah kamu saling berdengki.  Janganlah kamu saling menjatuhkan.  Janganlah kamu saling membenci.  Janganlah kamu saling bermusuhan.  Janganlah sebahagian kamu menjual di atas jualan sebahagian yang lain.  Maka jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara. 

Setiap muslim merupakan saudara kepada muslim yang lain; dia tidak boleh menganiaya dan tidak boleh menghinanya.  Taqwa itu berada di sini.” (sambil Rasulullah s.a.w mengisyaratkan tangannya ke dada sebanyak 3 kali). 

“Cukuplah seseorang itu dianggap jahat bila dia menghina saudaranya sesama muslim.  Setiap muslim atas muslim yang lain haram darahnya, hartanya dan kehormatannya”.

           Hadis direkod oleh Muslim.

 

Selidik, semak, periksa

Konsep ‘tabayyanu’ itu perlu diteliti dan diperhalusi.  Kes yang sering terjadi ialah mereka yang diadukan tentang si fulan dan si fulan, hanya mendengar dari sebelah pihak.  Ada yang terus menerima.  Sebahagian mereka menyelidik dan mendapatkan saksi namun mereka tetap mendengar sebelah pihak sahaja.  Mereka mendengar dari individu yang ‘bias’.  Sedangkan antara syarat saksi ialah adil.

Di dalam mahkamah sendiri, hakim tidak akan menjatuhkan hukuman sebelum mendengar hujjah kedua belah pihak.  Meskipun pihak pendakwa mempunyai bukti kukuh, namun ia dibaca dan dipertontonkan di hadapan tertuduh.  Tertuduh tahu apa yang diperkatakan mengenainya dan tahu sumber-sumber tuduhan itu dikenakan ke atasnya.

Konsep kehakiman ini perlu diperluaskan amalannya di dalam mana-mana institusi;  persahabatan, keluarga, jemaah, parti, jabatan dan lain-lain.

Para pemimpin mana-mana peringkat sekalipun (seperti ibu dengan anak-anaknya dan lain-lain) perlu lebih berhati-hati dalam memutuskan sesuatu perkara.  Selidiklah dengan cermat dan dengar keterangan dari kedua belah pihak.  Banyak perkara yang berlaku, hukuman dijatuhkan kepada yang didakwa sebelum mendengar penjelasannya terlebih dahulu.  Insan yang didakwa pula menerima hukuman tanpa mengetahui asal usul tuduhan yang dikenakan.  Ia sungguh membingungkan dan betapa melemaskan perasaan.  Nasib baik Allah sering memujuk untuk membela hamba yang dianiaya meskipun mereka kafir sekalipun.  Jangan main-main!

Budaya cepat menghukum ini diakui berleluasa juga di medan internet dan media cetak.  Namun tulisan ini tidak bermaksud melihat ‘ke luar’, sebaliknya mahu mengajak pembaca melihat ke dalam diri sendiri.

Semaklah amalan diri selama ini, adakah aku pernah menganiaya sesiapa sama ada secara sengaja atau tidak?  Isteriku…suamiku…anak-anakku… sabahat-sahabatku…anak buahku di dalam jemaah mahu pun di alam kerjaya.  Jika sedar pernah melakukannya, segeralah bertaubat, memohon maaf dari mangsa dan perbaiki akhlak diri.  Buang mazmumah di hati dan bersiap diri untuk mati.  Orang yang paling cerdik ialah yang paling banyak mengingati mati.  Bila bertambah ramai ahli PAS yang cerdik hasil banyak ingat mati ini, hijab dosa-dosa ahli akan semakin menipis.  Bila hijab menipis, akan jelas kelihatan pertolongan Allah itu.

فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا. يُرْسِلِ السَّمَاء عَلَيْكُم مِّدْرَارًا

Sehingga aku berkata (kepada mereka), “Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun.”
“(Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu.”

Surah Nuh: 10-11

Hadis Abu Zar di atas diakhiri dengan kalimah berikut;

Wahai hamba-hamba-Ku, kamu semua melakukan salah dan silap setiap masa dan Aku adalah pengampun dosa-dosa, maka pohonlah keampunan daripada-Ku nescaya Aku akan ampunkan…”

  Direkodkan oleh Muslim

 

Ummu Abbas

11.04pm

2 Dzul Qi’dah 1430H

Tentang Solat Jamak

Salam’alaikum kak,

Saya menetap bersama suami di Kuala Lumpur (KL).  Saya dapat sambung master 4 tahun; Setahun di Pulau Pinang dan 3 tahun di KL.  Untuk tahun pertama, saya tinggal di Pulau Pinang bersama ibubapa.  Setiap Jumaat saya balik ke rumah suami.  Bolehkah saya Solat Jamak pada hari Sabtu dan Ahad?  Atau tidak boleh kerana rumah suami di kira tempat mastautin?

Dr Hafilah (nama samaran)

Melalui sms pada 18 Oktober 2009

****************************

Jawapan:

Wa’alaikum salam wbh,

Bergantung pada niat Hafilah.  Jika berniat pindah dari rumah suami ke Pulau Pinang, maka diharuskan Solat Jamak.  Jika masih mengekalkan niat menetap di rumah suami, maka tidak boleh Solat Jamak.

Begitu juga tidak boleh Solat Jamak di rumah ibubapa kerana dianggap tempat bermukim.

Solat Jamak diharuskan dalam perjalanan sahaja kerana itu sahaja dianggap waktu musafir.

 

Wallahua’lam.

 

Ummu Abbas

30 Syawal 1430H

3.39pm

Dari Lubuk Hati Ibu- Untuk anak remaja

Semalam saya mendapat panggilan dari sahabat, Kak Cik yang memberitahu tentang perkembangan karya bersama kami, “Dari Lubuk Hati Ibu”.  Buku itu dilamar oleh sebuah syarikat penerbitan terkenal di negara ini.  Antara perkara yang menyeronokkan bagi penulis ialah apabila karyanya dilamar penerbit.  Alhamdulillah.

Biasanya penulis bersusah payah mencari penerbit.  Itu pun bukan mudah mencari penerbit untuk sesebuah karya.  Banyak aspek perlu diambil kira terutama dari sikap amanah penerbit dengan penulisnya.  Apabila menemui penerbit yang sesuai, belum tentu karya diterima.   Apabila karya diterima pula, tidak ketahuan lagi bila hasil dapat dilihat di kedai-kedai buku atau di pasaran.  Semuanya menguji keikhlasan dan kesabaran penulis dalam berkarya. Astaghfirullah.

Kembali kepada buku kami, Dari Lubuk Hati Ibu.  Buku itu telah diterbitkan sendiri oleh syarikat Kak Cik.  Cetakan pertama sebanyak 1000 naskhah dijual dalam tempoh sebulan.  Alhamdulillah.  Kak Cik dan suami, Ustaz  (Dr) Azhar Yaakob  banyak memenuhi undangan ceramah dan kuliah sekitar Lembah Pantai.  Latar belakang mereka yang dikenali ramai memberi sumbangan kepada pasaran buku ini.

 

Saya menulis mengenai penulisannya dalam entri bertajuk, “Catatan: Tulis Buku Lagi” bertarikh 25 November 2008.  Cetakan kedua dijangka dapat dipasarkan di PBAKL09 namun belum di izinkan Allah.  Ustaz Azhar yang sedia sibuk tidak sempat menguruskan cetakan kedua.  Subhanallah.

Semasa PBAKL09 berlangsung, baru saya berkesempatan melihat buku tersebut.  Bakinya beberapa buah saya perolehi dari Kak Cik dikesempatan menziarahinya di Gombak.  Sekarang baki cetakan pertama itu ada 3 unit.  Saya sudah simpan untuk Puan Milla-aisyahcollection 1 unit.  Sesiapa yang berminat mendapatkan baki 3 unit itu, sila tinggalkan alamat di ruang komen atau melalui email.  Harganya RM19 termasuk pos.

Insya Allah, saya akan menandatangani buku yang dibeli terus dari saya.  Sahabat saya, Kak Cik tidak dapat menandatanganinya kerana berada jauh di Gombak.  Sedangkan saya tinggal di Kelantan.

Sebahagian bab dari buku ini pernah saya siarkan dalam blog ini.

Saya akan maklumkan keluaran baru buku tersebut setelah selesai urusan dengan pihak penerbit.  Pihak penerbit juga mahukan kami menambah isi kandungan buku. 

 Allahuakbar.

Sinopsis Buku

 

Buku ini merupakan luahan impian ibubapa terhadap anak-anaknya yang diserasikan dengan kehendak al-Rahman.  Kehendak al-Rahman yang mencakupi perkara-perkara asas bagi individu muslim buat bekalan melayari hidup di dunia fana.  Kami sedar kita semua sangat naif dalam mendidik anak-anak, terutama anak-anak di zaman sekarang.  Zaman penuh fitnah dan asakan globalisasi tamadun manusia yang bergerak dan berkembang pantas.  Perkembangan tamadun material yang tidak seimbang dengan tamadun iman dan akhlak. 

Iman kita sebagai ibubapa yang naik turun terasa menghambat usaha memberi tarbiyah terbaik untuk anak-anak.  Kita juga tidak mampu menjadi role model mukmin dan mukminah buat anak-anak.  Kita banyak kekurangan; kurang ilmu, kurang mengenal Allah, kurang sifat muraqabah, kurang ‘parenting skill’, kurang sabar dan serba serbi kekurangan lagi.  Ulama yang bergiat dalam politik dan di medan masyarakat  juga banyak kekurangannya dalam mendidik anak isteri.  Apatah lagi kita yang serba jahil ini.

Apa lagi yang mampu dilakukan selain mencurahkan teori dan harapan melalui tinta pena.  Disamping sedikitnya usaha kita, hakikat yang mendidik itu Allah jua.  Kita hanya wasilah yang teramat kecil dalam memandu dan mendidik anak-anak mengenal Allah dan menjadi hambaNya yang baik.

Buku ini dicoretkan dalam gaya berbual dengan anak-anak.  Sewajarnya ibubapa yang membacanya terlebih dahulu sebelum dihadiahkan buat anak-anak tercinta.  Agar ia diserahkan dengan sepenuh harapan terhadap isi kandungan buku agar menjadi santapan jiwa anak-anak.

 

Ummu Abbas

9.06am

28 Syawal 1430H

 Dari Lubuk Hati Ibu

Isi kandungan buku:

Pembuka Bicara

Selayang Pandang

Di Sini Mulanya

Dari Mana? Dan Mahu Ke Mana?

Tak Kenal Maka Tak Cinta!

Masa Adalah Kehidupan

Binakan Temboknya

Tiada Teman Sebaiknya

Hatinya Bersama Masjid

Ibumu… Ibumu… Ibumu…

Tiang Hidup

Kecantikan Yang Sebenar

Cermin Yang Baik

Senjata Orang Beriman

Ibu Juga Manusia Biasa

 

 

Nukilan Pembaca Buku Ini yang juga seorang ibu;

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang mengizinkan buku ‘Dari Lubuk Hati Ibu’ ini hadir untuk tatapan pembaca.  Saya secara peribadi telah membaca dan menghayati buku ini dengan Qalbu… lalu terasa bagaimana penulis telah menjiwai diri saya, luahan saya, hasrat saya terhadap anak-anak.  Kepada para ibubapa, buku ini sangat baik untuk kita, banyak ilmu yang terkandung di dalamnya, banyak juga pengalaman berharga penulis yang memberi iktibar kepada kehidupan kita.  Berkali-kali air mata saya mengalir ketika menghayati kandungan buku ini.  Saya yakin sesuatu yang ditulis dari hati… pasti akan jatuh ke hati jua.  Allahu waliy al-taufiq.  Wallahua’alam.

 

Ustazah Nor Anisah Musa

Timbalan Mudir, Maahad Tahfiz Darul Furqan, Kuala Lumpur.

Kronologi Isu Purdah yang membabitkan Syeikh Muhammad Tantawi

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَأٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ 

Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.
al-Hujurat; 6

Sumber berita di bawah:  http://hairulnizammathusain.blogspot.com/2009/10/kronologi-isu-niqab-purdah-yang.html

 

syeikh_Tantawi

Al-Imam Al-Akbar sering dinista oleh akhbar dan berita. Banyak tindakan dan ucapan beliau dieksploitasi sehingga beliau sering diburukkan. Sebelum ini beliau dituduh dengan tuduhan menghalalkan riba sedangkan perkara tersebut tidak berlaku sama sekali.

Kali ini beliau dituduh pula dengan tuduhan ingin mengharamkan niqab (purdah).

Berikut adalah sedikit kronologi peristiwa yang berkait dengan isu niqab ini.

**************************

1. Isu bermula apabila al-Imam al-Akbar al-Syeikh Muhammad Sayyid Tantawi melawat satu sekolah maahad al-Azhar khas untuk pelajar perempuan (Maahad Fatayat Ahmad Allibi) pada Sabtu bersamaan 4/10/2009. Beliau telah melawat satu kelas lalu melihat ada seorang pelajar perempuan bernama Alak ( آلاء ) memakai purdah. Alak berumur 13 tahun.

2. Al-Syeikh Muhammad Sayyid Tantawi telah meminta pelajar perempuan itu membuka purdah kerana kelas tersebut hanya untuk para pelajar perempuan sahaja. Beliau merasa hairan mengapa pelajar tersebut memakai purdah sedangkan kelas tersebut khusus untuk pelajar perempuan, guru yang mengajar adalah guru perempuan dan bilik kelas adalah tertutup. Alak pada awalnya tidak membuka niqab apabila Al-Syeikh Muhammad Sayyid Tantawi memintanya membuka niqab.

3. Al-Syeikh Muhammad Sayyid Tantawi selepas itu telah menegaskan bahawa beliau tidak akan membenarkan pelajar perempuan memakai purdah di dalam kelas-kelas mereka. Beliau juga menafikan kenyataan media yang menyatakan bahawa beliau bercakap dengan Alak dengan nada suara yang kasar.

4. Majlis Tertinggi Al-Azhar ( المجلس الأعلى للأزهر الشريف ) telah mengadakan mesyuarat tergempar yang dipengerusikan oleh Al-Syeikh Muhammad Sayyid Tantawi pada Khamis lalu bersamaan 8/10/2009 untuk membincangkan isu niqab ini. Majlis telah memutuskan bahawa:

• Para pelajar perempuan dibenarkan untuk memasuki premis al-Azhar al-Syarif secara berniqab. Wanita yang berniqab tidak boleh dihalang daripada memasuki perkarangan al-Azhar al-Syarif

• Para pelajar perempuan dibenarkan memakai niqab apabila ada orang lelaki bersama mereka di dalam premis al-Azhar

• Para pelajar perempuan tidak dibenarkan memakai niqab di dalam bilik-bilik kelas kerana semua pelajar adalah perempuan. Larangan ini berkuatkuasa apabila guru yang mengajar juga adalah perempuan

• Para pelajar perempuan tidak dibenarkan untuk memakai niqab sewaktu peperiksaan berlangsung. Maka para pengawal semasa peperiksaan berlangsung hendaklah di kalangan wanita.

• Majlis Tertinggi al-Azhar bukanlah menghalang wanita daripada memakai niqab dalam kehidupan seharian mereka sebaliknya Majlis tidak bersetuju niqab dipakai pada tempat-tempat yang tidak sepatutnya yang akan memberikan kesan yang negatif pada pemikiran kanak-kanak lebih-lebih lagi pandangan yang mengatakan bahawa wajah wanita wajib untuk ditutup adalah pandangan minoriti fuqaha Islam.

5. Al-Syeikh Muhammad Sayyid Tantawi menegaskan bahawa beliau menghormati wanita yang memakai niqab selagi mana tidak menyakiti orang lain dan tidak membawa kepada masalah keamanan.

Beliau menegaskan bahawa tujuan ketetapan Majlis Tertinggi Al-Azhar tersebut dibuat adalah kerana untuk menjaga kehormatan para pelajar perempuan. Ini kerana berlaku pencerobohan beberapa orang lelaki ke dalam premis al-Azhar yang khusus untuk pelajar perempuan.

Selain itu ketetapan ini juga dibuat demi untuk mengelakkan berlakunya penipuan di dalam peperiksaan. Beliau menegaskan bahawa tahun lepas menyaksikan 12 kes penipuan semasa peperiksaan apabila para pelajar wanita yang berniqab yang terbabit telah meletakkan alat rakaman di sebalik niqab yang dipakai.

Sumber:

1. Surat Khabar al-Liwa’al-Islami bertarikh 15 Oktober 2009, bilangan ke 1447, m/s 1
2. Majalah al-Musowwar bertarikh 14 Oktober 2009, bilangan ke 4436, m/s 15 – 16.
3. http://www.islamonline.net/servlet/Satellite?c=ArticleA_C&cid=1254573447321&pagename=Zone-Arabic-News/NWALayout
4. http://www.islamonline.net/servlet/Satellite?c=ArticleA_C&pagename=Zone-Arabic-News/NWALayout&cid=1254573332008
5. http://www.islamonline.net/servlet/Satellite?c=ArticleA_C&pagename=Zone-Arabic-News/NWALayout&cid=1254573461106&utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=rss

Mat Rock Ajak Dating

SkuaCouple

Suatu hari saya menziarahi seorang kawan baik di Kota Bharu. Aini, seorang saudara saya menemani saya. Saya rapat dengan dia waktu itu kerana dia juga tinggal berjiran. Apatah lagi usianya hanya tua setahun dari saya.

Hari itu saya memakai jubah berwarna hitam berbunga batik di bahagian kaki dan bertudung hijau. Tudung itu labuh melepasi dada tetapi tidaklah labuh seperti tudung sekolah. Pakaian seperti itu pada waktu itu digelar ‘Hantu Kum Kum’. Jarang remaja seperti saya (berusia 13 tahun) yang mahu mengenakan pakaian seperti itu sama ada waktu itu atau sekarang. Nampak seperti orang tua kata sesetengah orang. Bagi saya, saya pakai apa yang saya selesa dan Allah reda. Cukup.

Sedang kami duduk-duduk di dalam bas untuk pulang ke rumah, tiba-tiba dinding bas di sebelah tempat saya duduk diketuk seseorang. Lazimnya bas-bas SKMK di stesen Kota Bharu itu lambat bergerak kerana menunggu penumpang ramai dahulu atau menunggu masa yang ditetapkan. Saya yang duduk di tepi tingkap bas menjenguk ke bawah.

Seorang pemuda berseluar ketat dan berambut panjang ada di bawah bersama beberapa rakannya. Dia mendongak ke arah saya sambil berkata, “Saya nak jumpa awak, boleh?”

Saya agak terperanjat mendengar pelawaan terbuka seperti itu. Di belakang pemuda itu, ramai orang awam di stesen bas itu.

“Tak boleh. Tak baik… nanti Allah marah,” saya berterus terang sahaja.

“Saya nak juga jumpa awak, tolonglah… beritahu bila dan di mana, ikut suka awak,” pemuda itu merayu lagi.

Hai… jawapan seperti itu pun dia tidak boleh terima.

“Tak boleh. Saya tak biasa jumpa (dating) dengan mana-mana lelaki”

“Bolehlah awak….”

Oleh kerana pemuda itu terus berkeras mahu jumpa saya sambil mengetuk dinding bas semakin kuat bertalu-talu, saya menjawab, “Macam nilah… kalau saya datang dengan Abah saya macam mana? Boleh tak”

Saya menyatakan demikian dengan sangkaan dia akan merasa takut dan pergi dari situ namun pemuda itu terus sahaja setuju.

“Boleh. Datanglah dengan Abah awak pun.. tak mengapa asalkan boleh jumpa awak”

Alamak! Saya bukan mahu jumpa dia pun dan belum tentu Abah akan setuju saya jumpa dia. Saya menggelabah lalu berkata,

‘Tak boleh. Macam nilah.. awak jumpa je kawan saya kat sebelah saya ni. Lagi pun dia lebih cantik dari saya” saya memberi cadangan ‘desperate’ sambil menuding jari ke arah Aini yang duduk di sebelah saya. Aini memang gadis cantik pada mata saya. Saya sendiri biasa-biasa sahaja. Itu jawapan mahu melepas diri sahaja dan tiada niat di hati saya agar Aini berdating dengan pemuda itu.

Aini mencuit bahu saya, “Isy.. apa ni Nur. Dia nak jumpa Nur lah, bukan saya..”

“Tak nak. Saya nak jumpa awak juga…” pemuda itu tetap dengan pendiriannya. Saya bertambah kaget. Lelaki apa ini, dipelawa perempuan secantik Aini pun ditolaknya.

Aduh… biar betul mata pemuda ini. Saya tiada idea lagi untuk menghentikan lamaran pemuda itu. Saya malu juga sebab dia bercakap dengan saya sambil mengetuk-ngetuk dinding bas dengan kuat kerana saya menolak pelawaannya. Banyak mata memandang kami.

Ada ke patut… zaman itu zaman Rock dan al-Arqam. Zaman Amy Search dan Awie Wings. Antara rockers dengan imejnya berseluar ketat berambut panjang dan pemuda-pemuda Arqam dengan imej berjubah dan berserban, hati tertarik dengan jubah dan serban. Alih-alih Mat Rock pula datang mengorat. Namun bukanlah saya berminat dengan Arqam dan pemuda-pemudanya. Saya minat pakaian sunnah itu sahaja.

Lagi pun, saya tidak rasa saya perempuan menarik. Jadi saya rasa pelik bila ada pemuda yang terang-terangan ajak dating secara terbuka begitu. Dah tu… saya pelawa saudara saya pun dia tidak mahu. Entahlah…agaknya pemuda itu pekena ‘benda’ itu… tidak tahulah saya. Hanya lelaki yang lebih tahu sikap lelaki. Macam dalam drama dan filem pula, yang mana heronya melaung dengan kuat, I Love You kepada kekasihnya di hadapan public. Kononnya untuk membuktikan tulus dan benarnya cinta dia.

Seorang makcik ‘tok peraih’ yang duduk di hadapan kami waktu itu akhirnya menoleh kepada saya,
“Dahlah tu dik. Tak payah layan lagi. Budak tu gila agaknya.”

Saya terus mendiamkan diri dan tidak lagi menoleh ke arah pemuda itu. Saya agak pemuda itu turut mendengar apa yang dikatakan makcik peraih beras itu. Pemuda itu berang nampaknya dan sebelum pergi dia sempat menumbuk dinding bas itu lagi (atau bas yang bergerak meninggalkan pemuda itu. Saya lupa yang ini). Kecut perut saya dibuatnya.

Saya ketakutan juga sebab saya akan berulang lagi ke sekolah setiap hari menaiki bas di stesen bas itu. Bimbang jumpa lagi dengan pemuda itu.

Memang ya… saya perasan pemuda itu pernah melintas di hadapan saya semasa saya melintasi pinggiran Pasar Buluh Kubu. Pasar Buluh Kubu (sekarang Pasar Siti Khadijah) itu menjadi laluan wajib pelajar MMP yang berulang menaiki bas SKMK. Agaknya dia bekerja di pasar itu. Namun alhamdulillah, dia tidak berani mendekati saya lagi. Dia hanya memandang dari jauh dan kelihatan seperti melarikan diri bila terserempak dengan saya. Agaknya dia malu dengan peristiwa yang berlaku.

Peristiwa itu tidak ada kena mengena dengan sebab-sebab saya memakai purdah. Saya tahu ramai wanita berpurdah menjadikan alasan diminati ramai lelaki untuk memakainya. Dengan hanya satu kes begini tidak mendorong saya memakai purdah atau kerana hanya beberapa orang yang pernah mengirim salam. Saya sudah jelaskan kenapa saya memakai purdah dalam entri sebelum ini.


Banyak ikitbar dari pengalaman tersebut:-

1. Perempuan jangan mudah perasan agar diri tidak mudah ditimpa perasaan. Bila sudah ditimpa perasaanlah, ramai perempuan lupa diri dan lupa Allah. Akhirnya menyerah diri. Nauzubillah. Perasan itu sifat mazmumah. Jadi memang patut siapa-siapa yang perasan terhijab hatinya dari melihat realiti. Ramai lelaki ‘usha’ perempuan untuk menguji mereka sahaja. Adakah perempuan itu tahu menjaga diri atau tidak.

2. Ikut sahaja ajaran agama agar diri selamat dunia akhirat.

    - Jangan berdating dengan mana-mana lelaki ajnabi. Barulah kita akan dapat suami yang tidak pernah berdating dengan mana-mana perempuan. Sabar adalah perlu untuk meninggalkan larangan Allah. Jangan terburu nafsu, nanti diri yang lesu.
    - Kalau hari ini, lelaki mudah berdating dengan kita yang belum sah sebagai pasangannya, peratus untuk dia berdating pula dengan perempuan lain yang tidak halal selepas berkahwin dengan kita adalah tinggi.
    - Perasaan terhadap pasangan sebelum kahwin dan perasaan terhadap suami sangat berbeza macam langit dan bumi. Jangan ambil mudah. Cemburu kepada suami tidak sama cemburu kepada pasangan yang belum halal.

3. Jika bercita-cita mendapat suami soleh, usahakan diri sendiri menjadi solehah dahulu.

    – Jika kita tinggalkan sesuatu kerana takutkan Allah, Allah gantikan dengan yang lebih
    baik. Alhamdulillah, Allah kurniakan saya suami yang baik.

4. Cara mendiamkan lelaki yang mengorat atau mengusik kita ialah diam. Pada masa peristiwa di atas berlaku, saya masih sangat muda dan baru masuk ke usia baligh. Saya tidak tahu dan tidak kenal sikap lelaki. Saya banyak belajar dari abang-abang kandung saya bagaimana seharusnya kita berakhlak bila bermuamalah dengan lelaki ajnabi.

    Iya…
    Diamlah bila ada lelaki yang menelefon sedangkan tiada perkara penting yang hendak dicakapkan.
    Diamlah bila ada lelaki sms pada perkara yang tidak perlu.
    Diamlah bila ada lelaki jalanan memberi salam mengorat di tepi-tepi jalan.
    Diam sahaja.
    Tidak perlu marah atau mencela mereka… silap haribulan kita sama berdosa dengan mereka.
    Jika saudari marah-marah, ia hanya memberi modal tambahan untuk mereka mengusik kita.
    Jadi diam sahaja. Mereka akan kehilangan modal dan idea serta merasa boring kerana bercakap seorang diri.
    Buat kerja kita dan pedulikan mereka.

    Jika kita memelihara diri kita, insya Allah pasangan yang Allah telah tentukan untuk kita juga akan memelihara dirinya dengan inayah Allah. Pokoknya, yakin dengan jodoh ketentuan Allah. Cari yang halal dengan cara yang halal. Insya Allah diberkatiNya.

5. Buat lelaki yang baik, ajarlah anak-anak perempuan atau adik-beradik perempuan mengenai lelaki. Abang saya bercerita kepada saya mengenai pandangan lelaki terhadap perempuan, jadi saya lebih tahu menjaga diri agar menjadi gadis bermaruah. Alhamdulillah. Kalaulah abang-abang saya tidak memberi tunjuk ajar, sudah tentu saya mudah terpedaya seperti ramai gadis-gadis lain.

Carilah reda Allah, nescaya bahagia…

Ummu Abbas
12.26am
25 Syawal 1430H

Bila anak tidak mendengar kata…

Azie 

Submitted on 2009/06/12 at 10:12am

Assalamualaikum.

Semoga Ummu Abbas cepat sihat dan dapat menjalani kehidupan seperti biasa.

Azie ada soalan yang berkaitan dgn pendidikan anak menurut Islam.   Azie ada 4 orang anak, 2 lelaki dan 2 perempuan yang berusia antara 5-12 tahun. Yang menjadi masalahnya mereka sukar mengikut cakap Azie.  Mereka lebih mendengar kata-kata orang lain walaupun apa yang diutarakan itu adalah sama. Macamana caranya supaya mereka lebih mendengar kata ?

Satu lagi masalah ialah cara mendidik anak agar bertudung dan menutupi aurat.  Anak perempuan bongsu Azie yang berusia 5 tahun tidak mahu bertudung. Walaupun usianya masih kecil,  tetapi kita mesti mendidik mereka daripada kecil.  Dah puas Azie memujuk dan menerangkan agar dia bertudung, tetapi tidak diendahkan.  Kadang-kadang sampai tahap mengugut.  Nak tunggu pihak sekolah menetapkan peraturan memang mustahil, kerana anak bersekolah di International School.  Dia asyik mengulangi kawan2nya tidak memakai tudung sedangkan mereka berbilang bangsa.  Azie sudah buntu untuk menerangkan kepadanya bagaimana caranya agar dia bertudung.

Dari mata Azie, masyarakat Arab di sini juga tidak menitik beratkan perihal aurat. Pemakaian abaya dan niqab hanyalah sebagai tradisi sahaja bukan kerana peraturan agama.  Entah, ingatkan berada di bumi Arab ni semakin bertambah iman….Semuanya itu terpulang kepada diri seseorang itu sendiri “tepuk dada tanya IMAN”.

Wassalam.

***********

Wa’alaikum salam warahmatullah Azie.

 

Semoga Azie sekeluarga berada dalam keadaan sihat dan tenang selalu.

Pertamanya, mohon maaf di atas kelewatan memberi jawapan kepada permasalahan ini.

Di bawah ini, saya ceritakan serba sedikit pengalaman saya bersama anak-anak untuk dijadikan renungan bersama. 

 *************************

Cantik

 

Suatu hari saya sedang melihat-lihat imej dalam google.  Aesya, satu-satunya anak perempuan saya berusia 4 tahun tumpang melihat sama.  Anak-anak begitulah, asalkan ternampak foto-foto, mereka akan asyik.  

Tiba-tiba Aesya terpandang wajah perempuan berkulit hitam, “Ummi, perempuan ini hodoh sebab kulit dia hitam”.

Saya tersenyum sambil memandang Aesya, “Dia cantik.  Hitam atau putih semua Allah yang ciptakan”.

 

Cantik itu subjektif!

Cantik itu subjektif!

“Aesya suka hitam atau putih?”

“Aesya suka putih.  Putih cantik”

“Alhamdulillah, Aesya sudah putih. Tapi Aesya perlu jaga kat sini supaya cantik juga,” saya berkata kepada Aesya sambil meletakkan tangan di atas dadanya.  Sebelah tangan memeluk bahu Aesya.  Pada masa itu, kami hanya berdua.  Jadi saya dapat berbual-bual dengannya penuh privasi.

“Kalau hati cantik, Aesya akan bertambah cantik.  Tapi kalau hati kotor, Aesya akan nampak hodoh walaupun kulit Aesya putih”. 

Semasa saya menyebut “bertambah cantik”, saya mendepakan tangan dan menunjukkan ke arah wajah untuk menggayakan hal tersebut.  Anak-anak seusia Aesya biasanya suka bila kita bercerita atau bercakap sambil membuat gaya-gaya tertentu.

Aesya menganggukkan kepalanya. 

 

Bila saya bercakap sambil menyentuh anak, suara saya sekadar didengar oleh Aesya sahaja.  Bila bercakap dengan nada lembut, perlahan dan terdapat sentuhan, saya dapati Aesya khusyuk mendengar apa yang saya perkatakan.  Meskipun dia tidak memahami sepenuhnya tentang hati, namun ia adalah satu usaha saya memberi ilmu sejak awal.  Anak-anak kecil masih bersih hatinya.  Saat ini, adalah saat yang sangat efektif memberi input-input positif berlandaskan agama.

Saya bukanlah ibu yang baik.  Banyak masa juga saya dipengaruhi emosi apabila menegur anak-anak.   Namun saya tetap berusaha memperbaiki diri dan mencuba pelbagai kaedah.  Suami saya banyak memberi teladan yang baik untuk bercakap dengan anak-anak. Waktu terluang bersama saya dan anak-anak akan dimanfaatkan untuk memberi teladan kepada saya dan sama-sama mendidik anak-anak. Kekurangan saya, suami yang tampung.  Kekurangan suami, saya pula yang tampung.

 Saya juga sering berhadapan dengan kerenah anak-anak yang tidak mendengar kata.  Biasanya saya akan muhasabah diri, mungkin saya sendiri pernah tidak mendengar nasihat suami atau ibubapa saya.  Jika saya pernah melakukannya, saya segera istighfar dan bertaubat.  Kalau saya bukan begitu, maka saya kembalikan kepada Allah bahawa Allah mahu menguji saya dengan sikap anak-anak.

 *****************

Maaf

 

Saya tetap memberitahu anak-anak tentang kewajipan mentaati ibubapa setiap kali mereka ingkar.  Biasanya anak-anak akan memohon maaf setelah melakukan kesilapan.  Memohon maaf juga perlu dilatih pada diri anak-anak.  Saya mulakan dengan diri saya meminta maaf kepada anak-anak bila saya ter’over’ marah atau melakukan kesilapan lain.

Bila kita sendiri merendah diri kepada Allah dengan mengakui kesilapan kita, maka Allah akan lembutkan hati anak-anak kepada kita, insya Allah. Jadikan kerenah anak-anak sebagai kaffarah kepada dosa-dosa kita.

 

Dalam usia anak-anak yang masih kecil dan bersih hatinya, segala perkara kita perlu beritahu dan didik mereka menunaikannya.  Inilah ujian sebenar menjadi ibu.  Mengajar/memberitahu dan mendidik adalah perkara yang sangat berbeza.  Mendidik atau melatih mereka mempraktikkan sesuatu perkara itulah yang memerlukan komitmen dari kita sebagai ibunya. 

 

Apabila disebut melatih, kita tentu terbayang bahawa ia bukan sekali dua sahaja.  Bahkan berulang-ulang kali sampai sesuatu perkara itu menjadi habit anak-anak. Tugas melatih adalah tugas yang memenatkan dan ibu perlu rajin.

 

************

Shin Chan atau Solat Jemaah?

 

“Abbas… Azzam… nanti pergi solat di masjid ye…”

Boleh dikatakan hampir setiap hari perkataan ini keluar dari mulut saya.  Ada masa anak-anak mengikut sahaja suruhan kita.  Kadang-kadang mereka enggan juga.  Bila mereka liat-liat ke masjid, saya guna pendekatan lain.

“Abbas, antara duit RM1 dan RM27, mana yang Abbas mahu?”

“Mestilah nak yang RM27…” Pantas sahaja Abbas menjawab.

“Haa.. kalau begitu, solat di masjid ye… solat sendirian di rumah dapat satu pahala, solat jemaah di masjid dapat 27 pahala.  Mana yang Abbas mahu?”

Akhirnya mereka akur juga.  Mereka akur bukan semata-mata menurut suruhan saya, bahkan mereka sendiri mahukan pahala berganda dari Solat Jemaah di masjid.

 

Kadang-kadang mereka asyik menonton televisyen, pada masa itulah azan berkumandang.  Biasanya mereka akan ‘sayanglah’ mahu tinggalkan cerita di TV.

Saya pernah berkata,”Shin Chan tu dapat tolong Abbas tak masa Abbas nak mati… atau Allah yang boleh tolong Abbas?”

 

Shin Chan yang suka mengorat.  Banyak juga pengaruh negatif dia...

Shin Chan yang suka mengorat. Banyak juga pengaruh negatif dia...

Pada masa lain pula saya jelaskan begini,”Allahuakbar yang kita baca dalam solat itu maksudnya Allah Maha Besar.  Jadi bila bertembung antara kehendak Allah dan kehendak kita, maka dahulukan kehendak Allah, barulah betul kita kata Allahuakbar.  Bila kita buat apa yang kita suka dahulu, itu bererti kita yang lebih besar dari Allah”.  Maksud saya kita membesarkan diri kita tanpa disedari. 

Sebenarnya kita boleh melakukan kerja-kerja lain jika syarak membenarkan.  Bila dikatakan syarak membenarkan maka ia adalah keizinan dari Allah untuk kita dahulukan perkara lain.

Sebagai contoh:  Meraikan tetamu yang baru tiba, melakukan operasi pembedahan bagi kes kecemasan dan lain-lain.

Dialog-dialog begitu biasanya saya gunakan semasa bercakap dengan anak berusia 9 dan 10 tahun.

Perkara penting yang perlu difahamkan pada anak-anak ialah apa yang kita sampaikan merupakan perintah Allah swt.  Kita sendiri perlu betulkan niat bahawa kita hanya menyampaikan ajaran Islam dan mahu anak-anak patuh kepada Allah swt.  Justeru itu, banyakkanlah menyebut nama Allah dan hari Akhirat

 *************

Berebut

 

Bila lihat Aziz (6 tahun) dan Aesya berebut makanan, saya pernah katakan, “Siapa bagi pada orang lain dulu, Allah sayang dia dulu”.  Lazimnya mereka mudah mengalah terutama Aesya.  Saya dapati anak perempuan lebih sensitif bila disebut perkataan sayang.

 Sebaik sahaja mereka melakukan apa yang saya galakkan, saya hadiahkan ciuman di pipi.

“Mari sini Ummi sayang”.

Aesya sangat suka bila dicium pipinya.

“Allah sayang Aesya.  Ummi pun sayang Aesya”.

Senyumannya akan bertambah lebar.

 

************

Tudung

 

Anak seusia Aesya, saya tidak beratkan dia untuk bertudung setiap kali keluar rumah.  Jika dia mahu, saya pakaikan.  Jika dia tidak mahu, saya sisir, ikat rambutnya dan pakaikan reben agar penampilannya kemas.  Saya masih membelikan skirt yang labuhnya melepasi lutut. 

 Sebenarnya,sejak dia bayi, skirt paling singkat yang dipakaikan ialah melepasi lutut.  Bila dia membesar dan skirt itu singkat hingga ke paras atas lutut, saya akan simpan skirt itu dan tidak lagi membenarkan dia pakai.  Saya menjelaskan, “Skirt ini dah singkatlah Aesya.  Tak comel dah kalau Aesya pakai”. 

Aesya setuju dengan pendapat saya.

Antara tutng yang Aesya suka

Antara tudung yang Aesya suka

 

Bagi anak-anak sebaya dengannya (4, 5 dan 6 tahun), memadailah kita melatih mereka bertudung namun tidak perlu memaksa mereka, apatah lagi mengugut. Bila Aesya tidak mahu bertudung, saya akan katakan, “Sekarang Aesya masih kecil, jadi Aesya boleh lagi tidak bertudung bila mahu keluar”.

 Biasanya Aesya akan menyambung, “Bila Aesya besar macam Ummi, Aesya kena pakai tudung selalu, kan… Ummi”. 

“Haa… betul.  Bila Aesya besar macam Ummi, Aesya kena pakai tudung selalu”.

 Dalam konteks ibadah solat yang fardu, Nabi s.a.w menyuruh kita melatih anak-anak solat semasa usia mereka 7 tahun.  Jadi pada pendapat saya, pada usia 7 tahun jugalah kita harus melatih anak-anak perempuan menutup aurat secara lebih bersungguh-sungguh.  Itu pun tidaklah sampai mewajibkan mereka memakainya setiap kali mahu keluar rumah.  Memadai jika mereka berpakaian sopan dan mengenakan skaf kecil di kepala untuk sekali-sekala.

 

************

Azie yang dirahmati Allah,

Saya syorkan Azie banyak memberi penerangan kepada anak perempuan tentang aurat wanita dan kenapa perlu memakai tudung.  Berdialog dengan anak sambil memeluk bahunya dan beritahu bahawa Allah sayang pada anak perempuan yang bertudung/menutup aurat.  Beli tudung yang cantik-comel sesuai dengan usia mereka. 

 Mengenai kawan-kawannya yang tidak bertudung, saya syorkan Azie merujuk kepada artikel Abu Saif di web beliau (Tajuk, “Selamat Ulangtahun Kelahiran Kelima, Sayang!”di http://saifulislam.com ).  Bolehlah Azie bertanya Abu Saif bagaimana dia mendorong anaknya bertudung di sekolah yang semua pelajarnya tidak bertudung?  Aesya bersekolah di PASTI, jadi masalah pengaruh kawan tidak timbul.

 Kita sama-sama menjadi ibu di alam realiti dan bukan sekadar berteori di dalam kitab dan blog.  Kitab dan blog tidak punya emosi, nafsu dan akal. Ia hanya alat semata-mata. Bila ditulis dengan indah, hanya yang indah akan kelihatan.  Begitu juga sebaliknya. Sedangkan kita sentiasa perlu bermujahadah dengan nafsu dan hasutan iblis untuk menjadi ibu yang baik. 

Suami yang baik akan banyak membantu isteri menjadi ibu yang baik. Suami yang baik dan doanya yang tulus buat ahli keluarga juga akan meringankan lagi tugas mujahadah sang isteri. 

Dalam usaha kita mendidik anak-anak, perkara asas kepada usaha tersebut adalah doa kepada Allah agar membantu kita mendidik anak-anak.  Mohon hikmah dan kesabaran dari Allah.  Minta Allah bantu kita jadi ibu mithali.  Mohon Allah lembutkan hati anak-anak untuk menerima Islam dan iman di hati mereka.  Tanpa bantuan Allah, siapalah kita…

 

Apa yang baik datangnya dari Allah.

 

Setakat termampu…

Ummu Abbas

2.19am

23 Syawal 1430H

Awal Perjalanan Menuju Allah

Setiap dari kita tidak dapat tidak pernah melalui satu saat di mana hati dilanda perasaan insaf dan mahu mencari Tuhan seterusnya kembali kepadaNya. 

Ketukan hidayah di pintu hati itu kadang-kadang disambut empunya diri.  Namun ramai yang lari.  Justeru itulah al-Quran menceritakan kebanyakan manusia menjadi penghuni neraka.  Na’uzubillah.

Bila Puan Rozita Ibrahim (Jutawan Sendayu Tinggi) menyebut tentang satu ayat dari surah al-Baqarah.  Saya berusaha mencarinya dan bertanya teman-teman.  Surah al-Baqarah merupakan surah terpanjang dalam al-Quran.  Lebih dari 2 juzuk.  Saya merasa lemah untuk menelitinya satu persatu dek kekurangan saya dalam bidang hafazan. 

Alhamdulillah, seorang sahabat berjaya membantu saya bertemu dengan ayat yang mengandungi maksud yang sama seperti Puan Rozita ceritakan.  Adakah ianya ayat yang tepat atau ada lagi ayat yang lain… hanya Puan Rozita sendiri yang tahu jawapannya.  Saya berbesar hati jika beliau dapat beritahu secara tepat ayat yang dimaksudkan.

Allah berkata dalam surah al-Baqarah, ayat 120,

بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمـَنِ الرَّحِيمِ

قُلْ إِنَّ هُدَى اللّهِ هُوَ الْهُدَى وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءهُم بَعْدَ الَّذِي جَاءكَ مِنَ الْعِلْمِ مَا لَكَ مِنَ اللّهِ مِن وَلِيٍّ وَلاَ نَصِيرٍ

Maksudnya;

Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam itulah petunjuk yang benar”. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu.

 

Banyak lagi ayat-ayat lain yang berkait dengan maksud ayat ini.  Mafhumnya, Allah memberi peringatan kepada manusia yang mahu berpaling dari mengikuti petunjukNya, bahawa mereka tidak lagi berpeluang mendapat hidayah dan pertolongan dari Allah.  Justeru itu hargailah saat hati menjadi jinak dan insaf untuk terus mendidik nafsu agar mentaatiNya.   

 Fasa hati tersentuh dengan hidayah Allah ini merupakan benih berharga yang harus dimanfaatkan sebaik mungkin.

 

Mencari Suasana Tenang di Awal Perjalanan

 Saya terbaca mengenai tajuk ini dari buku ‘Menuju Personaliti Rabbani’ karya Dr.Majdi al-Hillali di halaman 176, 177 an 178.  Penterjemahnya merupakan sahabat saya, Ustazah Nurul Akma Mohamed. 

 Saya coretkan di sini sebahagian isinya buat mereka yang mahu menyahut seruan hidayah Allah.  Saya sendiri mengalami jatuh bangun dalam membina jiwa.  Ia satu usaha yang sukar kecuali mendapat rahmat dari Allah.

 jatropha-seed-sprout

Ibnu Atho’illah as-Sakandari berkata di dalam kitab Hikamnya;

“Tanamlah kewujudanmu di dalam tanah kerendahan, sebab tiap sesuatu yang tumbuh tetapi tidak di tanam, maka tidak sempurna hasil buahnya”.

Maksudnya seorang hamba yang berada di awal perjalanannya menuju Allah seperti benih yang pada awalnya mesti di tanam di dalam tanah, jauh dari sinaran cahaya mentari.  Ia akan mengambil masa untuk membesar secara perlahan-lahan.  Setelah Allah mengizinkannya untuk tumbuh, barulah ia akan timbul dipermukaan bumi;  yakni setelah cukup tempoh perlindungan dan penjagaan rapi yang menjadikannya mampu menghadapai sinaran terik mentari.

 Seandainya kita membiarkan sahaja benih itu di atas tanah tanpa menanamnya terlebih dahulu, maka hasilnya mungkin tiada ataupun mungkin sahaja menghasilkan buah tidak seperti yang diharapkan, lantaran terpaksa berdepan dengan satu keadaan yang belum mampu untuk dihadapinya.

Sebagai contoh:  Jika diteliti, ramai public figure seperti artis wanita yang pada permulaan mendapat hidayah, mereka menutup aurat dengan lengkap.  Namun semakin lama, konsep hijab yang asal semakin dijauhi.  Mereka bertambah berani menayangkan semula aurat (aib@rahsia) mereka kepada umum.  Ada yang membuka terus tudung mereka.  Ada yang masih mengekalkan tudung namun semakin menelanjangkan diri dengan berbaju sendat dan sebagainya. 

Kaitannya dengan perumpamaan Ibnu Atho’illah ialah seseorang tidak mungkin dapat memberi manfaat pada orang lain meskipun dia sudah bertemu hidayah.  Ini terjadi akibat mereka tidak menanamkan diri mereka  di dalam tanah yang rendah sehingga orang lain tidak merasai kewujudan mereka itu.  Dalam tempoh di dalam tanah itulah, kita seharusnya membentuk akal fikiran dengan ilmu makrifatullah (aqidah, fiqh dan akhlak), membentuk hati dengan wirid dan zikrullah serta bermujadah melawan hawa nafsu.

 

Uzlah

Rasulullah s.a.w sendiri beruzlah di Gua Hira’ sebelum dilantik menjadi nabi dan rasul.    Selepas kenabian, baginda beriktikaf pada setiap tahun selama 10 hari di akhir bulan Ramadan.  Manakala pada tahun baginda wafat, baginda s.a.w telah beriktikaf selama 20 hari.

 Tujuan amalan tersebut adalah memberi ketenangan sebanyak mungkin bagi membentuk jiwa.  Bukannya kerana beruzlah (mengasingkan diri) daripada orang ramai.  Malah dalam tempoh tersebut, seseorang hamba dituntut agar lebih banyak ‘mengambil’ dari ‘memberi’.  Mengambil di sini bererti mendapatkan pengisian jiwa dalam bentuk ilmu dan ibadah sebanyak mungkin.  Dalam masa yang sama menahan diri dari berdakwah atau memberi nasihat kepada orang ramai.  Lantaran itu, seandainya peringkat ini berlalu pergi tanpa dia sempat mengambil apa jua yang dapat membentuk peribadiannya, nescaya hasil yang akan diperolehinya nanti terdapat banyak cacat celanya.

 

Awasi  Kemasyhuran

 Di antara perkara yang sangat berbahaya ke atas seseorang hamba ialah mendedahkan diri kepada panas terik kemasyhuran (glamour) sebelum tiba masanya.  Malah sesetengah orang itu apabila disilau sinar kemasyhuran tanpa persediaan jiwa untuk menghadapinya, keadaanya tidak ubah seperti menghampiri cahaya lampu.  Semakin dia hampir kepadanya, dia nampak dirinya semakin besar, sedangkan saiznya yang sebenar tidak sedikit pun berubah.  Yang membesar hanyalah bayang-bayangnya sahaja.

 Fenomena ini sering berlaku kepada contoh artis yang disebutkan tadi atau orang politik. 

“Saya mendapat tawaran yang semakin mencurah selepas berubah”.

“Alhamdulillah rezeki saya bertambah murah”.

Inilah kata-kata yang sering diluahkan oleh mereka yang melakukan perubahan ke arah yang lebih baik terutama artis wanita yang mengambil keputusan bertudung.  Mereka terus menerjunkan diri ke lembah kemasyhuran serta dikelilingi oleh dunia yang melalaikan. Oleh kerana mereka tidak melalui prosedur yang tepat dalam membaiki diri yakni tidak menanam diri di dalam tanah terlebih dahulu, masa yang berlalu menyaksikan mereka semakin lalai dan kembali menjauhi konsep hijab yang sebenar.  Bagi mereka yang melalui proses yang betul, alhamdulillah, kita dapati mereka dapat istiqamah hingga ke usia tua.  Contoh artis yang istiqamah dan benar-benar bertaubat ialah Noor Kumalasari.  Bahkan ramai lagi artis wanita yang lain setelah berubah, mengambil keputusan menjauhi dunia glamour serta memilih rumahnya sebagai tempat keamanan dan keselamatan bagi iman dan taqwanya. 

Begitu  juga bagi ahli politik yang berfahaman Islam, tatkala mereka diterjah kemasyhuran, mereka tertipu dengan bayang-bayang tersebut.  Mereka mula memandang leceh pada orang lain terutama para ulama yang ikhlas.

 

Tertipu Dengan Bayang-bayang

 Foto disalin dari ruhaizie.fotopages.com/?&page=2

Foto disalin dari ruhaizie.fotopages.com/?&page=2

 Ramai orang telah tertipu dengan bayang-bayang ini.  Mereka melihat diri mereka jauh lebih besar dari keadaan sebenarnya, lalu mereka memandang orang lain lebih kecil dari mereka.  Lebih-lebih lagi kepada mereka yang tidak diberi kedudukan dan tidak pula masyhur di kalangan masyarakat. 

 Perasaan ini turut memberi kesan kepada tindak tanduk mereka, sehingga mereka sibuk untuk melakukan sesuatu yang dapat membuktikan kelebihan mereka, serta menjauhkan diri  daripada apa jua perkara yang dapat memperlihatkan kejahilan mahu pun keperluan mereka kepada ilmu pengetahuan.

 Justeru itu anda akan melihatnya merasakan dia adalah dari kalangan orang yang berilmu, malah membariskan dirinya setaraf dengan ulama, sedangkan dia langsung tidak pernah berpenat lelah untuk membaca, menghafal atau mengkaji sesuatu ilmu.  Juga tidak pernah pun juga walau sehari mengambil jalan orang yang menuntut ilmu.  Malah dia telah ditolak masuk ke alam kemasyhuran untuk menempuh panas teriknya tanpa apa-apa persediaan.

 Apabila dia ditanya sesuatu perkara, anda melihatnya menjawab tanpa sesuatu kefahaman, tetapi semata-mata untuk menafikan kejahilannya.  Seandainya seseorang membalas balik perkataannya, dia akan terus naik berang.  Seandainya dia berhujjah ataupun berdebat, dia sangat tidak suka ditentang.  Seandainya diperingatkan, dia menolak nasihat tersebut.  Dia tidak melihat dirinya melainkan melalui sebuah kanta pembesar, sambil membayangkan bahawa orang lain jauh lebih kecil darinya.

 Individu seperti ini sangat cepat terbongkar identitinya.  Dia sebenarnya telah membinasakan dirinya sendiri.  Belum sempat mengambil peluang untuk membentuk peribadinya, tiba-tiba sahaja dia mendapati dirinya sudahpun berada dipuncak, terus disilau oleh sinar terik kemasyhuran umpama teriknya sinaran mentari.  Dia dikelilingi orang ramai dan disebut-sebut orang, sehingga segala perhiasan duniawi datang melingkari hidupnya.  Lalu iapun tidak lagi menemui waktu untuk mendidik hatinya sendiri, ataupun untuk membersihkan nafsunya atau memberi cahaya ilmu kepada akalnya.

 

Imam Syafie memberi penekanan terhadap pengertian ini dengan kata-kata, “Sesiapa yang menuntut kepimpinan nescaya ia (kepimpinan itu) akan lari daripadanya, dan sekiranya seorang yang baru bermula sudah memimpin, nescaya dia terlepas dari ilmu yang banyak.

 

Ummu Abbas

8.08am

20 Syawal 1430H

Jutawan Sendayu Tinggi Pakai Purdah

Artikel di bawah sudah lama tersiar di blog-blog lain.  Sahabat saya, Chik memberitahu di dalam blognya, http://keluargakusayang.blogspot.com  ianya disiarkan oleh akhbar Sinar Harian versi Kelantan.  Saya paparkan di sini untuk simpanan saya dan berkongsi bersama pembaca yang belum mengetahuinya. 

Belajar dari pengalaman orang lain begitu mengesankan.  Ia sebuah filem realiti dan watak yang realiti, bukannya ilusi atau lakonan semata-mata.  Oleh sebab itu, Rasulullah s.a.w menjadi teladan yang realistik untuk dicontohi.  Rasulullah s.a.w berkata benar, bersikap benar dan berhati benar.  Realiti kehidupan para watak jauh lebih berkesan daripada sekadar berpura-pura melakonkannya.  Skrip dari hadis-hadis sahih merupakan filem Rasulullah s.a.w yang ditayang semula kepada kita agar kita dapat mengutip mutiara sakinah.

Sejak bila sejarah lakonan bermula, tidaklah dapat saya pastikan.  Mungkin ia diadaptasi dari kisah dua cucu Rasulullah s.a.w berlakon kerana mahu menegur secara hikmah seorang tua yang salah berwuduk.  Atau ia merupakan kerjaya bermula sejak zaman ‘dinosaur’?  Wallahua’lam.  Saya belum sempat mendalaminya.

Perkara menarik dari kisah Puan Rozita ini apabila dia menyatakan dia memakai purdah bukan kerana alim.  Apa yang beliau faham itu bertepatan dengan syarak itu sendiri.  Purdah atau hijab lambang seseorang wanita beriman kepada Allah dan hari akhirat.  Ia bukan pakaian para ustazah atau pelajar agama, bahkan pakaian bagi mana-mana wanita yang mengharap syurga Allah.  Biarlah tidak menarik di mata manusia, asalkan menarik pada pandangan Allah.

Semoga Allah menetapkan hati Puan Rozita di dalam hidayahNya dan menerimaNya sebagai hamba yang diredai di sisiNya.  Amin. 

 

Ummu Abbas

12.58am

17 Syawal 1430H

 

***********************************

Jutawan Sendayu Tinggi Pakai Purdah

Puan Rozita

Rasanya sudah ramai yang tahu tentang kesusahan lampau saya kerana banyak majalah menyiarkan cerita itu. Niat saya tiada lain, hanya mahu menjadi pencetus semangat untuk wanita di luar sana. Biar mereka tahu, sebagai manusia jangan terlalu mengharapkan orang lain untuk berjaya dalam hidup.

Saya pernah jadi penoreh getah, sambil-sambil itu melakukan bermacam-macam kerja kampung untuk menampung hidup. Malah pernah juga cuba berniaga kedai runcit, menyertai MLM dan bekerja kilang.

Apabila berjaya dengan perniagaan Sendayu Tinggi, saya mula sedar manusia perlu ada tiga sifat jika mahu berjaya. Pertama, mereka mesti mengorak langkah untuk memulakan perkara kecil dalam diri. Kemudian, jangan pernah berkata tidak sebelum mencuba kerana tiada apa yang mustahil. Ketiga, jangan suka menyalahkan orang lain.

 

Nilai sepuluh sen

Bila sudah berjaya mengumpul kekayaan, tiap-tiap tahun saya pergi umrah.  Ada banyak peristiwa yang dialami di tanah suci namun ada satu pengalaman yang paling menarik. Ia berlaku ketika saya tidur lalu bermimpi, satu suara menyuruh saya membaca beberapa ayat daripada surah Al-Baqarah.

Sekembalinya saya ke tanah air, saya terus mencari tafsir Al- Quran. Saya mendapati antara maksud ayat yang disuruh baca itu ialah mereka yang mendapat hidayah namun jika memalingkan mukanya, mungkin tiada lagi hidayah untuknya selepas itu.

Saya memang sudah lama terdetik mahu berganjak ke alam (fasa) lain sebaik sahaja usia mencecah 40 iaitu membuat persediaan untuk mati.  Saya mula melihat betapa kehidupan di dunia ini sangat singkat, indah dan perlu dinikmati.  Saya sedih mengenang ramai orang yang berjaya dalam perniagaan tetapi hidup tidak bahagia.

Ketika saya mengejar dunia, hidup dirasakan huru-hara. Pernah saya beli sebuah kereta dengan harga RM1 juta. Setiap kali tiba di satu-satu tempat, saya senang melihat banyak mata memandang dan berbisik-bisik kagum. Namun lama-kelamaan saya tersedar, rasa bangga melihat kekaguman orang itu menimbulkan perasaan riak dan mahu menunjuk-nunjuk.

Jika syiling sepuluh sen terjatuh, pernah satu ketika saya tidak mahu mengutipnya semula. Waktu itu saya memikirkan kelas sebagai seorang jutawan. Tetapi hari ini, saya tidak mahu lagi bersikap begitu. Saya mahu buang rasa riak, sebab nilai duit sepuluh sen itu besar nilainya pada sesetengah orang dan tidak patut dibazirkan begitu sahaja.

 Saya tidak pandai mengaji dan tidak tinggi ilmu agama. Jadi saya mengupah seorang ustazah yang tinggal bersama di rumah ini untuk mengajar serta seorang ustaz untuk berkongsi ilmu agama. Sehari setiap minggu, rumah saya dibuka untuk orang ramai menyertai majlis ilmu yang dibuat di sini.

Impian saya yang masih belum tercapai ialah membina sebuah kompleks hasil perniagaan. Di kompleks berkenaan saya mahu membangunkan aktiviti dakwah di samping memberikan kehidupan kepada fakir miskin menerusi perkongsian ideologi perniagaan.

Saya tidak mahu golongan susah yang saya bantu ini memandang saya sebagai sumber kewangan. Saya tidak memberikan mereka ‘ikan’ tetapi ‘pancing’ untuk mengubah kehidupan. Caranya saya beri mereka produk untuk dipasarkan. Saya juga mengambil kuih, kerepek dan lain-lain daripada mereka untuk dijual.

Satu lagi impian yang sedang diusahakan, saya mahu bina sebuah rumah perlindungan untuk anak yatim piatu dan mualaf. Rumah sudah ada, tenaga pengajar pun tidak ada masalah. Cuma tinggal mencari bayi dan kanak-kanak untuk dibesarkan dengan pendidikan akademik berserta ilmu agama di rumah tersebut.

Kini mula berpurdah

Purdah ini sudah lima bulan saya pakai. Bukan sebab alim, dan bukan juga sebab H1N1. Sebaliknya inilah antara cara saya menjaga hati daripada dirasuk perasaan riak. Bila mengenakan purdah, tiada orang yang mengenali saya jadi tiada lagi layanan istimewa yang biasa saya dapat.

Saya tidak malu untuk mengaku, selama ini memang saya pakai tudung tetapi hati masih kotor. Ini kerana walaupun memakai tudung saya sering kalah bila syaitan berbisik supaya bersolek setiap kali ke luar rumah sesuai status selaku pengasas produk kecantikan.

“Kau kenalah pakai baju yang menampakkan kelangsingan, barulah orang tahu produk kau bagus” – itu juga antara bisikannya yang sering menewaskan saya. Barangkali ketika itu saya antara wanita akhir zaman yang disebut dalam hadis ‘menutup aurat tetapi masih bertelanjang’ .

Sebagai majikan pula, kadangkala saya memarahi pekerja kerana mahu semuanya serba sempurna. Saya menjadi sungguh takut apabila tersedar dan berfikir bagaimana pula saya di sisi majikan paling besar iaitu Allah Taala? Dia pun berhak marahkan saya kerana sungguhpun solat, di mana zikir dan amalan sunat bagi menyempurnakan lagi amalan kepadanya?

Syukurlah, perubahan yang dibuat melimpahkan bahagia dalam hidup. Anak-anak (Nurhayati, Alif Syukri, Aiman Hazim, Nurazizah dan Nurain Sufiyah) dan suami melengkapkan lagi dunia wanita ini.

Kini hari-hari saya lalui sambil meneguk kelazatan ilmu akhirat. Melayan keletah anak-anak, mengulit orkid, epal Madura, daun kesum, kedondong, kari, limau purut dan pokok herba lain; juga melayan burung, ayam, lampam, puyuh, puyu dan tilapia melengkapkan lagi kediaman bak syurga dunia yang saya gelar Sorga Ammi.

Sesudah solat Subuh, tatkala berdiri di balkoni rumah menyaksikan kabus berlalu dibawa angin sambil merenung kalam-kalam bukit , saya semakin yakin betapa perlunya saya bersyukur menjadi hamba yang dilimpahi kasih sayangNya.

Tip Cerdas Minda Cara Islam

Assalamualaikum k,nur..

Saya ada masalah la k,nur tentang pembelajaran,saya tidak tahu macam mane hendak dicakapkan,saya memang lemah dalam pembelajaran,tiap2 kali saya hendak belajar memang selalu je xjadi,pada mulanya niat memang ada nak study sendiri,tp tak tahu tibe2 je tak jadi nak stdy sendiri,bila exam saje,saya selalu gagal,xpnh pun lulus,memang saya jelas tengok kawan2 yang lulus dalam setiap kali exam,tak tahu k,nur,,nape selalu jadi macam ni kat saya,,,,tolong saya k,nur,beri saya tunjuk ajar dan pendapat,saya memang dh runsing sangat k,nur,,,,,

Bezita

************************
istock_brain

Wa’alaikum salam warahmatullah Bezita,

Semoga Allah memberi kekuatan kepada Bezita dan membantu Bezita keluar dari permasalahan ini.

Kak Nur bukanlah orang terbaik untuk berbicara hal ini namun Kak Nur akan cuba membantu setakat yang mampu.

Berdasarkan pengalaman Kak Nur, ada beberapa alternatif yang boleh difikirkan oleh Bezita;

Mengenai masalah lemah tumpuan itu mungkin berkait dengan IQ (kecerdasan) seseorang. Jika ia berpunca dari kecerdasan diri yang agak lemah, beberapa saranan berikut mungkin sesuai diaplikasikan:-

- Memilih jenis makanan atau pil yang dapat membantu meningkatkan daya fikir dan tumpuan. Contoh kismis, ikan, bayam, brocolli, pil Examo dan lain-lain. Buat sedikit penyelidikan mengenainya dan mulai mengamalkan pemakanan yang baik untuk otak dan minda.
- Dalam masa yang sama elakkan atau kurangkan mengambil makanan yang dapat melemahkan otak terutama jenis makanan segera atau makanan yang diproses seperti burger, ais krim dan lain-lain.

Islam sangat menitik beratkan memilih dan mengambil makanan yang bukan saja halal bahkan bermutu untuk menjaga kesihatan badan. Kesan pemakanan yang baik bukan sahaja untuk tubuh badan, bahkan untuk membentuk hati yang baik serta mencerdaskan minda.

kismis-2

PUASA

- Cuba koreksi amalan pemakanan selama ini, jika terdapat tabiat pemakanan yang kurang baik, maka cubalah ubah tabiat tersebut. Berpuasa adalah mekanisme terbaik untuk membersihkan perut dan badan dari sisa-sisa pemakanan yang tidak baik sebelum ini. Kita baru sahaja selesai menjalani puasa sebulan Ramadan. Diharapkan kita dapat meneruskan disiplin tersebut buat selama-lamanya. Kita masih boleh mengamalkan puasa sunat.

Bezita mungkin masih ingat pada Nik Nur Madihah, Pelajar Cemerlang SPM 2008. Beliau mengamalkan puasa sunat sejak darjah 6 kerana ia sunnah. Kajian saintifik pernah dibuat terhadap amalan puasa di kalangan orang Islam. Hasilnya salah satu kebaikan puasa ialah untuk mencerdaskan otak. Ini bererti Nur Madihah mendapat faedah yang besar dari amalan puasa sunatnya itu.

Dalam usia yang semakin meningkat ini, Kak Nur dapat rasakan daya berfikir dan tahap tumpuan yang semakin lemah dibandingkan semasa usia remaja dahulu. Jadi Kak Nur sendiri sekarang sedang melatih diri untuk rajin berpuasa sunat. Kak Nur seorang yang menyintai ilmu pengetahuan dan suka berfikir. Jadi sebolehnya, Kak Nur mahu mengekalkan tahap kecerdasan minda untuk satu tempoh yang lebih lama, insya Allah.

Setiap amalan dalam Islam sebenarnya untuk kebaikan fizikal, spiritual dan minda ummatnya. Oleh sebab itu, jika penganut Islam lemah, mereka harus memuhasabah diri sendiri sejauh mana mereka mengamalkan ajaran Islam sepenuhnya.

HAFAZ AL-QURAN

Selain puasa,menghafaz al-Quran juga dapat meningkatkan tahap tumpuan seseorang kepada ilmu pengetahuan. Namun Kak Nur tidaklah berharap Bezita menghafaz seluruh al-Quran. Memadai jika dapat melazimi membaca al-Quran secara tartil dan menghafaz beberapa surah serta memahaminya. Jika berhasrat menghafaz seluruhnya, itu lebih baik.

SOLAT

Disiplin dalam solat yang menuntut individu fokus pada solat dapat membantu mereka menumpukan perhatian pada perkara lain di luar solat. Oleh sebab itu, semak semula tahap solat kita bermula membersihkan diri, berwuduk dan solat itu sendiri. Insya Allah, jika perbaiki solat kita, Allah akan perbaiki urusan dunia kita.

Seorang kawan Kak Nur menyedari dirinya lemah dalam belajar. Suatu hari, ibunya memanggil anaknya dan menyuruhnya segera ke sekolah. Dia tidak keluar dari biliknya. Ibu segera menyelidiki. Di dapati anaknya sedang solat. Ibu bertanya solat apa?. Dia menjawab dia tidak pandai, jadi dia selalu solat hajat minta bantuan Allah agar memudahkan urusan dia belajar atau menuntut ilmu. Sekarang kawan Kak Nur itu sudah memiliki ijazah PhD dan bergelar Doktor falsafah.

Kawan itu bukan sahaja pandai belajar dan meraih ijazah yang tinggi, bahkan berakhlak mulia berkat dijaganya hubungan dengan Allah swt.

Solat tiang kejayaan!

Solat tiang kejayaan!

DISIPLIN DIRI & MEMILIH KAWAN

Jika diteliti amalan Nik Nur Madihah, disamping kecerdasan otak, dia mempunyai faktor ransangan untuk mengubah nasib keluarga. Justeru itu, dia mendisiplinkan diri belajar apabila waktu belajar. Bezita harus memujuk diri agar beri tumpuan semasa belajar dan ingatlah di samping kesusahan ada kesenangan yang menanti.

Adalah baik jika Bezita dapat berkawan dengan mereka yang rajin belajar. Ia akan mendorong Bezita turut rajin belajar.

BELAJAR DARI PENGALAMAN ORANG LAIN

Bezita boleh berbincang dengan kawan-kawan yang cemerlang dalam pelajaran, membaca buku-buku motivasi belajar dan lain-lain.

Sebelum Kak Nur mengundur diri, sukalah Kak Nur ingatkan pada diri sendiri bahawa iblis juga memainkan peranan apabila kita ingin belajar. Dia akan menghasut kita agar malas belajar dan sangat suka kita menjadi jahil. Orang yang jahil mudah ditipu syaitan. Jadi mohonlah perlindungan dari Allah setiap kali ingin belajar.

Apa yang Bezita lalui sekarang adalah satu petunjuk dari Allah agar mendekatkan diri padaNya. Mohonlah pertolongan dari Allah, nescaya Dia perkenankan. Selalu mohon ampun dan jauhi maksiat kerana maksiat itu menggelapkan hati. Bila hati gelap, ia susah menerima ilmu. Ilmu itu cahaya dan cahaya hanya menerangi hati yang bersih.

Apa yang baik datangnya dari Allah, apa yang kurang dari kelemahan diri sebagai hamba.

Wassalam.

Ummu Abbas
11.38am
16 Syawal 1430H

Santai: Ruang Jemur Kain 3 Dalam 1

Mesin basuh di satu sudut.  Lepas basuh, terus dapat jemur di ruangan ini juga.

Mesin basuh di satu sudut. Lepas basuh, terus dapat jemur di ruangan ini juga.

Penat dan letih menjadi Doktor Rohani tidak mengira masa. Saya mahu santaikan diri saya dan blog saya dari isu berat.    Kalau doktor jasmani tidak dapat lari dari masalah kesihatan diri.  Begitu juga saya.  Ada masa saya mahu rehatkan minda dan emosi saya dari memikirkan masalah ummah bila merasakan diri saya lemah.  Allah mahu ingatkan saya bahawa kekuatan saya semata-mata kerana rahmat dariNya.  Bukan kerana sijil, ilmu dan rakan-rakan.  Lantas saya bangkit semula.  Soal dosa pahala dalam masyarakat bukan perkara ringan.  Ia satu tanggungjawab yang amat berat.   Tanggungjawab yang diwarisi dari kerjaya wajib bagi para nabi dan rasul.

Jom kita  lihat satu ruang di rumah saya iaitu ruang berjemur kain. Mungkin sesiapa mahu tiru idea saya atau ‘modified’ idea tersebut untuk disesuaikan dengan citarasa sendiri. Apa pun yang kita lakukan, kita perlu tahu terdapat prinsip asas Islam dalam setiap pekerjaan kita. Justeru segala kerja-kerja kita akan menjadi ibadah kepada Allah swt, insya Allah. Betul niat, tepat caranya dengan kaedah Islam, akan beroleh pahala.

Bahagian tepi ruang jemur kain.

Bahagian tepi ruang jemur kain.

Ruang jemur kain di rumah saya mempunyai 3 fungsi sekaligus yakni membasuh, menjemur dan ruangan bermain buaian anak-anak. Pada tarikh foto-foto ini di ambil, sambil menjemur kain, saya buaikan anak. Lalu dia tertidur di situ. Mudah, praktikal serta menjimatkan masa. Ia selaras dengan tuntutan Islam agar bijak menguruskan masa secara berkesan.

Buaian gantung itu biasanya disangkut pada dua batang pokok.  Oleh kerana halaman rumah terhad dan tiada pula pokok besar, maka grill keselamatan itulah menjadi ganti.

Selain mesin basuh, saya juga memasang sebuah sinki yang boleh digunakan untuk membuang najis sebelum pakaian dimasukkan ke dalam mesin.  Kadang-kadang ada pakaian yang memerlukan cucian tangan sahaja.  Jadi di sinki inilah saya melakukan kerja-kerja tersebut.   Di bahagian ini, saya tidak perlu berpakaian lengkap menutup aurat kerana ia agak terlindung dengan dinding simen separas pinggan, selain kedudukannya yang agak jauh dari pandangan umum.  Memadai bertudung dan berpakaian biasa yang dipakai di dalam rumah.

Sinki ringkas kerana ruang terhad.  Jika dapat diikat dengan bata, lebih baik.  Boleh bina ruang menyimpan di bawahnya.

Sinki ringkas kerana ruang terhad. Jika dapat diikat dengan bata, lebih baik. Boleh bina ruang menyimpan di bawahnya.

Perlu diingat, najis pada pakaian seperti air kencing anak, tahi, muntah, darah dan lain-lain hendaklah dibuang dahulu sehingga hilang rupa, warna dan bau.  Kemudian barulah kita campurkan dengan pakaian lain di dalam mesin basuh.  Setelah najis dibuang, menggunakan mesin basuh dikira memadai untuk menyucikan pakaian.     

Rumah saya jenis teres dua tingkat ‘corner lot’.  Ruangan menjemur kain ini saya tambah di bahagian belakang rumah di aras atas sebelah kanan rumah. Jadi ia mempunyai bahagian tepi dan belakang bagi kemasukan cahaya matahari dan udara. Grill itu saya reka untuk dua fungsi yakni fungsi menjaga keselamatan rumah dan untuk digunakan menyangkut dan menyidai pakaian sekaligus.

Grill bahagian atas.  Petak-petak besi berfungsi menghalang kain dari merapat antara satu sama lain bila angin bertiup.

Grill bahagian atas. Petak-petak besi berfungsi menghalang kain dari merapat antara satu sama lain bila angin bertiup.

Saya juga menjadikan ruangan ini beratap. Bila saya berada di luar tatkala hujan, saya tidak terburu-buru mahu pulang ke rumah untuk mengangkat kain. Kadang-kadang basah juga pakaian bila hujan disertai angin ribut. Waktu pagi, matahari yang naik dari sudut belakang rumah akan menyinarkan cahaya dan habanya langsung pada bahagian ini.

Seperkara lagi yang perlu diingat ialah jemur pakaian dalam di bahagian yang terlindung dari pandangan umum. Saya malu betul bila melintas di rumah-rumah pangsa atau rumah-rumah yang menayangkan pakaian dalam di hadapan rumah.

Semasa saya kecil, saya biasa lihat kakak saya meletakkan pakaian dalam di bawah kain yang nipis, kemudian disepit di bahagian atasnya agar pakaian dalam itu terlindung dan tidak terbang di bawa angin. Pemalu betul dia. Cara ini sesuai digunakan jika kawasan menyidai pakaian terdedah terus kepada pandangan umum.

Kalau di rumah saya, oleh kerana tempat menyidai itu tinggi serta agak jauh dari pandangan umum, saya hanya menyangkut pakaian biasa yang terdedah kepada pandangan umum. Pakaian dalam saya sidai di bahagian dalam yang lebih terlindung.
Bagi saya, kita perlu menjaga rahsia warna dan bentuk pakaian dalam. Bimbang ada minda-minda yang tidak terurus membayangkan yang bukan-bukan. Kita tentu sayangkan mereka dan mahu minda mereka sentiasa bersih, bukan?

Besi lurus bahagian bawah grill memudahkan pakaian bersaiz besar dijemur seperti selimut, tuala dan cadar.

Besi lurus bahagian bawah grill memudahkan pakaian bersaiz besar dijemur seperti selimut, tuala dan cadar.

Sama-samalah kita bersyukur kepada Allah kerana dimudahkan segala urusan.

Ummu Abbas
12.08pm
15 Syawal 1430H

Poligami: Perkara yang isteri perlu fikirkan

Assalamu’alaikum warahmatullah kepada semua pembaca dan khusus buat Ibu Anas dan Abu Hurairah,

 

Saya mengucapkan jazakumullah kepada dua sahabat ini yang sudi berkongsi ilmu dan pandangan di sini.  Saya amat-amat menghargainya.  Pandangan sahabat berdua banyak menolong meringankan minda dan perasaan saya yang sedang diuji dengan permasalahan poligami rakan-rakan.  Saya sendiri mencari pencerahan untuk menambah lapang dada dan pandangan saya terhadap isu ini.

Secara peribadi, saya dapati pandangan-pandangan yang diberikan oleh Ibu Anas dan Abu Hurairah saling melengkapi dan tiada pertentangan antara keduanya.  Secara umumnya, saya setuju dengan pandangan kedua-duanya.  Semoga masyarakat dapat mengutip manfaat yang terkandung untuk diaplikasikan dalam kehidupan mereka sama ada lelaki atau wanita.

Semoga ilmu yang dicurahkan di sini menjadi amal jariah di Akhirat kelak.

Insya Allah, saya menerima cadangan Ibu Anas untuk melanjutkan kajian mengenai perkahwinan Rasulullah sebelum dan sesudah Hijrah.  Kalau kita mampu lakukan bersama, ianya lebih baik.  Insya Allah, dengannya kita berharap dapat juga membantu Dasar Keluarga Islam bagi Negeri Kelantan.

Perbahasan yang dimulai dengan niat yang ikhlas, disusuli dengan hujjah syarak yang jelas dan pandangan yang adil akan menyatukan semua pendapat imma pandangan itu datang dari lelaki atau wanita.  Di sini tercetus satu lagi keindahan Islam dalam mengajukan pandangan dan adab berbahas.

 Semoga Allah memudahkan segala urusan Ibu Anas dan Abu Hurairah al-Kelantani.

 

Sekian, wassalam.

 

Ummu Abbas

12 Syawal 1430H

4.33pm

***********************

Respon kepada tajuk ‘Poligami: Perkara yang perlu suami fikirkan 2’.

 

Poligami harus dilihat pada pandangan syara’..bukan pada pandangan masyarakat…hukum boleh ke tidak sesuatu itu dilakukan juga berpandukan syara’ bukan kepada masyarakat.  Allah telah mengutuskan nabinya Muhammad (selawat dan salam atasnya) untuk dijadikan panduan.  Kenapa harus dilihat pada kisah-kisah yang berlaku dalam masyarakat kita sekarang ini?  Adakah semuanya sudah menjadi adat?  Kahwin dua, tiga dan empat tentu rumah tangga rosak!!!!!

Saya bukanlah jenis yang suka sangat berpoligami dan tidak juga bercadang untuk berpoligami, ini kerana saya tahu siapa perempuan.  Perempuan yang tidak boleh lari dari perasaan cemburu.  Cemburu tidak mengapa, ini kerana isteri nabi juga cemburu. Namun cemburu ada tempatnya.  Namun cemburu dicampur dengan ego itu lah yang menjadi masalah.  Bila si suami menyatakan ingin berkahwin lagi maka secara spontan si isteri melontarkan kata-kata yang tidak sedap di dengar,

Masih tidak cukupkah layanan yang diberi?

Tidak cukupkah nafsu dengan seorang?

Dan yang paling perit didengar “mahu kahwin lain ceraikan saya”.

Yang paling saya kesali isteri yang bahagia bersama suami dan memahami si suami tetapi bila suami ingin berkahwin lain terus bantah..tidakkah ia mengenali suaminya secara mendalam sebelum ini?  Tidakkah ia tahu bahawa suaminya telah berlaku adil sebelum ini dan tidak pernah buat hal sebelum ini?  Kenapa wanita membantah poligami? Kerana egois?  Takut suami tidak berlaku adil?  Atau tidak mahu berkongsi kasih dengan orang lain?

Poligami harus difahami secara mendalam…tidak kira bagi suami atau isteri.  Kenapa dan mengapa poligami harus difahami secara mendalam..adakah Allah mengharuskan poligami kerana ingin orang lelaki memenuhi nafsu shahwat mereka semata-mata? fikir-fikir kan lah…

 Poligami Aagym

  Abu Hurairah al-Kelantani

30    September 2009

*********************

Al-Insan madaniyyun bi tab’i – tabiat kehidupan insan asasnya/dibina dalam bentuk bermasyarakat.  Islam juga bukan soal individu ataupun hanya segolongan pihak.  Ia melibatkan pelbagai pihak.  Dalam hukum syariat Islam juga lebih melihat kepada aspek masyarakat dan penilaiannya dari masyarakat iaitu kemaslahatan awam lebih diutamakan daripada kemaslahatan individu.  

Dalam perundangan dan juga syariat Islam, setiap hukum yang ditentukan (diharamkan ataupun dihalalkan) hatta hukum hudud sekalipun mengambilkira masyarakat awam lebih utama.  Mengapa pencuri dipotong tangan?  Mengapa penzina perlu dirotan dan sebagainya lagi hikmahnya.  Bukan menghukum pesalah semata-mata tetapi kemaslahatan umum yang lebih besar perlu dijaga, seperti penjagaan harta orang lain, penjagaan kehormatan orang lain dan penjagaan nyawa orang lain.  Oleh itu ‘orang lain’ ataupun masyarakat dibuat sebagai neraca penilaian yang menjadi cermin bagi umat Islam.

Kedua, Allah berfirman, maksudnya dan dipanjangkan – sesungguhnya Rasulullah s.a.w adalah uswatun hasanah /role model terbaik bagi mereka yang berkobar-kobar ingin taqarub dengan Allah dan ada gerun terhadap hari akhirat. Suami yang ingin mengaplikasikan sunnah berpoligami seharusnya juga mencari ciri-ciri isteri seperti para isteri Rasulullah s.a.w. – Antara penilaian yang perlu dibuat oleh suami isteri ialah mampukah aku meneladani Rasulullah s.a.w, dan isteri-isteri juga perlu tanya, mampukah diri menjadi ataupun mencuri sedikit antara ciri-ciri seorang isteri Rasulullah.

Kisah cemburunya Aishah perlu difahami dari aspek sirah.  Bukan sekadar memahami setakat emosi seorang wanita.  Aishah cemburunya kepada Khadijah Bintu Khuwailid, isteri Rasulullah s.a.w yang pertama yang telah wafat.  Cemburunya kerana Rasulullah s.a.w tidak pernah lekang menyebut jasa-jasa dan setiap pengorbanan yang disumbangkan oleh Khadijah untuk perjuangan Islam. Cemburunya terhadap Khadijah disebabkan Rasulullah menghormati keluarga Khadijah, sedangkan Khadjah telah meninggal dunia. (Ini bukan kes cemburu isteri pertama kepada isteri kedua) Apa jawapan Rasulullah, “Wallah (Allah bersumpah)”, di hadapan Aisyah, Allah swt  tidak pernah mengantikan tempat Khadijah pada pandangan mataku.  Lalu disebut hampir tujuh sebab yang membuatkan Aishah terdiam seumur hidupnya dari mengulang perbuatannya.

Ketiga, kisah dalam surah al-Tahrim, ada kisah tentang komplot para isteri Rasulullah untuk menyakiti hati baginda.  Bagaimana penyelesaian yang diambil oleh Rasulullah s.a.w untuk menyelesaikan perbuatan mereka.  Kisah Rasulullah s.a.w ini, bukan kisah baginda baru ingin berkahwin tetapi bagaimana menyelesaikan rumahtangga baginda pada waktu yang sama menangung tanggungjawab besar sebagai seorang nabi, seorang ketua kerajaan dan umat.  Ada pengajaran yang berguna yang perlu diambil oleh para isteri dan juga para suami.  Suami yang berhasrat untuk berkahwin lagi wajar menghayati surah ini.

Begitu juga wanita yang cuba menghalang poligami suaminya perlu ambil iktibar dari surah yang pendek ini. Ada tiga pengajaran umum dalam surah ini – panjang untuk ditulis di sini. Point yang paling penting dalam surah ini ialah taubat.  Di akhir surah ini dibuat dua perbandingan yakni isteri yang buruk (isteri Nabi) dan isteri yang baik (isteri Firaun).

Perkahwinan Rasulullah s.a.w sebelum peristiwa hijrah dan selepas berlakunya hijrah asasnya ialah dakwah dan masyarakat.  Asasnya ialah membantu armalah (Ummu Saadah).  Asasnya juga pada menyelesaikan pertelingkahan antara kaum (beberapa isteri baginda dari kabilah arab).  Asasnya juga pada membetulkan akidah.  Asasnya juga dalam aspek syariat (contohnya baginda berkahwin dengan bekas menantu angkatnya).  Asasnya pada mengangkat darjat (berkahwin dengan hamba) Mungkin Ummu Abbas boleh bongkarkan lebih terperinci satu persatu perkahwinan baginda sebelum hijrah dan sesudah hijrah (cadangan tulisan seterusnya).

Akhir kata, keharusan syariat poligami dalam al-Quran perlu dibaca melalui asbab nuzul ayat tersebut. Untuk lebih pencerahan boleh melihat dalam sirah Islam – apa yang berlaku selepas perang Uhud.  Nasib mereka yang berada dalam masyarakat Madinah ketika itu – iaitu mereka (armalah dan juga anak yatim) yang baru kehilangan sokongan terkuat dalam keluarga mereka, yakni ‘institusi bapa’.

[Antara pra-syarat memahami sesuatu nas al-Quran/hukum ialah melihat kepada nas tersebut dari al-Quran dan al-Sunnah (fiqh al-Nas) baik secara umum ataupun terperinci, kemudian mengkajinya dengan lebih mendalam melalui sirah (Fiqh al-Sirah) dan juga mengaitkannya dengan isu semasa (Fiqh al-Waqi'iy) apa yang sedang berlaku dalam masyarakat hari ini]

 

Ibu Anas@Sahabat fillah

30 September 2009

**********************************

 Alhamdulillah penjelasan yang amat mendalam daripada sahabat fillah, moga-moga saya beroleh manfaat daripadanya…amin…

 

Dalam perenggan pertama mungkin sahabat fillah ingin menjelaskan bahawa dalam hukum Islam juga ada mengambil kira berkenaan masyarakat.  Dengan lebih mudah lagi saya mengistilahkannnya sebagai urf atau adat istiadat….ya saya bersetuju itu bahawa dalam hukum hakam Islam keadaan semasa diambil kira, namun bila dan bagaimana:-

 

Urf atau adat istiadat

Adat istiadat ini tentu saja yang berkenaan dengan soal muammalat.  Sepanjang adat istiadat itu tidak bertentang dengan ketentuan dalam Qur’an dan Hadis serta tidak melanggar asas-asas hukum Islam di bidang muamalat,  maka menurut kaedah hukum Islam yang menyatakan “adat dapat dikukuhkan menjadi hukum” (al-‘adatu muhakkamah).

 

Dasarnya:

- Dalam Qur’an: “Apa yang dilihat oleh orang Islam baik, maka baik bagi Allah juga”.

- Dalam Hadis: “…Nabi menyuruh mereka berbuat baik dan melarang berbuat mungkar”.

 

Syarat-syarat Urf sebagai sumber Hukum:

a. Urf harus berlaku terus menerus atau kebanyakan berlaku.

b. Urf yang dijadikan sebagai sumber hukum bagi suatu tindakan harus terdapat pada waktu diadakannya tindakan tersebut.

c. Tidak ada penegasan (nas) yang berlawanan denga urf.

d. Pemakaian urf tidak akan mengakibatkan dikesampingkannya nas yang pasti dari syari’at.

e. Hukum Adat baru boleh berlaku kalau kaedah-kaedahnya tidak ditentukan dalam Al-Qur’an dan Sunnah Rasul, tetapi tidak bertentangan dengan keduanya, sehingga tidak memungkinkan timbulnya konflik antara sumber-sumber hukum itu.

 Soalnya sekarang adakah pada pandangan masyarakat secara umumnya poligami sudah dianggap tidak relevan untuk dipraktikkan?  Atau hanya golongan wanita sahaja yang berpandangan sekalian?  Atau hanya segelintir sahaja dari golongan wanita yang menganggap sedemikian? 

Bagi wanita yang dalam keadaan selesa (yang terdiri daripada golongan wanita awal 20an, yang sudah bahagia dengan suami yang ada atau juga mungkin dari golongan yang tidak mahu berkahwin) mungkin menolak poligami..tetapi bagaimana pula dengan wanita yang sudah dianggap lewat berkahwin(andartu), golongan armalah, adakah mereka juga menolak poligami?  Atau mungkin berkeras inginkan seorang lelaki yang single????

 

Saya tidak menafikan apa yang berlaku dalam masyarakat kini.  Saya juga banyak kali mendengar rintihan dari golongan wanita dalam hal ini..dan saya juga amat kesali diatas tindakan suami-suami tersebut.. namun sedarlah tidak semua begitu, Allah lebih tahu mengapa disyariatkan poligami.

 

Setiap perkara yang berlaku harus dilihat positif bukannya negatif.  Kalau mahu dikira negatif berapa ramai isteri-isteri yang mengabaikan tanggungjawab mereka?  Berapa ramaikah yang curang dengan suami mereka? Ya, sudah tentu tidak terhitung banyaknya.

 

Mengenai hajat suami yang ingin berpoligami, mereka perlu memikirkan adakah mereka mampu meneladani rasul, maka jawab saya ya, boleh!!!.  Nabi dijadikan qudwatun hasanah, tidak pula dipanggil qudwatun hasanah sekiranya umatnya tidak mampu mengikutinya..cuma menjadi seperti rasul itu yang tidak boleh..kerana nabi itu ma’sum..begitu juga bagi si isteri-isteri adakah mereka mampu mencuri sedikit hati-hati isteri nabi?  Maka saya menjawab, soal hati bukan untuk dicuri dan ditiru..soal hati perlu dididik, dididik dengan ilmu dan iman.  Berapa ramai isteri yang terfikir /terlintas dalam kepala mereka bahawa syurga sebagai balasan sekiranya mereka membenarkan suami mereka berpoligami tatkala luahan si suami ingin berkahwin lagi?  Hanya golongan wanita mampu menjawab soalan ini.

 

Akhir kata dari saya Islam itu indah…fahami dan hayatilah Islam kerana cinta tidak akan timbul sebelum mengenalinya…

 

Abu Hurairah al-Kelantani

1 Oktober 2009

Poligami: Perkara yang suami perlu fikirkan 2

Ini sambungan tulisan Ibu Anas sebelum ini.  Mohon para suami dapat berfikir dengan rasional dan usah terburu nafsu.  Malulah pada kaum wanita bila 9 rasional boleh ditewaskan oleh 9 emosi perempuan.  Dunia hampir kiamat dan bertambah cepat kiamatnya apabila kepimpinan kaum lelaki merudum menyembah pada ‘kuasa’ wanita.  Buktikan pada wanita, bahawa 9 rasional lelaki mampu memimpin 9 emosi wanita.  Satu-satu usaha mewaraskan 9 rasional dan 1 nafsu lelaki ialah ilmu yang dapat mengenalkan mereka kepada Allah. Susahnya mencari insan seperti Tok Guru Nik Aziz, dengan ilmunya dan taqwanya kepada Allah.

Ramai orang mengagumi Tok Guru Nik Aziz, namun berapa kerat yang mahu menjadi seperti Tok Guru Nik Aziz itu sendiri.

Ingatlah jua semua para nabi dan rasul itu dilantik dari kalangan kaum lelaki.  Ia menunjukkan teraju tarbiyah dan penunjuk jalan yang lurus itu ada pada lelaki.

Ego lelaki yang tidak dipandu dengan tawaduk kepada Allah hanya menyesatkan mereka dan menutup mata mereka dari melihat kebenaran.  Mereka sangka mereka mengurus ego dengan betul, realitinya mereka menyimpan sifat angkuh dan sombong yang dibenci Allah.  Alhamdulillah, suami saya bukan begitu orangnya.  Suami saya seorang yang  mudah lembut hatinya pada kebenaran dan suka sekali jika saya mengingatkan dia kepada Allah dan hari Akhirat.  Moga Allah tetapkan hati suami saya di atas iman dan taqwa dan menambah rahmat serta barakah dalam hidupnya hingga ke akhir hayat.

Selepas tulisan Ibu Anas, saya juga paparkan di sini pendapat Puan Siti Fatimah untuk direnung bersama.

 

Moga beroleh manfaat.  Moga hati bertambah takut kepada Allah.

 

Ummu Abbas

10.50am

11 Syawal 1430H  

************************

Saya baca kembali yg saya telah tulis di atas. Ada kesilapan yang saya sedari. Iaitu soalan saya – apakah poligami dalam kondisi yg disebut halal. – Jawapannya memang halal.

Saya khuatir disalah tafsir nanti perkara yang halal di sisi agama difahami sebagai haram dalam tulisan komen saya tersebut.

Sekiranya boleh dibetulkan kembali – soalan saya, saya fikir lagi tepat jika saya ajukan soalan begini – wajarkah dalam keadaan isteri yang bekerja dan anak yang masih kecil, suami tanpa alasan yang kuat lagi kukuh dan juga perancangan yang baik dan panjang mengambil keputusan berkahwin lain?

Saya dapati beberapa kes suami berkahwin dua, tidak berjaya membuat perseimbangan dalam hidupnya, isterinya, anak-anak serta keluarga-keluarga yang bertambah ramai. (keluarga suami sendiri, keluarga isteri 1, keluarga isteri 2 dan seterusnya) Ini kerana apabila kita berkahwin, kita berkahwin dalam satu pakej kekeluargaan. Ia juga melibatkan pakej kemasyarakatan, pakej ekonomi, pakej tarbiyah serta pakej dakwah. Jika songsang mana-mana satu, mudah benar jari telunjuk kesalahan akan ditujukan.

Terdapat juga suami yang berkahwin, tidak merancang dengan teliti masa depan anak-anak mereka. Terutamanya menyediakan tabung khas untuk masa depan mereka. Apabila berlaku perceraian barulah timbul soal nafkah anak-anak dan sebagainya, sedangkan soal nafkah anak-anak dan perbelanjaan mereka baik untuk 5 tahun akan datang, 10 tahun akan datang, perkahwinan mereka, pengajian mereka dsb semuanya adalah tanggungjawab bapa. Berapa banyak kita dapati suami yang meninggalkan anak-anak yang masih kecil samada dengan takdir Allah taala usianya pendek, ataupun mereka hilang keupayaan setelah berlaku kemalangan, sakit dsb. Keputusan untuk berkahwin lagi perlu difikir bersungguh-sungguh. Ia tidak boleh dibuat beralaskan orang lain mampu aku mungkin mampu. Ia juga tak boleh dibuat berpandukan ikutan dan nasihat yang ringkas. Ia mesti dibuat secara cermat lagi berhalus.

Saya juga dapati, hujah yang biasa digunakan ialah seperti daripada terus menerus melakukan maksiat lebih baik berkahwin untuk mengelak fitnah dan menetaskan lebih banyak lagi masalah. Selain itu juga perasaan suami yang jatuh cinta kepada wanita lain juga tidak mampu dihalang. Begitu juga wanita yang jatuh cinta terhadap seorang lelaki. Dalam hal ini sebagai individu mukmin mereka perlu mencari banyak options penyelesaian. Sunnah Rasulullah dan juga ajaran dalam al-Quran ada banyak cara penyelesaian. Antaranya seperti berpuasa, menjaga pandangan, bertaubat bersungguh-sungguh, jika keputusannya ialah berkahwin lagi ia perlu dilakukan oleh tiga pihak dengan perasaan penuh gerun terhadap Allah taala (tanpa rasa takut ataupun bimbang kalau-kalau tak mampu berlaku adil dan diadili baik di dunia dan juga di akhirat). Ini kerana tiga pihak ini bertanggungjawab menjaga nama baik sunnah Rasulullah s.a.w.

Allah a’lam

Ibu Anas

*************************

Pendapat 2

Assalaamu’alaikum

Poligami adalah satu keharusan mengikut ajaran Islam.  Poligami bukan satu hal yang mudah diurus jika tidak mempunyai ilmu dan memahami risiko yang bakal berlaku. Keharusan berpoligami dalam Islam berasaskan tanggungjawab bukan atas dasar nafsu semata-mata. Jika poligami Rasulullah saw dihayati dan dikaji, maka ternyata tanggungjawab adalah perkara utama didahulukan.  Namun apa yang berlaku  kepada kebanyakan umat Islam mutakhir ini adalah sebaliknya.  Cerai kahwin sudah menjadi rutin dan tidak lagi dilihat sebagai hal yang mesti dipelihara dengan kasih sayang.  Wallahu’alaam.

Puan Siti Fatimah.

Poligami: Perkara yang perlu suami fikirkan

Tulisan ini merupakan respon kepada Catatan 3 ‘Hari Raya’. Saya siarkan di sini agar semua pihak dapat merenung dan berfikir lebih panjang berasaskan ilmu. Bukan sekadar lojik akal yang dirujuk pula kepada amalan kawan-kawan sahaja. Role model kita adalah Rasulullah s.a.w. Teringin juga mengulas tulisan di bawah ini namun saya mahu lihat reaksi dari pembaca terlebih dahulu. Kalau ada kaum Adam yang mahu mengulas, ia amat-amat dialukan.

**************************
poligami kartun

Penulis: Ibu Anas

Apabila timbul soal poligami ini, ia bukan sekadar perkara yang melibatkan dua ataupun tiga pihak dan hak tetapi banyak pihak dan hak yang mesti ditunaikan. Tugas khalifah, bukan tugas untuk hanya memimpin jemaah/oragnaisasi tetapi asas yang paling penting ialah Baitul Muslim.

Kita terpaksa menempatkan diri dalam banyak tempat dan keadaan apabila ingin membuat keputusan untuk berpoligami dan menerima poligami. Dalam suasana ekonomi hari ini, di mana seorang isteri masih perlu keluar untuk mencari rezeki membantu keluarganya sendiri, apakah halal poligami diteruskan? Seorang isteri juga ada kalanya masih terpaksa menanggung keluarganya sendiri, seperti ibubapanya, adik-adik yang masih bersekolah, selain mendapatkan pendapatan untuk keluarganya (anak dan suaminya). Dalam kes yang ummu abbas sebut di atas, yang saya baca, isteri pertamanya bekerja. Kemudian anak-anak yang masih kecil. Sekali lagi saya ingin bertanya, apakah poligami itu halal? (Walaupun ia diredai dan mendapat persetujuan dari isteri pertama?)

Kita baca sirah Rasulullah s.a.w, bagaimana baginda dicadangkan untuk berkahwin semula setelah kewafatan Khadijah. Antara puncanya ialah perlunya kepada orang yang boleh menjaga anak baginda yang masih kecil ketika itu dan wanita yang dikahwini bukanlah wanita yang bercerai ataupun masih anak dara kerana perkahwinan tersebut memiliki erti sunnah yang sebenarnya yakni, pentarbiyahan anak yang masih belum dewasa dan perlunya seorang ibu yang boleh mentarbiyah Fatimah menjadi seorang srikandi Islam yang baru kehilangan bondanya Khadijah bintu Khuwaid.

Sunnah yang diajar oleh Rasulullah ialah mengisi tempat seorang ibu dalam hidup anak-anak. Keduanya, perkahwinan Rasulullah s.a.w, adalah berkahwin dengan balu – perintah ataupun keizinan berkahwin lebih dari satu dalam surah al-Nisa’ diturunkan setelah berlaku perang Uhud yang mana tentera muslimin ramai yang syahid, meninggal isteri dan anak-anak. Di atas rasa kemanusiaan dan simpati, perlunya tempat bapa diisi untuk mengisi kekosongan tempat ayah, para sahabat r.a berkahwin dengan para balu dan mengambil anak-anak yatim tersebut sebagai anak-anak mereka. Bukan sekadar membantu institusi keluarga yang baru hilang tempat pergantungan tetapi baru tanggungjawab sosial, ekonomi dan tarbiyah untuk anak-anak yang masih kecil.

Kita ada contoh mereka yang berpoligami yang amat baik akan tetapi kita juga ada contoh berpoligami yang amat memalukan kita sehingga membuatkan kita berasa marah apabila makna sunnah poligami yang diajar dan dibawa oleh Rasulullah s.a.w telah diselewengkan baik dari sudut amalan dan juga pemahaman. Jadilah golongan muslim tersebut golongan yang telah menyelewengkan ajaran sunnah Rasulullah s.a.w. Betapa dahsyatnya kondisi ini dan apakah kita mampu menanggung dosa terhadap Rasulullah s.a.w kemudian dosa kita terhadap golongan-golongan yang perlu ditunaikan hak mereka. Ayat saya ini agak kasar tetapi sampai bilakah kita tidak boleh berkasar dengan golongan yang berkasar dengan Rasulullah s.a.w? Ini belum lagi termasuk suami yang membiarkan isteri keluar bekerja mencari nafkah zahir untuk keluarga. Belum lagi kita berkasar dengan si ayah yang memukul anak dan membuat penderaan mental terhadap anak-anak melalui perkahwinan lain?

Saya pernah dengar, seorang wanita memberitahu saya yang dia bangga dengan akhlak dan juga layanan suaminya kepadanya dan kepada anak-anaknya. Malah dia akan bangga sekiranya suaminya boleh melayan wanita lain dan anak-anak yang lain seperti layanan yang dia alami. Untuk mencari suami seperti ini dan juga ayah seumpama ini, amat-amat sukar.

Kepada kaum lelaki yang ingin berkahwin, tanyalah pasangan anda, setakat manakah layanan kalian terhadap isteri dan juga anak-anak. Tanyalah mereka, apakah pada pandangan isterinya sekiranya dia berkahwin lain suatu hari masa akan datang, isterinya berasa berbangga dengan tanggungjawab barunya? Isteri berpuas hati dengan hak-hak yang telah ditunaikan? Perlu ditanya anak-anak (seperti dalam kes hadhanah – bersesuaian dengan usia yang ditetapkan oleh para imam 4 mazhab) wajarkan ayah berkahwin lagi? Jika dapat jawapan yang memuaskan, saya percaya poligami akan menjadi rahmat kepada banyak pihak dan bukan lagi dilihat sebagai azab ataupun negatif dalam masyarakat muslim.

Catatan 3 ‘Hari Raya’

Alhamdulillah,  masih dikurniakan nikmat menghirup oksigen sehingga mata masih mampu melihat keindahan dunia, telinga yang masih mampu mendengar suara tasbih memuji-mujiNya, lisan yang masih mampu digetarkan mengalunkan kalam suci Ilahi dan paling penting, hati yang sihat dan merasa seronok bersama Allah azzawajalla.

Selepas seminggu menyibukkan diri dengan beraya, terasa suam-suam kuku mahu mula menulis.  Nasib baik belum ‘dingin’ terus.  Saya mahu menulis ringan-ringan dulu.  Saya mahu berkongsi diary 3 Hari Raya bersama pembaca.  Mungkin ada yang mahu memberi pandangan terhadap peristiwa-peristiwa itu.  Insya Allah, saya cuba paparkan apa yang bermanfaat untuk semua.

 

1 Syawal 1430H

Cerita 1:

Seperti lazimnya, selepas Solat Hari Raya, saya sekeluarga beraya di rumah ibubapa saya.  9 adik beradik saya akan berkumpul di rumah Abah dan Ma.  Tali silaturrahim dipereratkan.  Abah dan Ma punya 9 anak, 7 menantu dan 28 1/2 cucu.  1/2 bermaksud janin dalam kandungan adik ipar saya yang sedang sarat.

Namun tahun ini, kakak ipar yang sulung bersama 10 orang anaknya berpagi raya di kampung mereka.  Saya sempat beraya dengan mereka setelah malam menjelang di ruman (gemulah) We (Wan).  Selepas beraya di rumah Abah dan Ma, baru kami pulang ke rumah Mak di kampung suami.  Biasanya kami menziarahi ibu-ibu saudara yang tinggal berhampiran rumah mak.  Petang kami pulang ke rumah dan malam kembali semula menziarahi keluarga di sebelah saya.

Rutin begini kami lalui semenjak tahun pertama perkahwinan kami.  Kami bersepakat dalam hal ini kerana setiap Eidul Adha (Raya Korban), kami mesti berada di rumah Mak untuk menolong menyiang daging.  Petang-petang baru kami pulang  ke rumah ibubapa saya pula.

Cerita 2:

Saya menerima sms dari seorang sahabat.  Dia menyatakan kesedihannya kerana terpaksa beraya dengan anak-anak yang masih kecil tanpa suami di sisi.  Suami beraya di rumah isteri kedua.  Kemudian dia pulang ke kampung bersama adik dan anak-anak sahaja.

 

2 Syawal 1430H

Saya menerima sms jemputan menghadiri majlis akad nikah dengan isteri kedua dari seorang sahabat suami saya.  Geram juga saya kerana saya sudah dua kali beritahu dia nombor telefon suami saya yang baru serta meminta dia ’save’ nombor baru.  Maklumat yang diberikan terperinci sekali  yakni lokasi dan masa akad nikah.  Isterinya sahabat saya.  Oleh kerana dia menyebut di dalam sms itu hal itu rahsia, saya membalas sms tersebut bertanyakan apakah isteri pertama mengetahuinya.  Dia membalas isteri beri kerjasama yang baik.  Tidak mengapalah kalau begitu.  Saya hanya mampu mendoakan yang terbaik buat mereka semua.

Petang, saya bertanya sendiri kepada sahabat saya untuk memastikan perkara itu benar.  Sahabat saya membalas sms dengan menyatakan dia sudah jumpa bakal.  Selepas perkataan bakal… dia letak noktah tanpa menyebut apa-apa istilah.  Selepas noktah, dia hanya menyebut sudah izinkan (suami kahwin lagi).  Saya tidak tahu apa perasaannya kerana menulis begitu.  Yang saya pasti, sahabat saya akan keluar bekerja sementara suaminya akan bernikah lagi pada keesokkannya (3 Syawal 1430H).  Saya berfikir ‘kerelevanannya’ dengan sunnah Nabi s.a.w.  Sahabat saya itu juga punya ramai anak kecil dan sedang hamil anak ke 8.  Pembantu rumah pula baru lari dari rumah. 

Saya baru tahu dia punya pembantu rumah kerana sebelum ini dia memang tiada pembantu rumah.  Waktu kerja pula dari pagi sampai ke petang. 

Ya Allah, berilah kekuatan kepada sahabat saya itu.  Limpahkanlah rahmat dan pertolonganMu padanya.  Tenangkanlah jiwanya dan sabarkanlah hatinya.

Saya sampaikan mesej jemputan dan mesej balasan saya kepada suami.   Kemudian saya diam sahaja tanpa memberitahu kepada sesiapa pun. 

 

3 Syawal 1430H.

Saya masih teringat-ingat pada sahabat saya yang suaminya akan nikah lagi pagi ini.  Saya hanya mampu mendoakannya dari jauh.  Saya merasa sedih juga kerana kondisinya yang pada pendapat saya, suami perlu menumpu perhatian kepada satu keluarga terlebih dahulu.  Namun hati dan keperluan manusia hanya Allah yang lebih mengetahuinya.  Seorang sahabat yang lain sms pada saya memaklumkan hal tersebut.  “Alhamdulillah, saya sudah tahu…,” balas saya.   Saya cuma berharap segalanya berlaku menurut sunnah dan isteri-isteri dilayan secara adil.  Itu sahaja.

Belum habis saya memikirkan tentang perkara yang berlaku dan kaitannya dengan sunnah, pada tengaharinya, seorang isteri yang lain meluahkan kepada saya mengenai suaminya yang mahu bernikah lagi.  Kes yang ini lebih berat.  Selain anak-anak juga masih kecil dan masih perlukan perhatian dari bapa, dimaklumkan bakal isteri kedua bercerai semata-mata kerana mahu berkahwin dengan suaminya.  Sejauh mana benarnya perkara tersebut, saya belum berkesempatan bertanyakan sendiri kepada si suami.  Semoga Allah jauhkan dari perkara yang dimurkaiNya dari keluarga tersebut.

Aduhai.. dari hari raya pertama, saya didatangi kes poligami.  Setiap yang berlaku ada hikmahnya.  Apa yang Allah mahu saya lakukan sebenarnya.  Topik ini sering saya cuba elakkan dari menulisnya kerana justifikasinya sangat luas serta tiada hukum yang rigid mengenainya.  Cuma kebanyakan lelaki memandang poligami adalah satu hak mereka yang isteri sepatutnya patuh- sepatuh-patuhnya.  Benarkah begitu? 

Kebanyakan mereka juga memandang poligami satu sunnah yang sangat rugi jika tidak mengamalkannya sedangkan sunnah solat tahajjud, solat berjemaah di masjid terutama Isyak dan Subuh, sunnah menundukkan pandangan, sunnah membataskan pergaulan dengan wanita ajnabi, sunnah nafkah zahir batin, sunnah berlemah lembut dengan anak isteri sedia ada tidak pula mereka peduli.   Benarkah mereka golongan penegak sunnah? 

Kemudian saya biasa dengar lelaki yang berjaya berkahwin ramai berbangga-bangga dengan jumlah isteri yang lebih dari satu.  Saya hanya pernah dengar Nabi Muhammad s.a.w berbangga kerana dapat melayan isteri-isterinya dengan adil dan dengan cara terbaik.  Saya tidak pernah jumpa satu hadis yang mana Nabi Muhammad s.a.w berbangga kerana ALlah izinkan dia punya 9 isteri.  Nabi Muhammad s.a.w tidak melihat kepada kuantiti tetapi kualiti menunaikan tanggungjawab dan memelihara hati isteri.  Jika ada sesiapa yang pernah jumpa Nabi s.a. berbangga dengan isterinya yang ramai, bolehlah berkongsi di sini.  Saya akan menelitinya dan mengambil iktibar darinya.

Jika mereka bertegas mahu menunaikan hak mereka berkahwin ramai, kenapa sunnah solat tahajjud, sunnah solat berjemaah di masjid dan banyak lagi sunnah-sunnah lain, mereka tidak beriya-iya mahu menunaikannya.  Sedangkan Nabi Muhammad menegakkan sunnah tersebut terlebih dahulu sebelum dibebankan dengan tanggungjawab isteri-isteri yang ramai.  Saya mahu lihat lelaki-lelaki yang mengejar poligami ini melenting bila isteri melarangnya ke masjid atau membaca Quran atau melarangnya bangun tahajjud.  Wujudkah lelaki-lelaki begini?

 

Sehari sebelum raya, saya mendengar ceramah Ramadan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz.  VCD itu dibeli oleh suami.  Sambil memandu, saya pasang VCD tersebut dalam kereta.  Hujung ceramahnya, Tok Guru menyinggung hal poligami.  Tok Guru marah-marah juga kepada suami-suami yang berpoligami kerana menurut sunnah Nabi s.a.w tetapi bab-bab nafkah dan lain-lain tidak pula menurut Nabi s.a.w. 

 

Setakat ini dulu catatan saya.

 

Ummu Abbas

12.51pm

6 Syawal 1430H

Selamat Kembali Kepada Fitrah!

Hati diselubungi resah. Sehari atau dua hari lagi, umat Islam bakal merayakan Eidul Fitr atau Hari Raya Puasa. Pilu jua mengulit jiwa bila meneliti diri, “Adakah aku layak menyambutnya?”.

‘Eidul Fitr’ bererti kembali kepada fitrah. Apakah aku sudah kembali kepada fitrahku dengan sepenuhnya? Fitrah mengaku Allah sebagai Ilah (tuhan) yang Esa. Apabila aku mengaku Allah Tuhan yang Esa, maka aku perlu patuh pada segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya tanpa ada pilihan lain. Namun seringkali aku memilih menurut hawa nafsuku. Adakah latihan puasa sebulan Ramadan 1430H ini benar-benar menjadikan diriku lebih takut kepada Allah? Atau sama sahaja dengan sebelumnya?

Petang tadi aku ke bazar Ramadan di Kota Bharu. Ku lihat masih ramai wanita Islam yang berpakaian tetapi telanjang. Mereka berjalan dengan rasa bangga dapat menayangkan aurat (aib) mereka di khalayak ramai. Aku terfikir, selagi manusia tidak berjaya membebaskan dirinya dari menurut hawa nafsu, hakikatnya mereka tidak layak menyambut ‘Hari Kembali kepada Fitrah’ ini. Fitrah manusia punya rasa malu. Fitrah manusia mahu tunduk patuh pada Allah swt.

Baru semalam aku berbual dengan suami menyebut bahawa wanita yang mendedahkan auratnya, usahkan masuk syurga, mencium baunya sahaja tidak layak baginya. Betapa hinanya pandangan Islam terhadap wanita begini yang disampaikan melalui lisan RasulNya. Aku kagum mengenangkan jutawan Sendayu Tinggi yang memilih purdah sejak 5 bulan yang lalu. Alhamdulillah, Puan Rozita sudah berjaya kembali kepada fitrahnya. Bukan purdah yang aku mahu tekankan, bahkan hasrat Puan Rozita yang mahu menutup aurat sebagaimana tuntutan Islam itulah yang menjadi tarikan. Maha Suci Allah yang memberikan hidayah kepada sesiapa yang mencarinya.

Bagi lelaki pula, selagi puasa tidak mampu menghalau rokok dari hidup mereka, mereka jua sebenarnya belum layak meraikan Hari Kembali kepada Fitrah ini. Fitrah manusia suka kebaikan dan benci sesuatu yang merosakkan dirinya. Menurut kajian sains, tiada satu manfaat pun hasil dari merokok. Menilai rokok dari A sampai Z, semuanya memudaratkan manusia. Justeru ia menjadi haram. Bukan lagi makruh.

Sekadar menyebut beberapa contoh lelaki dan wanita yang masih menurut hawa nafsu mereka dalam sebahagian perkara. Sebahagian perkara lain pula mahu mentaati Allah. Layakkah mereka menyambut hari raya?

Hari raya merupakan hari memerdekakan diri dari belenggu hawa nafsu. Jika manusia masih terkongkong dengan kehendak hawa nafsu, maka takbir “Allahuakbar” itu bagai air dicurahkan ke daun keladi. Allah Maha Besar itu tidak meresap ke dalam jiwanya, justeru itu mereka masih membesarkan nafsu melebihi Allah itu sendiri. Jika mereka mengerti dan memahami, cukuplah Allah Maha Besar itu melunturkan ego mereka untuk tunduk patuh kepada Allah. Impaknya, kaum wanita akan menutup aurat sepenuhnya, kaum lelaki akan meninggalkan rokok, rempit, arak dan sebagainya. Hamba yang merasa Allah itu Maha Besar tidak tergamak memilih selain dari apa yang diredai Allah semata.

Pedulikan kata-kata dan penilaian negatif manusia asalkan Allah reda pada kita. 

Ya Allah, bantulah kami memerangi hawa nafsu kami yang sentiasa cenderung kepada menderhakaiMu.

Sempena Eidul Fitr tahun 1430H ini, saya mengambil kesempatan ini mengucapkan,

 

Selamat Kembali kepada Fitrah!

Selamat Hari Raya!

Eidul Fitri al-Mubarak!

 

Semoga Allah menerima amalan kita semua.

 Amin.

Maaf Zahir Batin

Dari semua yang mengenali atau tidak mengenali saya.

 


 Ummu Abbas

29 Ramadan 1430H

11.07pm

Raya, raya juga…Cuba baca kisah ini…!

Assalamualaikum teman-teman semua! Semoga semua pengunjung berada dalam belas kasihan ALlah dan redaNya… Jika ada pembaca non-muslim yang bertamu, saya ucapkan semoga cahaya hidup bertambah buat saudara-saudari.

Saya percaya, ramai antara kita membuat pelbagai persiapan menyambut raya; Baju raya, kuih raya, ’angpau’ raya, perabut raya, langsir raya dan berbagai-bagai raya lagi.  Ada juga yang akan membanjiri jalan raya sehari dua lagi.  Berhati-hati ye..biar lambat asalkan selamat. 

Seperti biasa, saya sediakan dua pasang baju untuk setiap anak.  5 orang anak x 2 pasang= 10 pasang.  Saya sendiri sehelai jubah dan 2 helai tudung.  Suami pernah pesan, saya hanya boleh beli jubah sehelai setahun.  Alhamdulillah, itulah yang saya lakukan sejak hampir 11 tahun berkahwin dengannya.  Bukan dia kedekut tapi mendidik saya untuk berjimat dan ingatkan orang susah.  Saya pernah cerita dalam entry-entry sebelum ini betapa suami saya seorang yang tidak berkira bila membelikan hadiah untuk saya, juga anak-anak.  Pemurah biarlah bertempat… iya tak?  Kalau silap tempat, boros namanya.

Dalam ghairah membuat persiapan untuk anak-anak tercinta, hari ini, saya mendapat email yang diforwardkan dari suami.  Sebuah kisah yang…. bacalah sendiri.  Saya kongsi di bawah ini.   Selesai baca, kongsilah apa yang terdetik di hati.  Setakat yang saudara-saudari sudi berkongsi dan ikhlas keranaNya semata.  Moga dapat melembutkan hati yang keras dan menjinakkan jiwa yang rakus dan tamak.  Enjoy…

*****************

Penulis:  Che Ghazali Kasim, USMKK.

Tajuk:  SEMOGA JADI IKTIBAR

Saya sangat mengkagumi kerjaya sebagai guru sekolah.  Sebuah kisah yang saya paparkan ini saya ulangi dari kisah benar seorang guru beberapa tahun yang lalu.

Ceritanya:

Saya mengajar di sekolah rendah di tengah2 bandaraya Kuala Lumpur. Saya mengajar sesi petang. Salah seorang murid saya setiap hari datang lambat ke sekolah. Kasut dan bajunya selalu kotor. Setiap kali saya bertanya tentang baju dan kasutnya dia hanya berdiam diri.

Saya masih bersabar dengan keadaan pakaiannya, tetapi kesabaran saya tercabar dengan sikapnya yang setiap hari datang lambat. Pada mulanya saya hanya memberi nasihat. Dia hanya menundukkan kepala tanpa berkata2 kecuali anggukkan yang seolah2 dipaksa.

Kali kedua saya memberi amaran, dia masih juga mengangguk tetapi masih juga datang lambat keesokannya. Kali ketiga saya terpaksa menjalankan janji saya untuk memukulnya kalau masih lambat. Anehnya dia hanya menyerahkan punggungnya untuk dirotan . Airmata saja yang jatuh tanpa sepatah kata dari mulutnya.

Keesokan harinya dia masih juga lambat, dan saya memukulnya lagi. Namun ia masih tetap datang ke sekolah dan masih tetap lambat. Suatu hari saya bercadang untuk mengintip dia ke rumahnya. Setelah mendapatkan alamatnya, saya meneruskan niat saya. Dia tinggal di sebuah kawasan setinggan tidak berapa jauh dari sekolah. Keadaan rumahnya sangat daif. Saya nampak murid saya itu sedang berdiri di depan rumahnya dalam keadaan gelisah. Seorang wanita yang mungkin ibunya juga kelihatan gelisah.

Lebih kurang pukul 1.30 seorang anak lelaki sedang berlari2 sekuat hati menuju ke rumah itu. Sambil berlari dia membuka baju sekolahnya. Sampai di depan rumah baju dan kasutnya diserahkan pula kepada murid saya yang terus bergegas memakainya. Sebelum pakaian sekolah sempurna dipakai, dia sudah berlari ke arah sekolah.

Saya kembali ke sekolah dengan penuh penyesalan. Saya memanggil anak itu sambil menahan airmata yang mula tergenang.

“Maafkan cikgu. Tadi cikgu pergi ke rumah kamu dan memerhatikan kamu dari jauh. Siapa yang berlari memberikan kamu baju tadi?”

Dia terkejut dan wajahnya berubah.

“Itu abang saya. Kami kongsi baju dan kasut sebab tak ada baju lain. Itu saja baju dan kasut yang ada. Maafkan saya, cikgu,” jawabnya.

“Kenapa kamu tak beritahu cikgu dan kenapa kamu biarkan saja cikgu pukul kamu?”

” Mak pesan, jangan meminta2 pada orang, jangan ceritakan kemiskinan kita pada orang. Kalau cikgu nak pukul serahkan saja punggung kamu.”

Sambil menahan airmata yang mula berguguran saya memeluk anak itu, “Maafkan cikgu, …….”

Kejadian itu cukup menginsafkan saya. Selepas itu saya cuba membantunya setakat yang mampu.

Cerita2 begini membantu melembutkan hati yang keras. Kata seorang guru, sekiranya hati kita mula keras lembutkanlah dengan perkara2 berikut;

i. Solat sunat.
ii. puasa sunat.
iii. berzikir.
iv. bersedekah.
v. mengusap rambut anak yatim.
vi. mendengar cerita2 kesusahan orang lain.
vii. membantu orang susah.

 

********************

Renung-renungkan…

Peringatan buat (diriku) yang alpa…

UPDATE:
Selesai posting di sini, saya minta Abbas dan Azzam membaca kisah ini. Anak-anak saya biasa dengan kemudahan (tapi bukan mewah). Kadang-kadang, pening juga mahu memujuk mereka agar bersikap qanaah. Rupa-rupanya, Abi mereka sudah pun bercerita kisah di atas kepada anak-anak kami semasa berbuka tadi.
Kami berharap mereka dapat bermudah-mudah dalam kehidupan yang sementara ini. Akhirat jua yang kekal abadi.

Benarlah, puasa mengajar kita untuk lebih peka terhadap nasib orang lain selepas hati kita menjadi lembut kerananya.

Ya Allah… betapa Engkau merahmatiku dengan secebis kisah ini.  Hati disapa syahdu dan dada lantas menjadi sebak…

 

Ummu Abbas

8.36am

26 Ramadan 1430H


Beratus Yahudi Israel Peluk Islam Setiap Tahun

فَمَن يُرِدِ اللّهُ أَن يَهْدِيَهُ يَشْرَحْ صَدْرَهُ لِلإِسْلاَمِ وَمَن يُرِدْ أَن يُضِلَّهُ يَجْعَلْ صَدْرَهُ ضَيِّقًا

حَرَجًا كَأَنَّمَا يَصَّعَّدُ فِي السَّمَاء كَذَلِكَ يَجْعَلُ اللّهُ الرِّجْسَ عَلَى الَّذِينَ لاَ يُؤْمِنُونَ

 

Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah kepadanya nescaya Dia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam; dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Dia menjadikan dadanya sesak dan sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang-orang yang tidak beriman. 
Al-An’am 6:125
 
***************************************
 
Seorang Yahudi yang memeluk Islam.  Allahuakbar!

Seorang Yahudi yang memeluk Islam. Allahuakbar!

Setiap tahun, beratus warga Yahudi yang tinggal di Israel mengunjungi pejabat Kementerian Undang-undang untuk mengisi borang permohonan menukar agama dan memilih Islam sebagai agama baru. Sementara itu, para aktivis Yahudi yang menentang fenomena ini mengatakan, tidak semua Yahudi yang masuk Islam melaporkannya ke Kementerian Undang-undang.

Media kedua terlaris di Israel setelah akhbar harian Yedioth Ahronoth, iaitu Tabloid Maarif yang berpusat di Tel Aviv melaporkan, bahawa beberapa data serta angka-angka menunjukkan beratus warga Yahudi telah memeluk Islam. Tabloid yang kini juga terbit dalam versi bahasa Arab ini mengulas, bahawa fenomena ini sudah berlangsung sejak lima tahun terakhir.

Tabloid ini turut memberitahu, berpuluh-puluh warga Yahudi telah meninggalkan agamanya dan memeluk agama Kristian. Data dua tahun terakhir menunjukkan, dari 360 Yahudi yang melapor ke Kementerian Undang-undang untuk mengubah agamanya, 249 di antaranya menyatakan memeluk Islam dan bakinya ingin berpindah ke agama Kristian. Hal ini menunjukkan bahawa setiap tahun sekitar 100 orang Yahudi menukar agama, baik ia agama Islam maupun Kristian. Angka ini meningkat sejak tahun 2008 sehingga ada 142 Yahudi yang menyatakan masuk Islam pada tahun ini.

Tabloid Maarif menjelaskan, sejak tahun 2009 hingga sekarang, terdapat 32 Yahudi yang mengajukan permintaan mengubah agama. Angka-angka ini menimbulkan keresahan di kalangan masyarakat Yahudi.

Di pihak lain, seorang anggota persatuan “Keluarga Yahudi Selamanya” menyatakan, “Jumlah Yahudi yang menukar agamanya dan memeluk Islam tidak sama seperti mana diberitakan oleh media, kerana ada beratus Yahudi lain yang memeluk Islam tapi tidak melaporkannya ke pihak berwajib.”

Sementara itu, salah seorang anggota Knesset bernama Adri Orbench menyatakan, “Setiap warga Yahudi yang pindah agama akan sangat merugikan bangsa Yahudi.”

Sumber: eramuslim.com

*************************

Ummu Abbas:  Kemasukan Yahudi ke dalam agama Islam merupakan satu tempelak yang maha kuat kepada gerakan Zionis sedunia.  Mereka menyangka mereka dapat menguasai dunia, kaum mereka sendiri tidak berjaya mereka bendung dari memeluk Islam.  Bersabarlah kita dalam memperjuangkan Islam di muka bumi kerana pertolongan Allah itu sangat dekat serta datang tanpa disangka-sangka apabila kita memenuhi syarat kemenangan.   Allahuakbar!   Allahuakbar!  Allahuakbar!

Psst… pencarian Lailatul Qadr belum berakhir.  6 malam tersisa.  Sama-sama kita mohon kepada Allah agar dipertemukan malam bertuah itu.   Amin Ya Rabbal alamin.  Banyak sungguh hajat kita mahu dipanjatkan kepada Raja segala raja itu, bukan?  Mohonlah dan bersangka baik dengan Allah.

1.53pm

23 Ramadan 1430H  

Monolog Ramadan

Kekasih beransur berlalu meninggalkan diriku yang masih terkongkong di dunia hina ini. Nafsuku belum benar-benar merdeka dari penjara dunia.


Ku mohon ampun dariMu Ya Allah. Ku bertaubat padaMu ya Allah dari segala noda dan dosa.

Ku maafkan sesama insan yang lemah sepertiku demi silaturrahim yang berpanjangan.


Aku mencari permata lailatul Qadr meskipun aku terasa tidak layak untuknya. Aku sungguh lemah tidak berdaya. Dosaku banyak, hatiku kotor dan amalanku sangat sedikit.


Beberapa hari lagi, syawal bakal menjelang…bererti syaitan akan dibebaskan. Aku menyuluh diri… aku menyemak akhlakku… masihkah sama seperti sebelum Ramadan. Aduh.. Ya Allah… Betapa lemah dan daifnya diriku. Aku belum berubah… masih mengulangi suluk yang buruk. Mampukah aku memperbaikinya selepas Ramadan?

Bila syaitan berazam seperti di bawah ini, aduh! gawat nih… Aku pun bisa berazam lebih kuat lagi untuk taat pada Allah selepas Ramadan nanti.


Ya Allah… tiada daya dan kekuatanku melainkan dengan pertolonganMu jua. Aku tetap merasa lemah. Aku lemah ya Allah. Nafsuku sendiri belum benar-benar dapat ditewaskan…mana mungkin jika ia mendapat sokongan iblis. Iblis memohon lesen dari Allah untuk menyesatkan manusia sepertiku,

قَالَ رَبِّ بِمَآ أَغْوَيْتَنِي لأُزَيِّنَنَّ لَهُمْ فِي الأَرْضِ وَلأُغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ

Iblis berkata, ” Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya”. Al-Hijr 15:39

Patutlah ramai manusia merasa seronok dengan maksiat. Mereka telah dibius syaitan sehingga melihat yang jelek itu indah dan lazat. Selemah itukah aku dan manusia? Rupa-rupanya ada satu golongan manusia yang mempunyai immune terhadap sentuhan iblis. Kata iblis,

إِلاَّ عِبَادَكَ مِنْهُمُ الْمُخْلَصِينَ

“Kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hambaMu yang ikhlas (dibersihkan dari sebarang syirik)”.
Al-Hijr 15:40

Aku bimbang… aku takut.. untuk berlaku ikhlas sahaja terasa sukar sehinggalah malam tadi, aku menemui kalamullah,

قَالَ هَذَا صِرَاطٌ عَلَيَّ مُسْتَقِيمٌ

Allah berkata, “Inilah satu jalan yang lurus, yang tetap Aku memeliharanya. Al-Hijr 15:41

إِنَّ عِبَادِي لَيْسَ لَكَ عَلَيْهِمْ سُلْطَانٌ إِلاَّ مَنِ اتَّبَعَكَ مِنَ الْغَاوِينَ

Sesungguhnya hamba-hambaKu, tidaklah ada bagimu sebarang kuasa untuk menyesatkan mereka, kecuali sesiapa yang menurutmu dari orang-orang yang sesat (dengan pilihannya sendiri). Al-Hijr 15:42

Oooh… begitu rupanya. Jika kita telah berusaha menjadi hamba Allah, pasti syaitan menjadi lemah dan tidak berdaya menyesatkan kita. Apa yang penting, ilmu sentiasa ditambah, beramal dengan ikhlas dan bertaubat dari kesalahan sama ada dengan Allah atau sesama manusia.

Ramadan yang tersisa…mampukah ku kejar untuk mendapat ijazah taqwa?

Ummu Abbas
21 Ramadan 1430H
3.00pm

Hiburan Untuk Mereka yang Putus Tunang/Diceraikan/Kematian Pasangan

sedih-2

Perasaan adalah satu anugerah Allah yang sangat bernilai dan halus sekali pada setiap manusia. Ia juga disebut emosi. Merasa cenderung kepada jantina berlawanan jenis juga satu anugerah demi kelangsungan generasi manusia (Kalau tidak, alamatnya…setakat Adam dan Hawa ajelah yang memakmurkan bumi).

Pelbagai cara manusia mahu menunaikan tuntutan fitrah ini. Ada yang berkawan dahulu, bercinta tidak kiralah ‘cinta monyet’ ke atau ‘cinta kucing’ atau ‘cinta murni’ dan lain-lain. Sudah tentu cinta terbaik atau cara meluahkan kasih sayang antara lelaki dan perempuan ini ialah apa yang telah digariskan oleh Allah swt melalui syariat Islam.

Merisik, bertunang seterusnya berkahwin tanpa ber’couple’ adalah cinta yang berkualiti dari segi metodnya. Isinya belum tentu. Ia bergantung bagaimana cara kita mengisi cinta tersebut. Kalau diisi dengan sampah atau duri, kotor dan menyakitkanlah cinta tersebut. Jika ia dipupuk dan dibaja dengan pelbagai resepi Nabi s.a.w dalam melayarinya, nescaya bahagia dan hidup semakin tenang. Oh ya, saya tidak bermaksud memperincikan hal tersebut di sini. Ia hanya mukaddimah kepada tajuk tulisan ini.

Cinta Kucing

Sebelum saya bercerita lebih lanjut, mungkin ada yang ingin tahu apa itu ‘cinta kucing’. Ia istilah ciptaan saya untuk memberi gambaran kepada fenomena ‘cinta’ baru di kalangan generasi muda hari ini. Saya maksudkan generasi muda hari ini yang begitu mudah melakukan seks sekalipun baru mengenali antara satu sama lain. Juga mereka yang ber’couple’ (bercinta) dahulu kemudian berzina tanpa perlu melalui akad yang mengikat cinta dan tanggungjawab. Tanpa mengira lelaki atau perempuan, maruah mereka senilai dengan kucing. Mudah jinak dan mudah menyerah.

Oh ya… usah stereotype dengan istilah ‘mudah menyerah’ itu pada perempuan sahaja. Lelaki yang berzina sama murah dengan pasangannya. Cuma perempuan mudah kelihatan ‘murah dirinya’ bila perut memboyot . Lelaki tidak begitu. Atas dunia bolehlah lepas. Akhirat kelak, confirm tak lepas jika tidak bertaubat.

Dari aspek peruntukan hudud juga, mereka menanggung hukuman yang sama. Kalau belum pernah berkahwin, hukuman sebat 100 rotan. Jika sudah atau pernah berkahwin, hukuman direjam sampai mati. Sama, bukan? Itulah keadilan Allah swt!

Hmm…demikianlah definisi tentang ‘cinta kucing’.

Bertunang, putus… Berkahwin pula diceraikan…Atau pasangan meninggal dunia

sedih

Ramai antara kita mempunyai pengalaman bertunang kemudian diputuskan tali pertunangan itu tanpa rasional yang munasabah. Ramai juga yang sudah berkahwin pula diceraikan tanpa sebab yang lojik. Dalam perkataan lain, kes sebegini termasuk kes penganiayaan sesama manusia. Ia tidak menjadi aniaya jika sesuatu keputusan disandarkan kepada hujjah atau alasan syarak.

Ada yang berseorangan apabila pasangan terlebih dahulu menyahut seruan Ilahi. Sekali lagi saya ulangi, tanpa mengira lelaki atau perempuan, apa yang bakal saya paparkan adalah relevan untuk kedua-dua belah pihak. Bukan khusus untuk perempuan sahaja.

Kisah Ummu Salamah

Seorang sahabat Nabi s.a.w bernama Abu Salamah meninggal dunia setelah pulang dari perang Uhud. Ia meninggal akibat luka parah yang dialaminya. Abu Salamah meninggalkan seorang isteri, Ummu Salamah. Ummu Salamah merasa sangat sedih. Fikiran terganggu. Ummu Salamah, seorang yang intelek tidak mahu membiarkan dirinya dirundung pilu berterusan.

Ummu Salamah sedar Muhammad bin Abdullah, insan yang paling dekat dengan Allah itu masih ada. Balu dan ibu kepada anak-anak yang kematian ayah itu dinasihatkan oleh Nabi s.a.w berkenaan masalahnya. Nabi Muhammad s.a.w telah mengajar satu doa yang bermaksud,

    “Sesungguhnya kami milik Allah dan sesungguhnya kepada-Nyalah kami akan kembali. Ya Allah, berilah pahala atas musibah yang menimpaku dan berilah aku ganti yang lebih baik darinya.”

Pada waktu itu, Ummu Salamah tertanya-tanya juga siapa lagi yang lebih baik dari suaminya. Namun Ummu Salamah terus mengamalkan doa tersebut serta yakin dengan Allah yang akan memakbulkan doanya.

Beberapa sahabat Rasulullah s.a.w segera melamar Ummu Salamah. Hal ini mereka lakukan sebagai tanda hormat terhadap suaminya yang telah berkorban demi Islam. Juga untuk melindungi diri Ummu Salamah. Mereka itu termasuklah Abu Bakar as-Siddiq dan Umar bin al-Khattab , tetapi Ummu Salamah menolaknya.

Kebimbangan Ummu Salamah berhubung pengganti suaminya akhirnya terjawab tatkala dilamar oleh Rasulullah s.a.w sendiri. Inilah rupanya hasil doa dan kesabarannya. Kehilangan Abu Salamah telah diganti oleh Allah dengan sebaik-baik manusia yakni Rasulullah s.aw.

Lamaran Rasulullah s.a.w itu tidak segera diterimanya. Ummu Salamah mengungkapkan kata-kata, “Sesungguhnya saya seorang wanita yang telah berusia. Saya juga memiliki anak-anak yatim dan saya seorang yang sangat cemburu. Sedangkan anda wahai Rasulullah, memiliki ramai isteri.”

Rasulullah s.a.w lalu berkata, “Adapun tentang sifat cemburu itu, maka Allah akan menghilangkannya. Adapun usia yang telah tua, sesungguhnya saya lebih tua darimu. Manakala anak-anak yatimmu, maka itu menjadi tanggungan Allah dan Rasul-Nya.”

Hilanglah rasa ralat di hati Ummu Salamah. Lalu diterima lamaran sebaik-baik manusia itu dengan rasa gembira. Status Ummu Salamah meningkat menjadi salah satu Ummahatul Mukminin, yang telah memberikan contoh tauladan dalam menempuh mehnah hidup.

Kisah indah ini direkodkan oleh Imam Muslim di dalam Sahihnya.

Iktibar dari Kisah Ummu Salamah

Beberapa perkara berikut adalah tip untuk mendapat ganjaran lebih baik dari Allah;

    1. Sabar tatkala diceraikan atau kematian pasangan atau diputuskan pertunangan.
    2. Doakan agar mereka yang menganiaya kita mendapat hidayah.
    3. Jangan berdendam.
    4. Mohon Allah jadikan kesedihan hati sebagai kaffarah dosa-dosa yang lalu serta beristighfarlah.
    5. Elakkan mengadu sesama manusia kecuali untuk mendapatkan pandangan agama dalam masalah yang dihadapi.
    6. Serahkan urusan mereka yang menganiaya (kecuali kes kematian pasangan) kepada Allah. Jangan sekali-kali cuba membalas perbuatan mereka kerana bimbang kita ter’over’ membalasnya. Cukuplah Allah sebagai hakim yang maha adil untuk mengadili kes mereka.
    7. Amalkan doa Ummu Salamah seperti tertulis di atas.
    8. Bersangka baik dengan Allah bahawa Allah takdirkan yang terbaik untuk kita dengan menjauhkan sesuatu yang akan lebih menyusahkan diri kita di masa-masa akan datang. Dalam masa yang sama, sebenarnya Allah mahu beri sesuatu yang lebih baik untuk kita. Dalam tempoh diuji, Allah mahu menilai tahap sabar, pasrah kita padaNya dan akhlak kita sesama manusia. Bila kita dapat melepasi pra-syarat tersebut, insya Allah, Allah akan gantikan pasangan yang lebih baik dari yang telah hilang.
    9. Jangan putus asa dari rahmat Allah.

Doa Ummu Salamah itulah hiburan bagi mereka yang ditimpa musibah ini. Hiburan terindah ialah tatkala melihat di alam realiti, apabila tiba saatnya Allah menunaikan doa tersebut. Sesungguhnya Allah tidak pernah memungkiri janjiNya. Yakinilah…

Foto dari www.rediesh.com

Foto dari www.rediesh.com

*** Mereka yang melanggar batasan Allah dalam mencari pasangan yakni ber’couple’ tidak sesuai mengamalkan tip di atas KECUALI mereka bertaubat dan memperbaiki diri dengan meninggalkan larangan Allah. Insya Allah, mereka akan dapati Allah itu maha pengampun dan maha penyayang pada setiap hamba-hambaNya.

Maksud saya, mereka tidak akan mampu mendapatkan kekasih yang lebih baik dari kekasih yang telah pergi selagi mereka hidup dalam maksiat. Jauhi maksiat, amalkan ketaatan. Nescaya hidup diberkati Ilahi.

Manfaatkan Ramadan yang masih bersisa untuk mendekatkan diri kepada Allah. Apa guna kita berterawih dan beramal amalan sunat sekiranya perkara yang haram masih dilakukan seperti mendedahkan aurat dan keluar berdua-dua lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Syaitan masih dalam kurungan. Inilah saatnya yang tidak perlu ditangguh untuk kembali kepada Tuhan.

Ummu Abbas
11.52am
18 Ramadan 1430H

Aku Tinggalkan Bikini Demi Islam

Gadis itu dulunya seorang aktres yang cantik, model, pelatih fitness dan seorang aktivis hak asasi. Dia membesar dalam masyarakat Barat yang bebas bersosial, mendedahkan aurat dan anti Islam.

Hidayah Allah Maha Luas menyapa hati yang sering gundah gelisah ini. Hati menyambut cinta Allah yang bernama Islam. Lantas konflik jiwa yang sering menjadi teman selama ini mula menyisih dari kehidupannya.

Betapa hebatnya benih bermutu bernama Hidayah@aqidah Islam itu sehingga ia mampu menyerlahkan perwatakan berbeza seorang gadis Barat bernama Sara Bokker.

Sara meninggalkan dunia yang gelap sebelum ini menuju cahaya yang indah. Sara mula mengenal penciptanya, objektif manusia dihidupkan dan ke mana akhirnya dia akan kembali. Semua itu mengubah dirinya yang dulu begitu aib mendedahkan batang tubuhnya kepada umum, sekarang dia memilih hijab para mukminah di zaman Nabi s.a.w yakni purdah. Peningkatan amalan yang sangat membanggakan dan mendapat restu serta sokongan suami tercinta.

Sara tidak berhenti setakat dirinya menikmati hidup yang semakin ceria, bahkan turut memperjuangkan Islam, menyedarkan wanita lain agar menutup aurat, memerangi dakyah musuh-musuh Islam dalam hal etika pakaian Islam, perwatakan sebenar gadis Islam yang perlu dipelihara secara konsisten agar tidak dipermainkan oleh mana-mana pihak agar mereka hidup bahagia di dunia dan akhirat.

Beliau sekarang adalah Pengarah Komunikasi di The March for Justice, salah seorang pengasas Global Sisters Network dan Produser Shock and Awe Gallery. Pengalaman beliau telah dicatat di www.marchforjustice.com yang telah diterjemahkan oleh Zain A Ghani. Saya petik terjemahan yang disiarkan akhbar sisipan WanitaKini dalam Siasah bilangan 0162, 16-22 Ogos 2009/ 25 Syaaban – 1 Ramadan 1430H, halaman 18. Saya mengedit terjemahan tersebut setakat yang perlu.

Mungkin ada yang pernah membaca kisah Sara Bokker sebelum ini. Web-web Indonesia sudah lama menyiarkan terjemahan kisah yang menginsafkan ini.

Ummu Abbas
1.08pm
14 Ramadan 1430H
*********************
Aku tinggalkan bikini demi Islam

Sebagai anak Amerika yang lahir di kota besar Amerika Syarikat, aku membesar seperti gadis-gadis lain yang terbiasa dengan kehidupan glamour kota besar. Kemudian aku berpindah ke Florida, di pantai Selatan Miami, sebuah tempat popular untuk mencari kehidupan glamour.

Tentulah ketika itu aku juga melakukan apa-apa yang sering dilakukan oleh gadis-gadis Barat. Aku hanya prihatin pada penampilan fizikal dan daya tarikanku serta mengukur nilai reputasiku berdasarkan banyaknya perhatian orang lain padaku.

Aku berolah raga secara rutin hingga menjadi pelatih peribadi di sebuah perumahan mewah di pinggir laut. Aku menjadi pengunjung setia pantai yang “suka mempamerkan tubuh” serta berjaya mencapai taraf hidup yang penuh bergaya dan ada kelas.

Tahun demi tahun berlalu, kufahami bahawa ukuran nilai kepuasan diri dan kebahagiaanku terletak pada semakin tinggi aku menggunakan daya tarik kewanitaanku. Saat itu, aku benar-benar menjadi hamba fesyen-fesyen terkini. Sesungguhnya aku telah ‘menjadi tawanan’ kepada kehendakku sendiri.

Di celah-celah kekosongan hidup antara kepuasan diri dan gaya hidup yang makin melebar, maka aku mencari perlindungan dengan sebuah pelarian. Aku mengambil arak dan pesta-pesta, mengikuti meditasi, menjadi aktivis, belajar kepercayaan-kepercayaan lain dengan tujuan agar di celah-celah kekosongan itu terisi dengan pelbagai aktiviti.

Namun, akhirnya aku sedar bahawa semua itu bagaikan ubat pelali sahaja, yang mana sakitnya kembali berulang dibandingkan pengubatan yang benar-benar berkesan.
Kemudian berlaku peristiwa 11 September 2001. Sebagai saksi atas serangan berterusan terhadap Islam, pada nilai-nilai dan budaya Islam serta wujudnya pengisytiharan negatif mengenai “Perang Salib Baru”, aku terpanggil untuk mula memerhati satu ajaran bernama Islam.

Ketika itu aku mengaitkan semua yang berbau Islam dengan wanita-wanita yang berbaju seperti “khemah”, tukang pukul isteri, harem dan dunia pengganas.

Sebagai aktivis pembebasan wanita dan seorang yang mahukan dunia yang lebih baik untuk semua, jalanku bertembung dengan jalan aktivis lainnya yang telah memimpin reformasi dan keadilan untuk semua tanpa pilih bulu.

Setelah itu, aku turut bergabung di dalam kempen sahabat-sahabat baruku yang ketika itu, salah satunya adalah reformasi pilihanraya dan hak-hak awam.

Sekarang kegiatan harianku sangat berbeza. Daripada mendukung keadilan secara “berpilih”, aku belajar bahawa yang ideal seperti keadilan, kebebasan dan penghargaan benar-benar bermakna dan bersifat universal.

Untuk pertama kalinya, aku insaf, sesungguhnya semua orang dicipta Allah adalah setaraf. Namun yang paling penting, aku belajar bahawa hanya perlu keyakinan untuk melihat dunia yang satu dan untuk melihat penyatuan dan ciptaan.

Bertemu al-Quran

Suatu hari, aku membelek sebuah buku yang dianggap negatif di Barat, al-Quran yang suci. Baru tadi aku tertarik pada gaya dan pendekatan al-Quran. Kemudian minatku tambah mendalam pada pandangannya tentang kewujudan makhluk, kehidupan, penciptaan dan hubungan antara Pencipta dan ciptaanNya.
Aku rasa al-Quran dapat menjadi sumber pembuka wawasan dan pengetahuan untuk hati dan jiwa tanpa perlu penterjemah atau paderi.

Akhirnya aku sampai kepada masa yang sangat penting yang mengubah kehidupanku seterusnya. Pemahaman aktivis yang baru kurasakan untuk kepuasan diri baru-baru ini, jelas tidak bermakna apa-apa dibandingkan dengan keyakinan yang disebut Islam, yang membawa aku hidup damai sebagai muslim yang bermanfaat.

Bahagia dengan Hijab

Aku membeli sehelai gaun panjang yang cantik dan penutup kepala, mirip gaya pakaian muslimah. Dengannya aku berjalan di jalan dan kawasan tetangga yang sama, yang mana beberapa hari sebelumnya aku masih mengenakan seluar pendek, bikini atau gaya pakaian Barat yang berkelas.

Walaupun masyarakat, wajah dan gedung-gedung semuanya tetap sama, ada satu perkara yang sangat berbeza, kerana untuk pertama kalinya, aku berasa suatu kedamaian yang sangat berbeza berbanding yang dahulu.

Aku merasa seolah-olah semua rantai telah terputus dan akhirnya aku benar-benar merasa bebas. Sangat menyenangkan, kadang-kadang sedikit lucu melihat wajah hairan sesetengah orang terhadap penampilan baruku.

Tiba-tiba sahaja beban itu terangkat dari bahuku. Aku tidak lagi menghabiskan masaku untuk berbelanja, membeli kosmetik, ke salon dan melatih diri untuk penampilanku. Akhirnya aku bebas.

Dari semua tempat itu, aku menemui Islam tepat di pusat dari tempat yang disebut orang sebagai “pusat skandal di bumi”, yang membuatkan semua itu menjadikannya penuh cinta dan istimewa.

Walaupun bahagia dengan hijab, aku menjadi ingin tahu mengenai niqab (purdah/cadar) kerana melihat ramai muslimah yang mengenakannya. Aku bertanya suamiku yang juga muslim, yang menikah denganku setelah aku menjadi muslimah, apakah aku boleh mengenakan niqab atau cukup dengan hijabku sekarang yang sudah kukenakan?

Dengan selamba suamiku mengatakan dia percaya bahawa hijab adalah satu kewajiban, namun tidak dengan niqab. Ketika itu, hijabku terdiri dari penutup kepala yang menutup seluruh rambutku kecuali wajah dan gaun hitam panjang yang longgar. Ia disebut abaya(jubah) yang menutupi tubuh dari leher hingga kaki.

Memakai purdah

Satu setengah tahun berlalu, aku memberitahu suamiku bahawa aku mahu memakai purdah. Alasanku kali ini ialah aku merasa lebih “menyenangkan” Allah Yang Maha Mencipta, dan akan meningkatkan rasa damai dalam diri bila berpakaian lebih tertutup.

Dia menyokong keputusanku dan membawaku membeli “isdaal”, sejenis gaun hitam longgar yang menutup dari kepala hingga kaki dan niqab yang menutup seluruh kepalaku termasuk wajah kecuali mata.

Cabaran Hijab dan Niqab

Tidak lama kemudian, media mula menyiarkan berita tentang ahli politik, pembesar gereja, pendokong kebebasan, aktivis Hak Asasi Manusia (HAM) palsu yang berkali-kali mengkritik pedas tentang hijab, apatah lagi niqab. Bagi orang lain ia kelihatan sangat kejam terhadap wanita. Juga dianggap gangguan dalam pergaulan dan baru-baru ini seorang pegawai Mesir mengatakan bahawa perkara itu sebagai “tanda-tanda kemunduran”.

Aku melihat kenyataan itu sangat munafik . Beberapa pemerintah dan kumpulan pembela HAM palsu yang tergesa-gesa cuba membela hak wanita, sedangkan pemerintah beberapa negara lain memaksa penggunaan peraturan berpakaian tertentu bagi wanita.

Meskipun begitu “Pejuang Kebebasan” memandang dari posisi lain ketika wanita kehilangan hak-haknya untuk berkerja dan belajar hanya kerana memilih menggunakan haknya mengenakan hijab atau niqab.

Namun sekarang, berlaku banyak halangan terhadap wanita yang mengenakan hijab atau niqab untuk keluar berkerja dan mendapatkan pendidikan di sekolah dan universiti. Ia bukan hanya di bawah rejim kuku besi seperti di Tunisia, Morocco dan Mesir tetapi juga di negara-negara demokrasi seperti Perancis, Belanda dan Inggeris.

Memperjuangkan Hak Wanita

Ketika ini, aku masih seorang aktivis wanita, tetapi kali ini sebagai aktivis muslimah, yang menyeru para muslimah untuk mengambil tanggungjawab mereka memberi sokongan setakat mampu kepada suami agar menjadi muslim yang baik, membesarkan anak-anak mereka agar menjadi muslim yang jujur dan bertanggungjawab, sehingga mungkin akan menjadi cahaya kepada kemanusiaan.

Untuk menyebarkan kebaikan dan menjauhkan kejahatan, untuk berbincang tentang kebenaran dan kebajikan serta melawan semua kemungkaran, aku berasa patut memperjuangkan hak-hak kita untuk mengenakan niqan atau hijab demi menyenangkan Yang Maha Mencipta, apapun yang kita pilih.

Penting juga berkongsi pengalaman memakai niqab atau hijab kepada kawan wanita yang mungkin belum pernah berpeluang untuk memahami kenapa perlunya mengenakan niqab atau hijab bagi kita dan rasional kita, sehingga dengan penuh cinta kita memeluknya.

Sebahagian besar wanita yang kuketahui mengenakan niqab adalah muallaf Barat. Sebahagian dari mereka belum menikah. Yang lain mengenakan niqab tanpa sokongan penuh dari keluarga mahupun masyarakat sekelilingnya.

Apa yang kita perlu fahami ialah mengenakan purdah adalah pilihan peribadi dan tidak seorang pun boleh menyerah atas pilihan peribadinya sendiri.

Mahu atau tidak, kaum wanita dihujani dengan gaya “berpakaian minima sehingga tanpa pakaian langsung” secara virtual dalam setiap bentuk komunikasi di manapun di dunia ini.

Sebagai seorang bekas non-muslim, aku menuntut hak-hak wanita untuk sama-sama mengetahui mengenai hijab, kebaikan-kebaikannya, kedamaian dan kebahagiaan yang dibawanya ke dalam kehidupan wanita, seperti yang telah terjadi padaku.

Dulu Bikini, Sekarang Niqabi

sara_bokker_3

Dulu, bikini merupakan lambang kebebasanku, yang hakikatnya membebaskan aku dari aqidahku dan sebagai manusia normal.

Tiada apa-apa yang lebih menggembirakan aku kerana menanggalkan bikiniku di Pantai Selatan dan gaya hidup Barat yang gemerlapan itu untuk hidup damai dengan Penciptaku, serta menikmati hidup di antara teman-teman sesame manusia sebagai peribadi yang layak menerimanya. Hal itu merupakan alasanku untuk memilih memakai niqab dan bersedia mati membela hakku yang tidak mungkin dicabut untuk memakainya. (Allahuakbar!-ummuabbas)

Hari ini, niqab adalah symbol baru pembebasan wanita untuk mengenali siapa dirinya, apa tujuannya dan bagaimana bentuk hubungan yang dipilihnya agar dapat bersama Penciptanya.

Kepada wanita yang bersetuju dengan anggapan salah mengenai hijab, aku boleh berkata: Engkau tidak mengetahui apa yang telah dilaluimu adalah sesuatu yang merugikan dirimu sendiri…

Kepada “penguasa peradaban” yang rasuah dan sentiasa di dalam keadaan rugi, juga kepada para aktivis palsu, aku mahu berkata: Teruskanlah……..

Sara Bokker
USA

Buku Sejarah Nabi Muhammad s.a.w

Seorang pengunjung bertanya mengenai buku Seerah Nabi Muhammad s.a.w yang elok dibaca. Pengunjung yang bertanya itu merupakan saudara baru kita dalam Islam. Sebelum saya menyebut mengenai buku, saya ingin menyinggung sedikit mengenai kepentingan mengetahui dan memahami Sirah Nabi Muhammad s.aw.

Sejarah hidup Nabi Muhammad s.a.w dibaca untuk dihayati dalam kehidupan seharian. Itulah tujuan Nabi Muhammad s.a.w dilahir dan diutus menjadi rasul.

Sejarah hidup Rasulullah s.a.w adalah lengkap merangkumi semua bidang kehidupan yang diperlukan oleh manusia. Nabi Muhammad s.a.w memberi manual kehidupan yang paling berkualiti bermula dari kehidupan sebagai individu, keluarga, masyarakat dan daulah.

Mungkin sudah banyak orang bercerita tentang Nabi Muhammad s.a.w dari sudut akhlaknya, pergaulannya dengan ahli keluarga dan para sahabat. Namun Nabi Muhammad s.a.w jarang ditonjolkan oleh media arus perdana sebagai pemimpin sebuah negara dan seorang strategis dalam politik.

Negara kita saban tahun menyambut Maulidur Rasul namun untuk apa sambutan itu jika perilaku Nabi s.a.w tidak menjadi ikutan. Insan bernama Muhammad bin Abdullah itu bukanlah untuk dijaja sebagai bahan kosmetik bagi sebuah negara yang dipimpin oleh orang Islam. Bahkan setiap akhlak dan cara hidupnya harus dijadikan ruh bagi sesebuah negara umat Islam.

Manusia tanpa ruh adalah mayat. Negara tanpa ruh Islam ibarat bangkai. Sesebuah negara belum mengecapi erti sebuah kemerdekaan jika Islam dikurung dalam perlembagaan ciptaan manusia. Jika umat Islam mahu merasai nikmat sebuah kemerdekaan yang sebenar, bebaskan Malaysia dari cengkaman maut yang bernama sekular dan kejahilan pemerintah.

Teringat pula pada baner-baner kempen yang menyindir hubungan PAS-DAP di Manek Urai. Saya berbual dengan suami (lebih kurang), “Suruh mereka belajar dulu Sirah Nabi sampai habis. Baru mereka akan faham justifikasi tindakan politik PAS dalam apa jua keadaan”.

Saya sungguh kesal bila mendapati dalam era maklumat di hujung jari dan Malaysia pula semakin melambakkan graduan berijazah, masih ramai yang jahil tentang agama mereka sendiri. Islam adalah agama yang mudah difahami dan dihayati kerana ia agama yang selaras dengan fitrah manusia.

Mereka menyempitkan kefahaman Islam yang luas serta fleksibel dengan sikap malas belajar dan mendalami ilmu-ilmu Islam. Hal ini berlaku secara umumnya di dalam mana-mana kelompok umat Islam di Malaysia sama ada kelompok ‘biru’ atau ‘hijau’. Sempena sambutan hari ‘merdeka’ semalam, ayuh bebaskan diri dari belenggu kejahilan dengan menambah ilmu Islam di dada.

Wallahua’lam.

Bagi memahami lebih lanjut mengenai Sirah Nabawiyyah, saya mencadangkan buku-buku berikut;

1. Biografi Muhammad bin Abdullah.

    Penulis: Zulkifli Mohd Yusoff & Noor Naemah Abdul Rahman

Buku Biografi Muhammad bin Abdullah

Kelebihan buku ini:

Ditulis dengan gaya bercerita yang santai dan bahasa Melayu moden yang mudah difahami. Setiap peristiwa dilakar secara spesifik bagi memudahkan pembaca menghayati perjalanan tokoh agung ini. Seterusnya menyelami sejarah hidup seorang nabi dan rasul untuk diaplikasi teladan yang ditinggalkan dalam kehidupan seharian.

Buku sirah ini sesuai untuk mereka yang baru mengenali nabi sama ada di kalangan umat Islam sendiri maupun non-muslim.

Harga Semenanjung Malaysia: RM39.90
Sabah/Sarawak: RM42.90

PS: Saya mempunyai sebuah lagi buku ini untuk dijual. Jika berminat, boleh buat pesanan melalui email. Diskaun 12% tidak termasuk harga pos.

2. Fiqh al-Sirah
Penulis: Muhammad Sa’id Ramadan al-Buti
Terjemahan: Ustaz Mohd Darus Sanawi

Fiqh al-Sirah

Kelebihan buku ini:

Setelah membaca secara santai buku di atas, buku ini disyorkan untuk menambah kefahaman mengenai panduan hidup yang tercetus dari perjalanan hidup Nabi Muhammad s.a.w. Setiap peristiwa dikeluarkan pengajaran dan renungan bagi diaplikasikan dalam kehidupan kita pula.

Terdapat hukum hakam dari setiap perbuatan dan percakapan Nabi s.a.w. Hukum hakam tersebut dihuraikan oleh para ulama berdasarkan dalil yang jelas.

Buku ini telah digunakan sebagai teks bagi subjek Seerah Nabawiyyah di Fakulti Syariah, University of Jordan, Amman, Jordan untuk pengajian peringkat Sarjana Muda.

Kitab asalnya hanya satu jilid. Terjemahannya mempunyai 3 jilid.

3. Fiqh al-Harakah dari Sirah Nabawiyyah
Penulis: Abdul Hadi Awang

Fiqh al-Harakah
Kelebihan buku ini:

Buku ini hampir sama dengan buku Fiqh al-Sirah namun sorotannya lebih spesifik. Fiqh al-Harakah bermaksud intipati dari sudut gerakan yang diambil dari Sirah Nabi. Penulis menyorot sejarah Nabi Muhammad s.a.w dari sudut gerakan Islam dan dakwah.

Ummu Abbas
11.00am
11 Ramadan 1430H

Rindu Pada Mu

Saya syorkan klik video di bawah sambil baca bingkisan ini kerana saya mendapat idea ini semasa mendengar halwa telinga Rindu PadaMu.

Bingkisan Ramadan

Teman,

Hidup adalah kerana cinta…
Cinta Tuhan pada dirimu…
Namun…
Sedikit sekali di kalangan hamba…
yang membalas cinta Tuhan
dengan cinta…

Cinta Tuhan dibalas tuba derhaka…
Sepuas nafsu mereka…

Teman,

Sekali kau ikrar dirimu menyintaiNya…
Bersiaplah dikau untuk diuji…

Setiap cinta ada ujian…
Pada keikhlasan…
Pada ketabahan…
Pada kesabaran…
Pada kesetiaan…
Pada keredaan…

Allah bukan untuk dipermainkan…

Sekali kau ungkap cinta…
Berkali- kali kau balas derhaka…

Sekali kau ungkap rindu…
Berkali- kali kau memandang dunia…
Kesakitan kau rintihkan…
Hatimu terluka kau jajakan pada manusia…
Yang lemah sepertimu…

Nikmat tidak pula kau syukuri…
Kasih sayang Ilahi tidak kau burui…

Penghargaan manusia kau cari…
Pandangan Allah kau sisih ke tepi…

Siapalah Allah di hatimu…???

    Ya Allah…

    Bantulah aku merdekakan ruhku dari belenggu nafsu…
    Sempena Ramadan ini…

    Ya Allah…

    Aku tersiksa dalam penjara dunia ini…
    Yang hanya fatamorgana…

    Ya Allah…

    Merdekanya aku…
    Bila aku bebas mentaatiMu…
    dan menjalankan hukum hakamMu

      Di bumi milikMu…

    Ya Allah…

    Bantulah hambaMu ini…
    dan para pejuang agamaMu…
    Yang tenggelam dalam cinta padaMu…
    dan rindu bertemu denganMu…

    Ya Allah…

    Zat yang Maha Hebat…Maha Pengasih…Maha Penyayang…

    Kurniakanlah cinta di hati-hati kami…
    Cinta nan tulus murni…
    Hanya untukMu…

Bingkisan spontan Ramadan untuk diriku,

Ummu Abbas
10.25pm
10 Ramadan 1430H

Ummu: Selamat Ulangtahun Abbas 10 tahun dan Azzam 9 tahun pada 31 Ogos. Tidak lupa pada Aqil yang genap 2 tahun pada 25 Ogos.